Wednesday, October 24, 2012

Istilah Basikal Antik, Basikal Klasik dan Basikal Tua


Apa khabar pelawat sekalian? Bagaimana kayuhan anda pada musim hujan ni? Semoga terus maju ke hadapan dengan kayuhan basikal masing-masing. Jangan belok jatuh tergolek pula. Selalunya waktu petang sebegini teman akan berada di luar rumah sambil mengayuh basikal tua mengelilingi taman. Tapi pada saat ini, hujan turun mencurah-curah membasahi muka bumi. Oleh itu teman mengambil sedikit waktu yang luang ini sekadar ingin berkongsi secubit ilmu tentang istilah-istilah basikal.

Secara umumnya, masyarakat Malaysia mengistilahkan kata nama untuk basikal tua kepada tiga istilah. Pertama basikal antik, kedua basikal klasik dan ketiga semestinya basikal tua. Inilah secara kebiasaannya digunapakaikan oleh masyarakat kita untuk melabelkan basikal masing-masing yang rata-rata berusia 40an ke 70an. Maka teman menanyakan pada diri sendiri, apakah yang membezakan istilah-istilah ini dari sudut perkataan makna yang rasmi? Dengan sedikit kerja rumah dan sekadar berkongsi ilmu, teman peroleh informasi terhadap definisi makna yang tepat dan agar kita tahu ayat mana bersesuaian digunakan lebih-lebih lagi dalam suasana formal atau rasmi.

Definisi untuk basikal antik:
  • Basikal yang lama atau berusia.
  • Bersifat jarang /sukar ditemui (rare).
  • Mempunyai faktor nilaian harga / mahal.
  • Basikal lebih kepada untuk simpanan, peragaan atau koleksi.
  • Tidak diguna-pakai atau dipraktik.
  • Contoh: anda mengunjungi sebuah kedai kopitiam yang memperagakan basikal tulin New Hudson keluaran England awal 50an sebagai sebahagian koleksi hiasan dalaman kedai tersebut. Maka ini sebagai contoh istilah untuk basikal antik.

Definisi untuk basikal klasik:
  • Basikal yang lama atau berusia.
  • Tidak semestinya bersifat jarang ditemui (rare).
  • Tidak disabitkan sebagai begitu berharga tetapi sekadar umum diketahui barang lama.
  • Berfungsi, diguna-pakai atau dipratikkan.
  • Basikal "klasik" ialah istilah umum untuk semua jenis basikal yang lama.
  • Contoh: Jika dikumpulkan bersama-sama basikal chopper, basikal penny-farthing dan basikal tua posman, maka boleh dihimpunkan dalam satu istilah iaitu "Itu adalah basikal-basikal klasik".

Definisi untuk basikal tua:
  • Nama khas untuk basikal-basikal yang umum dipakai oleh masyarakat Malaysia sejak awal 40an lagi yang rata-rata dibuat atau berasal dari negara England.
  • Basikal "tua" juga khusus secara kebiasaan bersaiz 28, 26, 24 serta berjenama seperti Raleigh, Robin Hood, BSA, Hercules, New Hudson, Triumph, Rudge, Humber dan lain-lain. 

Itulah sahaja coretan perkongsian ilmu yang tak seberapa ini. Perlu diingatkan bahawa ini sekadar panduan pengetahuan am untuk digunakan pada kesesuaian suasana formal atau rasmi sahaja. Jika ditanya pandangan teman, teman lebih cenderung untuk menggunakan istilah basikal "klasik". Alasannya mudah kerana teman suka akan lenggokan sebutannya yang tampak elegan. Terpulang pada citarasa masing-masing. Yang penting terus maju kayuh ke hadapan sambil memartabatkan kempen berbasikal klasik. Sehingga kita bersua lagi.



Wednesday, October 17, 2012

Video Himpunan Basikal Klasik Terbesar MBoR


video 
Diatas memenuhi permintaan sahabat-sahabat pencinta basikal klasik, teman telah memuat-turunkan klip video acara Himpuan Basikal Klasik Terbesar MBoR di Melaka yang telah berlangsung pada 16 September 2012 yang lalu. Akan tetapi kualiti video ini tidak seberapa memuaskan memandangkan penangkapan video dibuat menggunakan telefon bimbit biasa. Oleh itu video ini hanya sesuai ditonton dengan paparan resolusi kecil sahaja. Selamat menonton untuk kenangan bersama dan teruskan semangat berkempen basikal klasik.

Thursday, October 11, 2012

Video Kayuhan Mengeteh ke Ipoh Station


video 
Video ini memaparkan babak aksi kayuhan berkonvoi basikal klasik. Klip-klip ini bermula dari Dataran Tasik, Puchong Perdana hinggalah ke destinasi yang dituju iaitu Kafe Ipoh Station di Bukit Puchong. Video kayuhan berkonvoi ini berlangsung selama empat minit lebih. Selamat menonton dan teruskan semarak anda melestarikan basikal klasik.

Tuesday, October 9, 2012

Pengalaman Kayuhan Mengeteh Ke Kafe Ipoh Station

Selesai sudah aktiviti riadah berbasikal klasik di Puchong pada tempoh hari. Alhamdulillah syukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Kayuhan teman pada kali ini merupakan yang paling jauh pernah teman kayuh menggunakan basikal tua. Seramai 14 pencinta dan pemilik basikal klasik telah menyertai dan menjayakan aktiviti ini. Masing-masing dengan 3 basikal Chopper dan selebihnya 11 basikal tua. Mereka ada yang datang dari Klang, Banting dan semestinya sekitar kawasan Puchong.


Dataran Tasik di Puchong Perdana merupakan tempat untuk kami berkumpul. Disinilah teman telah berkenalan dengan 11 sahabat baru. Masing-masing dengan basikal mereka yang hebat-hebat belaka. Kami memulakan kayuhan berkonvoi pada petang itu dalam keadaan cuaca yang baik. Perjalanan menuju ke Kafe Ipoh Station memakan masa lebih kurang 25 minit. Perjalanan menuju ke sana amat lancar memandangkan laluan yang kami gunakan adalah menerusi sekitar taman-taman perumahan. Kayuhan santai lagi bersahaja memukau serta memikat mata yang memandang. Apatah lagi masyarakat bandar yang jarang-jarang dapat melihat basikal tua dan chopper beraksi di tengah bandar.


Sebelum menghampiri lokasi yang dituju, konvoi kami disertai bersama oleh pemilik Ipoh Station bersama 2 orang anaknya. Ketiga-tiga beranak ini juga mengayuh basikal tua. Memang tabik hormat dan dasyat. Maka jadilah kami semuanya 14 pengayuh basikal klasik meneruskan perjalanan menuju ke Ipoh Station. Setibanya di sana dengan gaya susunan basikal masing-masing di hadapan Ipoh Station, maka bergemalah bunyi "klik, klik" iaitu acara menangkap gambar.


Sambil mengeteh (minum teh) dan menjamu selera, pelbagai maklumat, pengalaman serta cerita dikongsikan bersama. Kurang lebih satu jam berada di Ipoh Station, kami pun berangkat pulang. Pulang dengan perut kenyang, hati gembira, basikal kilat bergaya, sahabat-sahabat baru yang sekepala. Apa lagi yang boleh teman gambarkan. Sememangnya situasi yang manis untuk dikenang bersama. Teman harap aktiviti seperti ini dapat dijadikan sebagai acara bulanan. Dengan adanya pendedahan aktiviti seperti ini di kawasan bandar-bandar, secara tidak langsung dapat juga menarik minat orang ramai untuk menceburi hobi berbasikal klasik. Jom kempen sihat berbasikal klasik!!

Friday, October 5, 2012

Jom Kayuhan Mengeteh ke Kafe Ipoh Station

Esok (Sabtu, 6 Oktober 2012) akan diadakan satu sesi kecil kayuhan berbasikal klasik. Tempat berkumpul dan permulaan kayuhan adalah dari Dataran Tasik (berhampiran masjid terapung), Puchong Perdana. Destinasi yang dituju pula adalah Restoran Ipoh Station, Bukit Puchong. Sekadar bersenam dan beriadah di waktu petang dengan sahabat-sahabat pencinta basikal klasik di sekitar taman. Secara tidak langsung menperluaskan lagi keperihatinan masyarakat setempat tentang kerancakkan berbasikal klasik. Maka nantikan laporan tidak rasmi dari teman setelah usainya aktiviti ini. Tungggguuuuu.

Wednesday, October 3, 2012

Tempat Duduk Basikal Tua Dari India


Pengisian artikel pertama di bulan Oktober ini teman ingin kisahkan tentang penggantian kepada tempat duduk basikal tua yang baru. Diperolehi menerusi pembelian di laman internet seperti biasa. Tempat duduk ini telah lama teman idamkan kerana ia mempunyai besi lingkaran spring yang besar. Bahkan yang terbesar diantara semua jenis tempat duduk basikal tua yang ada di pasaran. Diperbuat khas dari negara India. Begitu padan serta tampak gah apabila dipasangkan pada basikal tua teman yang sememangnya besar bersaiz 28. Tempat duduk yang lama pun teman sudah jual pada rakan seperjuangan. Lepas ni boleh kayuh lebih jauh lagi memandangkan ada penambahan dari segi  keselesaan.