Friday, December 21, 2012

Basikal Klasik Dan Jalanraya Berlubang


Berhati-hati ketika berbasikal. Apatah lagi berbasikal dalam iklim cuaca selepas hujan. Lubang atau bahasa ringkas orang kampung ialah lopak memang sudah serasi dengan jalan raya. Tidak kiralah di negeri hatta di negara mana sekali pun. Seperti adik-beradik. (Bukan semua) tetapi hampir tidak dinamakan jalan raya kalau tiada lubang yang mencoraknya. 

Beringat sebelum kena. Itulah sahaja yang teman ingin sampaikan kerana hal seperti ini telah timpa pada diri yang menulis ini. Berbasikal selepas usai hujan lebat. Rata-rata permukaan jalanraya mencorakkan tompok-tompok takungan air. Ada yang berbentuk kolam renang olimpik. Tidak kurang juga yang berbentuk seperti tasik cini. Sangkaan teman mungkin hanya struktur jalan yang lendai, berlekuk sedikit atau tidak rata. 

Apabila meyusuri di pertengahan takungan yang tenang itu, tiba-tiba bagaikan ada sesuatu momentum yang mengangkat tinggi tayar belakang. Justeru mengikut ilmu fizik bahagian depan pun akan berganjak menurun ke depan seolah-olah brek mengejut. Rupanya-rupanya tayar hadapan telah terkena jerangkap lubang yang luas diameter seperti tayar bersaiz 14 dengan kedalaman lubang 7 inci umpama setinggi ukuran lampu cabait lucas. Nasib baik pada saat itu teman tidak mengayuh laju dan sempat mendaratkan kedua-dua kaki ke atas jalan bagi mengimbangi basikal dan mengelakkan dari jatuh tersungkur seperti contoh gambar hiasan di atas.

Mujur semua selamat dan tiada kerosakkan pada bahagian basikal mahupun diri tuan punya basikal. Kaget juga dibuatnya. Walau apa pun rintangan ayuh teruskan melestari berbasikal klasik.

Sunday, December 16, 2012

Fesyen Berbasikal Klasik: Topi Beret (flap cap)

Bulan Disember selalunya dikaitkan dengan musim cuti sekolah. Bagi sesetengah masyarakat, bulan akhir tahun ini juga boleh dianggapkan sebagai musim harga runtuh (big sale) untuk membeli-belah. Dikesempatan itulah teman telah membuat sedikit pembelian iaitu topi beret (flat cap) seperti corak dan warna di bawah ini. Dibeli menerusi laman web ebay dengan harga yang begitu berpatutan. Begitu menambat hati teman untuk memilikinya dan sekadar mempelbagaikan lagi skop fesyen peragaan pakaian untuk berbasikal klasik. Secara tersirat menjadi daya tarikan yang positif terhadap tanggapan berbasikal klasik yang beraneka konsep.
 

 

Tuesday, December 11, 2012

Kayuhan Klang Dipaparan Dada Akhbar

Tahniah dan syabas diatas kelangsungan acara kayuhan santai berbasikal klasik Bandar Diraja Klang. Acara yang sangat meriah itu telah pun diberitakan dalam beberapa dada akhbar. Antara yang dikenalpasti adalah surat khabar Sinar Harian bertarikh 5 Disember dan Harian Metro bertarikh 10 Disember. Walaupun acara tersebut sudah tamat selang beberapa hari yang lalu, pengalaman menyertainya membawa kenangan manis yang tidak mudah untuk dilupakan. Begitu sesuai bagi menutup tirai tahun 2012. Dengan itu, teruskan  semangat anda memartabatkan hobi berbasikal klasik.

 Sumber ehsan dari laman FB Along. Sila klik untuk paparan lebih jelas dan besar.

Thursday, December 6, 2012

Video Kayuhan Santai Basikal Klasik Bandar Diraja Klang


video
Ya seperti yang telah dijanjikan. Video kayuhan santai basikal klasik sekitar Bandar DiRaja Klang telah dipaparkan seperti yang tertera pada klip di atas. Setelah beberapa hari laman blogspot menghadapi masalah teknikal dalam memasukkan video, akhirnya berjaya juga untuk dimuat-turunkan. Disebabkan blogspot menghadkan kapasiti bagi video hanya boleh dipaparkan dalam saiz dan dan fail yang kecil, maka video ini juga terpaksa dikurangkan kualitinya. Klip video ini berlangsung sekitar 3 minit lebih dan memaparkan babak-babak aksi berbasikal secara konvoi di sekeliling Bandar DiRaja Klang. Selamat menonton untuk kenangan bersama dan teruskan kegemilangan anda berbasikal klasik. 

Monday, December 3, 2012

Pengalaman Kayuhan Santai Bandar DiRaja Klang

Tanggal 2 Disember 2012. Luangan hari minggu yang diisi dengan aktiviti yang sungguh menarik. Seperti para pengunjung budiman ketahui, hari ini adalah hari acara kayuhan santai basikal klasik ke Bandar DiRaja Klang. Acara yang dianjurkan oleh Port Swettenham Classic Bicycle telah berjalan dengan amat jayanya sekali. Sebagai kata utama dalam perenggan pertama ini, teman dedikasikan khas untuk pihak penganjur sama ada secara langsung atau tidak, dengan ucapan terima kasih serta tahniah diatas program julung kali yang begitu sempurna dan tiada cacat celanya.


Jam 8.10 pagi berlabuhnya teman di Pandamaran, Klang. Ketibaan teman ditegur sapa oleh sahabat-sahabat seperjuangan. Tidak lupa juga rakan-rakan baru yang mengecam atau mengenali teman terlebih dahulu menerusi laman blog ini. Sarapan ringan pun disediakan oleh pihak penganjur. Beralas juga perut teman walaupun tak sempat nak jamah sebelum berangkat ke mari. Sebagai permulaan aktiviti, sesi taklimat oleh penganjur dan ucapan kata-kata aluan disampaikan oleh yang dipertua MPK. Selanjutnya sesi yang sememangnya wajib dilakukan sebelum kayuhan bermula, iaitu sesi bergambar.



Maka bermulalah babak aksi kayuhan santai basikal klasik. Inilah acara kayuhan yang paling jauh pernah teman lakukan. Inilah juga acara berbasikal yang paling selamat, paling teratur, paling terancang dan paling sistematik pernah teman lalui. Dikawal oleh polis trafik sepanjang lalu lintas. Dipantau juga oleh pihak berkuasa MPK. Dibantu juga oleh ahli-ahli sukarelawan dari kelab penganjur. Memang tidak syak lagi. Sungguh santai kayuhan kami bersama rakan taulan. Sungguh bersahaja dan tenang kayuhan kami dengan lanskap dan struktur binaan yang indah lagi mengasyikkan.



Alkisah diringkaskan cerita, perjalanan berbasikal pergi dan balik berjalan dengan lancar dan selamat. Selesai sahaja acara konvoi berbasikal, sesi bebas, rehat sambil makan pun bermula. Pasti tidak syak lagi. Menu yang disajikan tidak lain dan tidak bukan - nasi lemak along sambal kayu api. Memang sedap. Sambil makan dan berbual-bual sesama para pencinta basikal klasik. Teman begitu teruja melihatkan setiap mirip wajah yang ada di sekeliling pada waktu itu. Ada yang telah berusia, ada yang sekecil peringkat sekolah rendah. Pelbagai perwatakkan yang teman lihat masing-masing selesa bercampur gaul antara satu sama lain.


Inilah semangat dan aura berbasikal klasik yang teman ingin lihat agar ia akan berpanjangan, berlanjutan dan berkonsisten di setiap pelusuk negeri. Beriringan dengan tema blog ini yang memberi sokongan penuh kepada kempen aktiviti berbasikal. Bertepatan juga dengan ideologi blog ini yang bukan saja menyokong gerakkan untuk berbasikal, malah berbasikal klasik berserta tingkah gaya yang penuh energi, berterampilan lagi berbudiman. Maka inilah sahaja laporan ringkas lagi tidak rasmi dari teman bagi acara ini. Moga kita berjumpa di acara kayuhan lain pula. Esok teman akan muat-turunkan video babak kayuhan pula. Tungguuuuuuuu.

Saturday, December 1, 2012

Persiapan Terakhir Sebelum Kayuhan Bandar DiRaja Klang

Bulan Disember pun sudah menjelang tiba. Pengisian pertama untuk bulan terakhir dalam tahun 2012 ini, teman kongsikan paparan mengenai persiapan untuk acara kayuhan ke Bandar Diraja Klang pada esok hari. Seperti paparan gambar di bawah, basikal teman telah pun selesai dimasukkan ke dalam kenderaan. Esok awal pagi akan bertolak ke Klang. Nantikan laporan tidak rasmi dari teman selepas usai acaranya nanti. Tungguuuuuu.

Friday, November 30, 2012

Kempen Menyokong Penyertaan Kayuhan Bandar DiRaja Klang

Teman mewakili blog teman yang tak seberapa menarik ini menyokong sekaligus akan menyertai acara "Kayuhan Santai Basikal Klasik Ke Bandar DiRaja Klang". Bersama-samalah kita menjayakan acara julong kali ini yang dianjurkan oleh Port Swettenham Classic Bicycle.. Semoga dapatlah hendaknya dihimpunkan seberapa ramai pencinta, pemilik basikal klasik tidak kira terdiri daripada kelab, persatuan mahupun individu. Ayuh kilat dan gilapkan sepeda klasik anda. Berkayuh dengan penuh gaya, diatas basikal yang berestetika klasik. Jom reramai pakat serbu Bandar DiRaja Klang pada 2 Disember 2012.

Wednesday, November 28, 2012

Rintihan Dan Keluhan Basikal Tuaku Di Musim Hujan

Di musim hujan ni, cuaca kerap kali sejuk, nyaman dan dingin. Ikim persekitaran pun sekali-sekala lembab, basah dan lenjun. Dalam suasana atmosfera sebegini, ada waktu tertentu kadang kala menggigil dan menggeletar juga dibuatnya. Oleh itu, selubungkanlah, selaputkanlah, balutkanlah serta selimutkanlah daku ini wahai tuan empunya basikal klasik.

Wednesday, November 21, 2012

Lorong Khas Laluan Basikal, Sejuta Impianku

21.11.12 cantik juga susunan nombor tarikh pada hari ni. Nasib baik tak jatuh pada hari minggu. Kalau tidak pasti ramai akan menempahnya untuk dijadikan hari pernikahan atau persandingan. Teman juga tertarik untuk mengambil inisiatif bagi memuatkan pengisian pada blog ini. Maka perhatikan foto berikut:


Ya betul. Lorong laluan untuk basikal. Teman percaya setiap dan segenap pengayuh basikal tidak kira apa jua jenis baasikal yang dikayuhinya pasti mengimpikan agar suatu hari nanti jalanraya di negara kita disediakan dengan kemudahan laluan basikal. Kempen untuk lorong laluan basikal telah lama disuarakan. Terutamanya di Pulau Pinang dimana pelbagai kaedah kempen dilaksanakan pada setiap tahun. Mungkin diatas faktor geografi, logistik atau kuasa pelaksanaan yang kurang dinamik menjadi menyumbang kegagalan pelaksanaan laluan basikal. Semestinya ramai lagi yang arif dari teman tentang kearifan faktor-faktor yang diutarakan.

Pelbagai artikel boleh kita dapati tentang faedah dan kebaikkan sekiranya sesuatu negeri atau komuniti itu mempunyai laluan basikal. Kaedahnya mudah sahaja. Ada lorong laluan basikal, maka secara automatik akan menggalakkan kewujudan pengguna basikal yang bertambah. Bukan sekadar kuantitinya bertambah, bahkan kekerapan aktiviti berbasikal juga akan meningkat. Dua faedah yang jelas dan terang dengan hanya menggunakan akal malah tidak perlu dikaji adalah seperti berikut:-

1.Kebaikan dari sudut kesihatan
  • Dapat juga bersenam menyihat serta menyegarkan badan. Secara tidak langsung boleh kurang risiko obesiti, jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

2. Kebaikan dari sudut penjimatan

  • Apa yang teman boleh katakan. Sifir matematiknya mudah saja. Tiada kegunaan automobil bersamaan = Jimat petrol, jimat tol, jimat kos parkir, jimat kekerapan kos servis dan sebagainya.

Marilah kita berkempen, bersuara, bergerak, bertindak mengikut tahap kuasa dan kemampuan kita agar suatu hari nanti laluan khas untuk basikal di jalanraya akan terlaksana di bumi Malaysia yang indah ini. 

Monday, November 12, 2012

Terserempak Dengan Entiti Yang Luar Biasa

Menyusuri perjalanan pulang dari pejabat teman di Shah Alam. Jam menunjukkan hampir pukul enam petang. Cuaca sejuk, nyaman bersulam dengan angin dingin sepui bahasa. Maklumlah baru lepas usai hujan lebat. Di suatu selekoh dalam pemanduan pulang ke rumah itu, tumpuan mata teman dicuri oleh suatu entiti yang juga menyusuri di jalan yang sama. Begitu pegun dan terpesona teman dibuatnya. Mana taknya, bukan selalu boleh terserempak dengan entiti tersebut. Lebih-lebih lagi di tengah bandar metropolitan yang serba moden ini. 

Terpesonanya teman hinggakan berusaha sedaya upaya sambil memandu untuk menangkap foto entiti tersebut. Berkat ketenangan dan tidak gopoh-gapah, akhirnya berjaya juga dalam tempoh detik berselisih yang singkat itu, menangkap gambar entiti tersebut untuk dikongsikan bersama dalam blog ini. Maka di bawah inilah gambarnya yang teman maksudkan sebagai entiti itu. Apa lagi teman boleh katakan; orang biasa, tegah biasa. Kudrat biasa, basikal tua luar biasa.


Thursday, November 1, 2012

Foto Basikal Klasik Ku Edisi November 2012

Teman mulakan pengisian pertama dalam bulan November ini dengan perkongsian gambar-gambar terkini  basikal klasik teman. Walaupun bulan ini dijangka dan diramalkan lebih banyak penurunan hujan akan berlaku berbanding bulan lepas, semoga blog ini teman mampu mengarang pengisian artikel-artikel yang bermanfaat tentang segala serba-serbi hobi berbasikal klasik. Mudah-mudahan terhiburlah hendaknya para pembaca serta pengunjung yang budiman sekalian. Buat sementara waktu ini marilah sama-sama kita menjamu mata dengan paparan gambar basikal klasik teman yang terkini.




Wednesday, October 24, 2012

Istilah Basikal Antik, Basikal Klasik dan Basikal Tua


Apa khabar pelawat sekalian? Bagaimana kayuhan anda pada musim hujan ni? Semoga terus maju ke hadapan dengan kayuhan basikal masing-masing. Jangan belok jatuh tergolek pula. Selalunya waktu petang sebegini teman akan berada di luar rumah sambil mengayuh basikal tua mengelilingi taman. Tapi pada saat ini, hujan turun mencurah-curah membasahi muka bumi. Oleh itu teman mengambil sedikit waktu yang luang ini sekadar ingin berkongsi secubit ilmu tentang istilah-istilah basikal.

Secara umumnya, masyarakat Malaysia mengistilahkan kata nama untuk basikal tua kepada tiga istilah. Pertama basikal antik, kedua basikal klasik dan ketiga semestinya basikal tua. Inilah secara kebiasaannya digunapakaikan oleh masyarakat kita untuk melabelkan basikal masing-masing yang rata-rata berusia 40an ke 70an. Maka teman menanyakan pada diri sendiri, apakah yang membezakan istilah-istilah ini dari sudut perkataan makna yang rasmi? Dengan sedikit kerja rumah dan sekadar berkongsi ilmu, teman peroleh informasi terhadap definisi makna yang tepat dan agar kita tahu ayat mana bersesuaian digunakan lebih-lebih lagi dalam suasana formal atau rasmi.

Definisi untuk basikal antik:
  • Basikal yang lama atau berusia.
  • Bersifat jarang /sukar ditemui (rare).
  • Mempunyai faktor nilaian harga / mahal.
  • Basikal lebih kepada untuk simpanan, peragaan atau koleksi.
  • Tidak diguna-pakai atau dipraktik.
  • Contoh: anda mengunjungi sebuah kedai kopitiam yang memperagakan basikal tulin New Hudson keluaran England awal 50an sebagai sebahagian koleksi hiasan dalaman kedai tersebut. Maka ini sebagai contoh istilah untuk basikal antik.

Definisi untuk basikal klasik:
  • Basikal yang lama atau berusia.
  • Tidak semestinya bersifat jarang ditemui (rare).
  • Tidak disabitkan sebagai begitu berharga tetapi sekadar umum diketahui barang lama.
  • Berfungsi, diguna-pakai atau dipratikkan.
  • Basikal "klasik" ialah istilah umum untuk semua jenis basikal yang lama.
  • Contoh: Jika dikumpulkan bersama-sama basikal chopper, basikal penny-farthing dan basikal tua posman, maka boleh dihimpunkan dalam satu istilah iaitu "Itu adalah basikal-basikal klasik".

Definisi untuk basikal tua:
  • Nama khas untuk basikal-basikal yang umum dipakai oleh masyarakat Malaysia sejak awal 40an lagi yang rata-rata dibuat atau berasal dari negara England.
  • Basikal "tua" juga khusus secara kebiasaan bersaiz 28, 26, 24 serta berjenama seperti Raleigh, Robin Hood, BSA, Hercules, New Hudson, Triumph, Rudge, Humber dan lain-lain. 

Itulah sahaja coretan perkongsian ilmu yang tak seberapa ini. Perlu diingatkan bahawa ini sekadar panduan pengetahuan am untuk digunakan pada kesesuaian suasana formal atau rasmi sahaja. Jika ditanya pandangan teman, teman lebih cenderung untuk menggunakan istilah basikal "klasik". Alasannya mudah kerana teman suka akan lenggokan sebutannya yang tampak elegan. Terpulang pada citarasa masing-masing. Yang penting terus maju kayuh ke hadapan sambil memartabatkan kempen berbasikal klasik. Sehingga kita bersua lagi.



Wednesday, October 17, 2012

Video Himpunan Basikal Klasik Terbesar MBoR


video 
Diatas memenuhi permintaan sahabat-sahabat pencinta basikal klasik, teman telah memuat-turunkan klip video acara Himpuan Basikal Klasik Terbesar MBoR di Melaka yang telah berlangsung pada 16 September 2012 yang lalu. Akan tetapi kualiti video ini tidak seberapa memuaskan memandangkan penangkapan video dibuat menggunakan telefon bimbit biasa. Oleh itu video ini hanya sesuai ditonton dengan paparan resolusi kecil sahaja. Selamat menonton untuk kenangan bersama dan teruskan semangat berkempen basikal klasik.

Thursday, October 11, 2012

Video Kayuhan Mengeteh ke Ipoh Station


video 
Video ini memaparkan babak aksi kayuhan berkonvoi basikal klasik. Klip-klip ini bermula dari Dataran Tasik, Puchong Perdana hinggalah ke destinasi yang dituju iaitu Kafe Ipoh Station di Bukit Puchong. Video kayuhan berkonvoi ini berlangsung selama empat minit lebih. Selamat menonton dan teruskan semarak anda melestarikan basikal klasik.

Tuesday, October 9, 2012

Pengalaman Kayuhan Mengeteh Ke Kafe Ipoh Station

Selesai sudah aktiviti riadah berbasikal klasik di Puchong pada tempoh hari. Alhamdulillah syukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Kayuhan teman pada kali ini merupakan yang paling jauh pernah teman kayuh menggunakan basikal tua. Seramai 14 pencinta dan pemilik basikal klasik telah menyertai dan menjayakan aktiviti ini. Masing-masing dengan 3 basikal Chopper dan selebihnya 11 basikal tua. Mereka ada yang datang dari Klang, Banting dan semestinya sekitar kawasan Puchong.


Dataran Tasik di Puchong Perdana merupakan tempat untuk kami berkumpul. Disinilah teman telah berkenalan dengan 11 sahabat baru. Masing-masing dengan basikal mereka yang hebat-hebat belaka. Kami memulakan kayuhan berkonvoi pada petang itu dalam keadaan cuaca yang baik. Perjalanan menuju ke Kafe Ipoh Station memakan masa lebih kurang 25 minit. Perjalanan menuju ke sana amat lancar memandangkan laluan yang kami gunakan adalah menerusi sekitar taman-taman perumahan. Kayuhan santai lagi bersahaja memukau serta memikat mata yang memandang. Apatah lagi masyarakat bandar yang jarang-jarang dapat melihat basikal tua dan chopper beraksi di tengah bandar.


Sebelum menghampiri lokasi yang dituju, konvoi kami disertai bersama oleh pemilik Ipoh Station bersama 2 orang anaknya. Ketiga-tiga beranak ini juga mengayuh basikal tua. Memang tabik hormat dan dasyat. Maka jadilah kami semuanya 14 pengayuh basikal klasik meneruskan perjalanan menuju ke Ipoh Station. Setibanya di sana dengan gaya susunan basikal masing-masing di hadapan Ipoh Station, maka bergemalah bunyi "klik, klik" iaitu acara menangkap gambar.


Sambil mengeteh (minum teh) dan menjamu selera, pelbagai maklumat, pengalaman serta cerita dikongsikan bersama. Kurang lebih satu jam berada di Ipoh Station, kami pun berangkat pulang. Pulang dengan perut kenyang, hati gembira, basikal kilat bergaya, sahabat-sahabat baru yang sekepala. Apa lagi yang boleh teman gambarkan. Sememangnya situasi yang manis untuk dikenang bersama. Teman harap aktiviti seperti ini dapat dijadikan sebagai acara bulanan. Dengan adanya pendedahan aktiviti seperti ini di kawasan bandar-bandar, secara tidak langsung dapat juga menarik minat orang ramai untuk menceburi hobi berbasikal klasik. Jom kempen sihat berbasikal klasik!!

Friday, October 5, 2012

Jom Kayuhan Mengeteh ke Kafe Ipoh Station

Esok (Sabtu, 6 Oktober 2012) akan diadakan satu sesi kecil kayuhan berbasikal klasik. Tempat berkumpul dan permulaan kayuhan adalah dari Dataran Tasik (berhampiran masjid terapung), Puchong Perdana. Destinasi yang dituju pula adalah Restoran Ipoh Station, Bukit Puchong. Sekadar bersenam dan beriadah di waktu petang dengan sahabat-sahabat pencinta basikal klasik di sekitar taman. Secara tidak langsung menperluaskan lagi keperihatinan masyarakat setempat tentang kerancakkan berbasikal klasik. Maka nantikan laporan tidak rasmi dari teman setelah usainya aktiviti ini. Tungggguuuuu.

Wednesday, October 3, 2012

Tempat Duduk Basikal Tua Dari India


Pengisian artikel pertama di bulan Oktober ini teman ingin kisahkan tentang penggantian kepada tempat duduk basikal tua yang baru. Diperolehi menerusi pembelian di laman internet seperti biasa. Tempat duduk ini telah lama teman idamkan kerana ia mempunyai besi lingkaran spring yang besar. Bahkan yang terbesar diantara semua jenis tempat duduk basikal tua yang ada di pasaran. Diperbuat khas dari negara India. Begitu padan serta tampak gah apabila dipasangkan pada basikal tua teman yang sememangnya besar bersaiz 28. Tempat duduk yang lama pun teman sudah jual pada rakan seperjuangan. Lepas ni boleh kayuh lebih jauh lagi memandangkan ada penambahan dari segi  keselesaan.

Thursday, September 27, 2012

Selamat Berkayuh Di Musim Hujan

Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ni (September - Oktober 2012). Daripada pengamatan teman, musim hujan atau tengkujuh telah membuka tirainya dan mungkin berlarutan hingga ke akhir tahun. Hari ni dan semalam pun mencurah-curah air dari langit turun membasahi muka bumi di sekitar lembah klang. Sejuk dan nyaman dibuatnya.

Oleh itu artikel pada kali ni teman hanya ingin menyampaikan pesanan ringkas sahaja. Kepada para pengayuh basikal, yang tegar, yang aktif, tidak kira apa jua jenis basikal, berhati-hatilah semasa berbasikal dimusim tengkujuh hingga ke akhir tahun ini. Maklumlah jalan licin lagi basah, berlecak mahupun bertakung boleh membawa pelbagai risiko kepada para pengayuh. Semestinya kita jarang atau tidak sama sekali berbasikal semasa hujan. Hanya berwaspada, cermat dan lebih berjaga-jagalah apabila berbasikal dalam keadaan selepas hujan.

Semoga memberi peringatan buat diri teman dan para pembaca sekalian. Cuaca mungkin bukan halangan utama untuk aktiviti berbasikal jika kita bijak mengenalpasti keadaan dan menguruskan situasi dengan cekap. Selamat berkayuh.


Friday, September 21, 2012

Plat Nombor Lesen Basikal Tua

Sekadar berkongsi cerita dan mengemaskini blog. Sebelum berlangsungnya acara himpunan basikal tua terbesar MBoR  di Melaka pada 16 September 2012 yang lalu, teman masih ada menerima beberapa barang aksesori basikal tua yang dibeli dari beberapa rangkaian pengiklanan di laman web. Semua aksesori tersebut juga bertujuan untuk menggilap dan melengkapkan lagi kesempurnaan basikal teman sempena acara MBoR yang lalu.

Teman telah terima satu lagi bungkusan yang seperti biasa datang jauh dari negara England. Agak sukar dan susah juga untuk dapatkan barang tersebut kerana ramai dari pelusuk negara yang inginkannya juga. Maka terpaksalah barang tersebut dibida. Alhamdulillah, rezeki teman untuk memperolehinya kerana berjaya mendapat bidaan yang tertinggi pada saat terakhir.


Maka inilah aksesori tersebut iaitu merupakan tag plat lesen basikal yang tertera perkataan "Bicycle Garden City 6669". Bukan setakat plat lesen itu yang teman inginkan, malah menyangkut klipnya juga merupakan barang yang diburui ramai peminat tegar basikal tua kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Malah boleh dikatakan hampir tiada dijual di mana-mana ceruk pasaran. Platnya pun teman dah pasangkan di bahagian hadapan basikal seperti yang terdapat pada gambar di atas. Lepas ni nak bawa siar-siar di kawasan taman perumahan pula. Hingga kita bersua lagi.

Wednesday, September 19, 2012

Pengalaman Menyertai Himpunan MBoR: Bahagian 2

Sambungan dari artikel sebelumnya. Para pembaca yang pertama kali datang, sila baca bahagian satu untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.


Semasa berbaris untuk pendaftaran, diwaktu inilah teman berkenalan dengan sahabat pertama iaitu saudara abang Najib (atau lebih dikenali dalam fb ken watanabe). Dari jauh memang nampak segak berpakaian serba putih ala pengiring Perdana Menteri diawal zaman kemerdekaan. Bahkan gambarnya memang dipaparkan dalam akhbar keesokkan harinya. Tahniah.




Teman telah mendapat no pendaftaran 381. Ramai kenalan baru pencinta-pencinta basikal tua dipertemukan yang datang jauh dari pelbagai negeri. Pelbagai citarasa busana diperagamkan oleh peserta-peserta bagi menggamitkan lagi kemeriahan acara. Ada yang berpakaian tradisional, ada yang berpakaian unit berunifom tentera dan macam-macam lagi bersesuaian dengan tema kemerdekaan. Perkongsian pengalaman dan cerita-cerita serba serbi tentang basikal tua turut dikongsikan bersama. 



Perasmian telah berlangsung dengan ucapan kata-kata aluwan oleh para tetamu yang terhormat. Maka secara tidak langsung tercatitlah sejarah didalam Malaysia Book of Records perhimpunnan terbesar basikal tua dan klasik yang pernah diadakan di tanah air kita. Kemudian disusuli pula dengan pelepasan acara kayuhan yang ditunggu-tunggu oleh kesemua para peserta. Laluan kayuhan adalah mengelilingi sekitar kawasan MITC. Memang meriah dan teramat seronok. Kayuhan beramai-ramai secara santai, cuaca yang mendung tidak panas, orang awam pegun memerhatikan sambil menangkap gambar. Jakun juga teman dibuatnya hinggakan kalau boleh nak saja teman tawaf MITC tu lagi dua kali..



Usai sudah kayuhan, makanan pun diberikan maka kami semua bersantai rehat sambil dihidangkan dengan beberapa acara pentas. Akhir sekali acara penyampaian pelbagai anugerah diadakan. Selesai sahaja maghrib, pergi ke parkir kereta teman, leraikan bahagian basikal sekadar untuk dimuatkan ke dalam kerata, teman pun berangkat pulang ke rumah. Walaupun badan sedikit penat, tapi hati, jiwa dan sanubari berasa puas riang gembira.

Inilah pertama kali teman menceburi aktiviti berbasikal tua. Tiada apa boleh teman gambarkan melainkan kenagan manis belaka. Syabas kepada para penganjur yang telah menjayakan acara ni sama ada terlibat secara langsung atau tidak. Tahniah juga diucapkan kepada semua para peserta yang hadir. Harapan teman agar acara seperti ini atau sewaktu dengannya dapat diadakan lagi secara berkala, berkonsisten serta berpanjangan. Semoga basikal tua, antik atau klasik sentiasa dilestarikan sepanjang hayat. 

Sekian laporan secara tidak rasmi dari teman. Moga berjumpa lagi.

Tuesday, September 18, 2012

Pengalaman Menyertai Himpunan MBoR: Bahagian 1

Alhamdulillah. Itulah perkataan pertama yang boleh teman luahkan sebagai muqadimah untuk mengisi artikel pada kali ini tentang pengalaman mengikuti acara MBR. Syukur kerana segala perjalanan pergi dan pulang adalah dalam keadaan selamat. Syukur juga kerana semuanya berjalan dengan mudah dan lancar.

Teman pergi tiadalah mewakili dari mana-mana persatuan atau kelab. Tidak pula ditemani oleh rakan taulan atau ahli keluarga. Hanya sendiri sebagai individu yang pertama kali menyertai acara atau aktiviti berbasikal tua. Pertama kali yang berkebetulan sejajar dengan acara yang terbesar pernah dianjurkan. Sememangnya gementar juga dibuatnya. 

Membawa basikal ke dalam kerata memang satu cabaran bagi teman. Maklumlah kereta pun boleh dikategorikan sebagai jenis kereta kompak. Dengan basikal tua teman bersaiz 28, ternyata amat mustahil untuk dimuatkan ke dalam kerata. Maka terpaksalah teman meleraikan beberapa bahagian basikal seperti tayar dan rim agar boleh dimasukkan ke dalam kereta. Itu pun setelah dibaringkan segala tempat duduk kereta.

Memandangkan perjalanan ke Melaka dari rumah teman hanya sejam setengah, teman telah merancang untuk bertolak pada jam 10.30am. Dengan itu memang sedang eloklah tiba di sana awal sikit sebelum pendaftaran bermula. Tapi apakan daya minggu tu Hari Malaysia cuti panjang sampai hari Isnin. Pertambahan kereta di lebuhraya dan kesesakkan teruk di sepanjang jalan Ayer Keroh menyebabkan teman tiba di Melaka pada jam 1.15pm.

Agak mendebarkan bila mana teman memandu menghampiri perkarangan Mydin MITC, kelihatan ratusan basikal tua sudah kemas berbaris. Teman ingat dah nak mula berarak. Panik jugalah dibuatnya dikhuatiri tak sempat nak himpun sekali. Mana taknya, alkisah teman nak cari parkir kereta lagi, alkisah nak pasang siap semula basikal lagi.

Mujur teman sempat. Malah jauh lebih sempat kerana pendaftaran berlanjutan hingga jam tiga. Bahkan ramai lagi rupanya yang datang lewat dari teman dan kesemuanya sempat berdaftar. Syabas. Memang begitu banyak sekali penyertaan sehingga mencecah 460 peserta kesemuanya.Tahniah. 

Coretan teman berhenti disini seketika. Sambungan kisah pengalaman akan teman kongsikan lagi pada esok hari. Maklumlah, menaip ni pun di pejabat dan pada waktu rehat tengah hari.  Masa agak kesuntukkan. Oleh itu nantikan susulannya pada esok hari. Tungguuuuu.