Friday, April 24, 2015

Alice Blue In Putrajaya


Ini bukan kisah "Alice In Wonderland". Tapi sebuah nukilan tentang "Alice Blue In Putrajaya". Bunyi hampir sama tapi hikayat jalan ceritanya berbeza. Sekali sekala mendongak kepala ke langit yang terbentang luas. Tidak diterhad jarak pemandangannya. Terpegunlah sejauh mana sepasang mata ini ingin dipeguni dengan kecantikan langit serta awan yang kebiruan cair. Bertambahlah lagi kepukauannya bilamana lokasi daratannya pula adalah di sekitar Putrajaya. Hakikatnya telah beberapa kali daku menjejaki mukim Putrajaya sebelum ini tetapi baru sekarang dapatku selami keindahan panoramanya yang lestari.

Misinya hanyalah tunggal. Iaitu membawa si biru langit pergi bersiar-siar di sekitar Putrajaya. Ini merupakan kali pertama si biru langit ingin meninggalkan kesan jejaknya di sana. Bukan selalu kita dapat melilhat kelibat warna "Alice Blue" di atas jalanraya yang dinaungi struktur-struktur bangunan kerajaan. Tidak sukar untuk menarik perhatian mata-mata yang melihatnya. Niscaya pasti terpesona melihatkan komposisi bentuk badannya yang tampak agresif dan tegap berbanding dengan kenderaan-kenderaan kompak berjenama lain. Keserlahannya lebih ketara pada bahagian lampu hadapannya yang bercirikan lampu LED projektor waktu siang atau "day light". Saiznya yang kompak lagi padu amat sesuai untuk dipandu menyusuri jalan-jalan metropolitan atau kota raya yang hampir sepanjang waktu siangnya dipenuhi dengan kenderaan.

Sudahlah ia berwarna biru langit. Teringat pula pada cerita kartun Dragonball Z. Ibarat seperti kepulan awan kecil yang dinaiki Goku lantas membawanya ke sana sini dengan lincah sekali. Seumpama begitulah daku merasainya taktala memandu si biru langit ini. Bukan laju tetapi tangkas dan responsif membelok kiri kanan merentasi laluan-laluan yang begitu permai sekali di sekeliling Putrajaya. Seperkara lagi yang begitu terujakan daku ialah kadar bunyi dari enjin dan unsur-unsur persekitaran luar berjaya ditapis dengan baik sekali serta berada pada tahap yang minimal. Suasana dalam ruang kabin bagai mengemudi sebuah kenderaan yang bayaran bulanannya mungkin mencecah dua ribu ringgit ke atas. Tidaklah dikatakan hingga sunyi dan sepi. Tapi lebih kepada perasaan hening dan tenang.

Bukan sekadar ketenangan dapat dirasai, malah ciri-ciri keselamatan bertaraf kelas pertama yang dilengkapi membuatkan daku lebih yakin untuk mengemudinya. Antara ciri-ciri yang tidak dikompromikan itu adalah empat cekera brek, enam beg udara, kawalan kestabilan keselamatan (VSM), kawalan kestabilan elektronik (ESC) serta kawalan bantuan pendakian bukit (HAC). Bagaikan sebuah blog automotif pula. Tiadalah daku menukil artikel ini atas dasar untuk membuat analisis atau "review" si biru langit ini, tetapi hanya perkongsian pengalaman menikmati detik-detik yang santai bersamanya.

Berbalik semula kepada bicara rondaan di sekitar Putrajaya. Pada awalnya daku tidak merancang hala tuju yang ingin disinggahi. Hajatnya ingin membawa si biru langit ke kawasan yang sehampir atau sedekat dengan persisiran tepi tasik Putrajaya. Tapi daku tidak mengerti sama sekali akan selok belok tentang lokasi yang ingin ditujui itu. Kemungkinan besar mana mungkin ada laluan untuk kenderaan seperti kereta untuk berada sebegitu hampir dengan persisiran tasik Putrajaya. Pusing punya pusing, alih-alih tanpa disedari hala tuju pemanduanku benar-benar menuju ke suatu kawasan yang menpunyai laluan akses yang agak besar dan sesuai untuk kereta melaluinya. Saat yang begitu menghiburkan hatiku bilamana laluan tersebut sebenarnya menuju ke akses sebuah dataran yang begitu hampir dengan persisiran tepi tasik. Percaya atau tidak si langit biru telah berjaya daku tempatkan hanya kurang dari 20 kaki saja dari tepi tasik Putrajaya.

Pengembaraan daku dengan langit biru ke Putrajaya telah mencapai kemuncaknya dan berkesudahan di sini. Ku matikan saja dahulu enjinnya dan membiarkannya dalam keadaan khusyuk menikmati suasana persekitaran yang tenang bersamaku. Terasa begitu syahdu. Terlampau sunyi. Kiranya si langit biru ini ada jiwa serta perasaan, pasti luluh dan hiba hatinya mengenangkan betapa sempurnanya hasil ciptaan yang Maha Agung. Sesungguhnya Allah mengurniakan akan daku dengan hati yang halus. Mungkin mudah terasa tapi begitu cermat hasil seninya. Mungkin sensitif tetapi begitu teliti dan peka akan perihal sekelilingnya yang dalam keperluan atau bantuan. Alhamdulillah. Dengan hati halus inilah banyak hikmah-hikmah dari Allah  yang daku dapat ambil pelajaran untuk dijadikan iktibar dan sepadan. Baik dari segi pael manusia yang pelbagai ragam mahupun faktor alam yang tidak keruan menyahut ketibaan akhir zaman. Kepada diriku sendiri diperingatkan akan janganlah lagi terleka dan lalai dengan perkara-perkara yang lagho. Daku mendoakan agar kita semua senantiasa berada dibawah naungan hidayah dan tauqik  Allah s.w.t. Ketahuilah bahawa hati kita ini sentiasa dibolak balik oleh Allah, maka pohonlah kepadaNya secara konsisten agar hati kita ini sentiasa istiqomah dalam ketaatan dan beramal soleh.

Terkasima sebentar daku bersama si langit biru di persisiran tasik itu yang begitu mengasikkan untuk berwisata. Lama juga daku mengelamun keseorangan bersandarkan badan si biru langit yang tegap itu sambil menikmati pemandangan yang permai. Persekitarannya bagai menyeru daku untuk kembali mengunjunginya sekali lagi. Ya pasti akan ku bertandang ke sini lagi untuk berkhalwat bersama yang Maha Pencipta. Tiada lain hanya tiga entiti ini yang akan bersamaku pada kunjungan seterusnya iaitu awan langit yang menawan, bumi daratan yang indah dan duduk di tengah antara dua ini adalah si biru langit yang dinamik (atau mungkin sekali bersama sanar ya babult kit wut). Sekian dan semoga kalian dirahmati Allah.
 

Berhenti seketika di dataran Masjid Putra sambil menunggu waktu Maghrib menonjol.

Di sisi terusan Putrajaya. Begitu sinonim perkataan terusan itu dengan Kota Venice atau Sungai Nil. Mana satu pilihan anda?

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Teringat pada satu pepatah bahasa asing iaitu sanar ya babult kit wut.

Thursday, April 9, 2015

Antara Nak Dan Tak Nak



Janggal rasanya. Tidak tahu bagaimana nak mulakan. Sekian lama. Hakikatnya rasa puas jika dapat diluahkan melalui penulisan tapi segan pula untuk dijadikan tatapan bacaan umum. Semoga situasi menang-menang dapat dicapai iaitu dengan harapan tiada ramai yang minat untuk membacanya walaupun telah dipaparkan. Sesungguhnya begitu teliti dan penuh hikmah akan percaturan Allah terhadap hamba-hambanya. Hanyasanya diri ini saja yang tidak mengerti untuk bersyukur dan mengaut kenikmatan yang ditawarkan. Kenapa kita perlu langkah ke lurah gaung sedangkan sebentang jambatan yang kukuh lagi indah telah tersedia untuk diseberangi? Aduhai diri ini yang tidak mahu mengambil inisiatif. Ibarat daging liat. Pernah makan daging liat? Dikunyah-kunyah. Dikumat-kamit. Hingga lenguh otot-otot mulut dibuatnya. Nak telan takut tercekik. Alih-alih dikeluarkan semula dari mulut. Begitulah liatnya hati ini untuk merebut peluang yang telah pun dijejaki tetapi tidak mahu menyerlah lalu mensia-siakan begitu sahaja. Kadang-kadang tu penat. Bukan kadang-kadang penat. Tapi sudah setiap detik itu langsung terus rebah tersungkur dek kalah berjihad melawan dogaan iblis, syaitan dan sekutu-kutunya.


Telah Allah ketemukan daku dengan dua insan yang cukup teristimewa buat diriku. Insan-insan yang daku begitu sanjungi. Kesanjungan yang diberikan bukan gah dari skop kebendeaan atau materialistik. Akan tetapi sifat ketabahan, kecekalan mereka dalam menerima dan mengharungi ujian yang Allah kurniakan kepada mereka. Itulah membuatkan daku begitu terpegun dan terpanggu. Menyedarkan diri. Menginsafkan diri yang selama ini dibuai oleh lembayung zon selesa. Bukan calang-calang dugaan serta ujian yang Allah aturkan. Sejujurnya daku awal-awal lagi mengibar dan melambai kain putih tanda menyerlah kalah dan ketidaksanggupan memikul beban ujian yang mereka berdua lalui. Allah maha mengetahui akan hikmahnya. Ketahuilah wahai Abang Darwish dan Saiful. Besar kemungkinan peluang untuk kalian membaca luahan ini amat tipis kerana kalian mungkin tidak arif akan wujudnya blog ini. Ketahuilah, Allah amat menyayangi dan mengasihani kalian berdua. Kerana dengan ujian-ujian tersebut, kalian dibentengi dari kelekaan, kelalaian dan bermalas-malasan. Dengan ujian ini kalian begitu hampir kepada Allah dan ternyata Allah lebih hampir dari urat leher kalian sendiri. Tiadalah seseorang itu dikatakan telah beriman melainkan Allah ujikannya. Maka bersabarlah. Tabahlah. Redolah. Kafarah buat kalian disini untuk kesenangan di akhirat kelak. In shaa Allah.


Ku peringatkan pada diriku yang serba daif ini, agar lebih berjaga-jaga dalam mendepani liku-liku hidup. Apatah lagi suasananya sering dilihat dalam zon selesa. Maka bersiap sedialah dengan kafarah. Yakni timbal balik diatas dosa-dosa yang kita telah lakukan selama ini. Ia boleh datang kepada kita dalam pelbagai bentuk dan cara. Penyakit. Rezeki. Kebahagiaan. Apa mungkinkah Allah melupakan daku dengan tidak memberikan daku ujian? Hakikatnya kita haruslah bersangka baik terhadap Maha Pencipta kita kerana Dia lah yang maha arif, maha bijaksana lagi maha mengetahui setiap sesuatu perkara itu. Wallahu a'lam.

"Apakah kalian mengira bahawa kalian akan masuk ke dalam syurga, padahal belum datang kepada kalian (dugaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-rang yang bersamanya, Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat". Al-Baqarah: 214.