Tuesday, January 29, 2013

Foto Pilihan Bulan Januari 2013

January 2013 photo of the month
Photo pilihan bulan Januari 2013
Inilah gambar yang menjadi pilihan untuk bulan Januari 2013. Diambil semasa acara kayuhan sempena Maulidul Rasul S.A.W di Putrajaya pada 24 Januari 2013. Lokasi penangkapan gambar ini adalah di persisiran tasik Masjid Mizan yang berlatar-belakangkan jambatan kedua Putrajaya. Oleh yang demikian artikel ini menjadi penyudah atau penutup untuk edisi bulan Januari 2013. Semoga para pembaca dan pengunjung sekalian akan senantiasa turut setia, teguh, patuh serta taat bertandang ke blog ini dibulan hadapan dengan pelbagai perkongsian menarik. Akhir kata, selamat berbasikal semua.

Friday, January 25, 2013

Video Kayuhan Sempena Maulidul Rasul S.A.W


Seperti yang dijanjikan, video babak kayuhan basikal tua telah berjaya dimuat-turunkan. Saksikanlah aksi perarakan sempena sambutan Maulidul Rasul S.A.W 1434H di Putrajaya. Video yang berlangsung sekita 8 minit lebih ini dimulai dengan kayuhan dari jalan utama kompleks kerajaan hingga ke Masjid Putra. Selamat menonton dan nantikan artikel-artikel menarik tentang kempen berbasikal tua untuk santapan penggemar dan penggiat basikal klasik. :)

Thursday, January 24, 2013

Pengalaman Kayuhan Sambutan Maulidul Rasul

Alhamdulillah. Selesai sudah satu lagi acara kayuhan. Kayuhan ini bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul S.A.W, yang berlangsung di Putrajaya serta diundang khas oleh pihak JAKIM. Secara keseluruhannya sambutan majlis tersebut berlangsung dengan sempurna. Cuaca awal pagi yang damai dan nyaman membuatkan kami bertambah semangat. Hatta walaupun semua para peserta disyorkan untuk tiba dan berkumpul di Masjid Mizan Putrajaya sebelum jam 6 pagi, kesempatan ini diambil untuk menunaikan solat subuh buat pertama kalinya di masjid tersebut. Terpegun melihat keindahan struktur masjid itu yang bertemakan ruang terbuka (open space). Setibanya di perkarangan masjid tersebut jam 5.25 pagi. Saudara Imbram Talib dan rombongan dari Kelab Jalan Khamis telah pun ada di sana semasa ketibaan teman. Tabik kepada rombongan Kelab Jalan Khamis kerana mereka telah pun berada di masjid tersebut semenjak dari jam 12 tengah malam lagi.


Setelah selesai solat subuh berjemaah, maka persiapan untuk perbarisan pun bermula. Pra permulaan kayuhan bermula dari masjid Mizan hingga ke jalan utama Dataran Putrajaya. Semasa pra kayuhan ini terdapat laluan jalan yang mendaki bukit. Adegan seperti ini memotivasikan kami untuk lebih semangat dan menceriakan suasana. Setibanya di jalan utama untuk berkumpul semula, sesi ucapan kata aluwan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dikhabarkan majlis sambutan Maulidul Rasul pada kali ini membawa sedikit kelainan. Bukan setakat perbarisan berjalan kaki malah keunikkan yang ditampilkan juga termasuk kontinjen dari kumpulan motor berkuasa tinggi, perbarisan dari udara oleh para payung penyunsur (glider), perbarisan menerusi air yang menggunakan kapal-kapal kecil, kontinjen kumpulan berkuda dan semestinya perbarisan menggunakan basikal tua.


Maka pelepasan pun bermula dengan bait-bait selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W. dimana  haluan perarakan bermula dari Dataran Putrajaya menuju ke Masjid Putra. Sesiapa yang menonton kaca tv pada ketika itu mungkin dapat menyaksikan kami di siaran TV1 kerana liputan rakaman dibuat secara langsung. Berkayuh bersama pelbagai kontinjen dengan suasana rasmi apatah lagi berperingkat kebangsaan, memberikan suatu pengalaman baru lebih-lebih lagi kepada teman yang baru bertatih di arena ini. Sebaik tiba di perkarangan Masjid Putra, kami pun seperti biasa mengatur susunan basikal masing-masing dengan berlatar-belakangkan masjid tersebut. Aktiviti wajib kami seterusnya tidak lain dan sudah tentunya sesi bertangkap gambar untuk kenang kenangan. Diselang-seli dengan orang awam yang tidak putus-putus menjenguk serta mengunjungi kontinjen basikal tua. Sesudah usai jamuan yang disediakan dan setelah menerima hadiah saguhati iaitu senaskah Al-Quran beserta tafsir pimpinan Ar-Rahman, kami pun berangkat kembali ke tempat mula berkumpul di Masjid Mizan.


Kisah coretan tidak berakhir disini. Alkisah bermula pulalah sesi mini agenda yakni bertandang ke Restoran Ipoh Station di Bukit Puchong. Terima kasih kepada tuan rumah Ipoh Station yang mempelawa kami semua ke restorannya untuk menikmati hidangan makan tengah hari. Makanan yang sungguh teramat begitu lazat dengan atmosfera rungan kedai yang begitu antik lagi klasik, begitu terpaut lagi maut ke hati kami kerana apabila minat berjumpa realiti membangkitkan suasana harmonis yang bersinkronisasi dengan jiwa.


Begitulah sedikit sebanyak kesudahan coretan atau laporan tidak rasmi yang boleh dikongsikan bersama. Teman begitu girang, terharu dan bangga kerana hasrat blog ini yang bertujuan untuk memartabatkan kampen aktiviti berbasikal klasik telah menambat, memikat serta memaut citarasa masyarakat. Satu penghormatan yang tinggi bila mana basikal klasik telah pun sampai undangannya ke acara berperingkat kebangsaan. Tahniah. Akhir kalam, teruskan motivasi dalam menggiatkan diri anda menceriakan bumi Malaysia ni dengan berbasikal klasik. Seperti biasa nantikan video babak aksi kayuhannya tidak lama lagi. Tungguuuuuuuuuu.

Tuesday, January 15, 2013

Kempen Menyokong Kayuhan Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul


 Sumber gambar dari Basikal Melaka dan KSTM

Budiman Berbasikal Klasik dengan ini menyokong sekaligus akan menyertai acara "Kayuhan Basikal Tua Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W" yang diundang oleh pihak JAKIM. Majlis ini akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada hari Khamis 24 Januari 2013. Bersama-samalah kita menjayakan majlis ini yang merupakan satu acara berperingkat kebangsaan dimana kayuhan basikal tua akan berlangsung di hadapan DYMM Agong dan Perdana Menteri. Semoga dapatlah hendaknya dihimpunkan seberapa ramai pencinta, pemilik basikal klasik tidak kira terdiri daripada kelab, persatuan mahupun individu. Diberitakan bahawasanya penyertaan adalah terhad kepada 80 peserta sahaja. Ayuh kilat dan gilapkan sepeda klasik anda. Marilah kita berkayuh dengan penuh gaya, di atas basikal yang berestetika klasik. Jom reramai pakat serbu Dataran Putrajaya pada 24 Januari 2012. Jangan lupa berpakaian baju melayu lengkap bersama sampin dan songkok. Jumpa anda di sana.

Wednesday, January 9, 2013

Gambarajah Manfaat Berbasikal

Please click the picture for clearer viewing
 Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Friday, January 4, 2013

Sketsa Jenaka Bulan Januari 2013


Tuesday, January 1, 2013

Menutup tirai 2012. Membuka lembaran baru tahun 2013

Blog Budiman Berbasikal Klasik (Gentleman Classic Cyclist) dengan ini secara rasminya menutup tirai bagi tahun 2012 dan secara langsung membuka lembaran baru untuk tahun 2013. Diharap para pembaca sekalian mendapat manfaat atau setidaknya terhibur dengan pengisian-pengisian artikel yang telah dicoret dan dikisahkan di ruangan blog ini. Secara keseluruhannya tahun 2012 membawa perkembangan yang baik kepada blog ini. Tahun 2012 menunjukkan sekurang-kurangnya tiga acara rasmi yang besar telah berjaya dilaksanakan serta mendapat perhatian masyarakat dan media masa. Kesannya juga memberikan impak yang positif dalam peningkatan dan kekerapan hobi/aktiviti berbasikal klasik. Begitulah hasrat blog ini yang menjadi platfom/perantaraan informasi untuk memutikkan rasa minat di hati masyarakat agar menceburi aktiviti berbasikal apatah lagi berbasikal klasik. 

Untuk pengetahuan umum, blog ini akan dinaik-taraf dan dikemas-kinikan struktur pengisiannya. Sehubungan itu, komitmen tinggi akan diberikan bagi memenuhi kehendak pembaca sekalian dengan sekurang-kurangnya minimum enam pengisian artikel akan dimuat-turunkan, dikongsikan, atau diterbitkan pada setiap bulan mulai tahun 2013 ini. Penlabelan bagi setiap topik juga akan diperluaskan. Diantara label-label yang dikenalpasti adalah seperti berikut:
1. Aktiviti berbasikal klasik - penceritaan aktiviti harian berbasikal secara riadah mahupun rasmi.
2. Kempen berbasikal klasik - penceritaan  secara am lagi umum untuk seruan dan galakan berbasikal.
3. Video acara kayuhan - Rakaman klip video babak aksi kayuhan bagi acara berbasikal.
4. Projek restorasi - Penceritaan tentang baik pulih, naik taraf, penambahan aksesori basikal klasik.
5. Pilihan bulanan: Jenaka komik berbasikal - Sketsa jenaka berkaitan dengan basikal.
6. Pilihan bulanan: foto  - Paparan pilihan gambar yang terbaik bagi setiap bulan.
7. Pilihan bulanan: gaya fesyen - Paparan pilihan gaya fesyen pakaian untuk berbasikal bagi setiap bulan.

Sekiranya terdapat sebarang pendapat mahupun cadangan tentang serba serbi mengenai blog ini, bolehlah diutarakan dan dikongsikan bersama agar semua pihak mendapat manfaatnya. Oleh itu selamat membuka helaian kertas baru bagi tahun 2013.