Friday, December 21, 2012

Basikal Klasik Dan Jalanraya Berlubang


Berhati-hati ketika berbasikal. Apatah lagi berbasikal dalam iklim cuaca selepas hujan. Lubang atau bahasa ringkas orang kampung ialah lopak memang sudah serasi dengan jalan raya. Tidak kiralah di negeri hatta di negara mana sekali pun. Seperti adik-beradik. (Bukan semua) tetapi hampir tidak dinamakan jalan raya kalau tiada lubang yang mencoraknya. 

Beringat sebelum kena. Itulah sahaja yang teman ingin sampaikan kerana hal seperti ini telah timpa pada diri yang menulis ini. Berbasikal selepas usai hujan lebat. Rata-rata permukaan jalanraya mencorakkan tompok-tompok takungan air. Ada yang berbentuk kolam renang olimpik. Tidak kurang juga yang berbentuk seperti tasik cini. Sangkaan teman mungkin hanya struktur jalan yang lendai, berlekuk sedikit atau tidak rata. 

Apabila meyusuri di pertengahan takungan yang tenang itu, tiba-tiba bagaikan ada sesuatu momentum yang mengangkat tinggi tayar belakang. Justeru mengikut ilmu fizik bahagian depan pun akan berganjak menurun ke depan seolah-olah brek mengejut. Rupanya-rupanya tayar hadapan telah terkena jerangkap lubang yang luas diameter seperti tayar bersaiz 14 dengan kedalaman lubang 7 inci umpama setinggi ukuran lampu cabait lucas. Nasib baik pada saat itu teman tidak mengayuh laju dan sempat mendaratkan kedua-dua kaki ke atas jalan bagi mengimbangi basikal dan mengelakkan dari jatuh tersungkur seperti contoh gambar hiasan di atas.

Mujur semua selamat dan tiada kerosakkan pada bahagian basikal mahupun diri tuan punya basikal. Kaget juga dibuatnya. Walau apa pun rintangan ayuh teruskan melestari berbasikal klasik.