Tuesday, July 26, 2016

Kemaskini dan Pengubahsuaian Blog

Coretan. Nukilan. Karangan. Rencana. Semuanya merupakan perkongsian santai berdasarkan pengalaman hidup seharian. Artikel ini merupakan sebaran maklumat penting kerana ia melibatkan satu transformasi yang besar terhadap blog ini. Untuk pengetahuan para pengunjung sekalian, blog ini telah ditukar alamat sesawangnya daripada basikaltuaklasik.blogpsot.com kepada riwayatbudiman.blogspot.com. Perubahan ini berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya adalah:

Pertama: Topik dan isi kandungan
Umum diketahui motif blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang penglibatan hobi saya dalam arena berbasikal klasik. Bermula dari sekitar tahun 2012 hingga ke 2015 banyak pengalaman dan peristiwa yang berkaitan dengan kegiatan berbasikal klasik telah saya kongsikan. Taktala masa berlalu dan usia makin lanjut, begitulah juga tanggungjawab dan komitmen saya yang semakin banyak perlu digalaskan. Bukan setakat komitmen terhadap keluarga tercinta malah tuntutan fardhu kifayah (belajar dan mengajar) kepada masyarakat setempat juga harus dipikuli. Selaras dengan perubahan tersebut, maka skop artikel blog ini tidak akan tertumpu kepada perkongsian yang berkaitan basikal klasik sahaja. Malah topiknya akan diperluas berdasarkan apa jua pengalaman hidup saya yang bakal ditempuhi dari sehari ke hari. Diantara penambahan topik yang akan ditambahkan dalam ruangan "labels" adalah seperti berikut...
1. Ternakan dan Tanaman - Boleh dikatakan hobi baru dan merupakan kegiatan sampingan di waktu lapang.


2. Kisah Mistik - Sekali sekala mengarang nukilan yang direka-reka dan juga permintaan dari sepupu saya.


3. Hidup Memberi - Perkongsian dalam penglibatan saya belajar dan mengajar.



Kedua: Gaya bahasa
Jika para pembaca sekalian perasan, ganti nama saya untuk penulisan di dalam blog ini sejak ditubuhkan adalah "teman". Simboliknya adalah kerana meraikan latarbelakang saya yang berasal dari negeri Perak. Setelah beberapa tempoh, ganti nama tersebut telah berubah kepada "aku". Dan kini ganti nama diri telah ditukarkan kepada "saya". Apakah justifikasinya penukaran ganti nama dari "teman" ke "saya" ini? 
Ia adalah permintaan khas dari beberapa sahabat saya terutamanya berasal dari benua tanah arab. Mereka sering mengikuti perkembangan saya menerusi blog ini dan sedikit sebanyak mampu membaca penulisan berbahasa Malaysia ini dengan bantuan aplikasi "Google Translate". Justeru penggunaan ganti diri "teman" sebenarnya mengelirukan maksud ayat apabila diterjemahkan kepada bahasa lain. Oleh kerana inilah pembawaan penulisan saya di blog lebih cenderong kepada gaya tatabahasa Melayu yang rasmi supaya kemudahan aplikasi terjemahan Google dapat menterjemahkan nukilan saya kepada pelbagai bahasa lain dengan betul walaupun tidak seratus peratus tepat.

Ketiga: Rekabentuk blog
Blog ini tidak pernah bertukar wajah dan warna semenjak diwujudkan. Oleh itu buat pertama kalinya saya mengambil keputusan dan inisiatif untuk mengemaskini corak dan rekabentuk paparannya sesuai mengikut konsep yang direncanakan. Asasnya mudah dan seringkas mungkin.

Maka itulah sahaja hebahan yang ingin saya sampaikan. Kepada rakan taulan dari segmen basikal klasik, jangan risau dan jangan khuathir. Hobi berbasikal klasik ini tidak akan saya sisihkan. Satu hari kelak pasti akan kita bergandingan berkayuh sama-sama lagi. In shaa Allah.