Friday, August 18, 2017

Pantun Nasihat Tentang Alam


Daun pegaga buah bidara,
Segar berpaut pada dahan,
Bumi hijau harus dipelihara,
Anugerah indah ciptaan Tuhan.

Berjalan-jalan sepanjang laman,
Indah pemandangan menggamit persepsi,
Peliharalah alam supaya nyaman,
Agar dinikmati semua generasi.

Wednesday, August 16, 2017

Misi Pengolahan Pokok Sakat



Misi pengolahan tanaman pokok sakat telah pun selesai. Sebenarnya idea ini diperolehi daripada lawatan ke Taman Buaya di Melaka pada awal tahun lalu. Sewaktu berada di sana, saya tertarik dengan beberapa tanaman pokok sakat yang ditanam atau diletakkan pada permukaan batang kayu besar yang dipotong kecil menjadi blok-blok kayu setinggi tiga kaki. Ternyata daya tahan pokok sakat ini berupaya untuk tumbuh dan hidup walaupun tanpa ditanam pada dasar tanah daratan. Sekalipun diletakkan saja atas permukaan kayu, akarnya mampu untuk bertoleransi dengan tanah yang minimal lantas sedikit demi sedikit akarnya menyerapi nutrisi melalui aliran kayu tersebut untuk kekal hidup dan secara tidak langsung terus tertanam pada permukaan kayu itu. Hasilnya memang mempesonakan apabila melihatkan pokok sakat tumbuh pada kedudukan sekitar empat kaki lebih tinggi berbanding sekadar di atas daratan tanah sahaja.

Saturday, July 29, 2017

Dua Pokok Sakat Tambahan


Masih ingat tentang perkongsian pokok bird fern nest dari artikel ini Pokok Gelaran Mistik? Telah saya khabarkan pada artikel tersebut bahawasanya saya bercadang untuk membeli beberapa pokok fern nest lagi sebagai tambahan yang sedia ada. Dengan berbekalkan wang saku RM25.00 sudah memadai untuk saya mendapatkan sepasang pokok ini di nurseri yang biasa saya kunjungi seperti dalam artikel ini Nurseri Pilihan. Harga asalnya ialah rm15 sepasu. Jika ambil dua, saya ditawarkan dengan harga rm13 sepasu. Dan oleh kerana saya pelanggan tetap di nurseri tersebut, jumlah sepasang pokok ini setelah saya mohon untuk ditawarkan lagi adalah rm25 sahaja sepasang pasu. Memang berbaloi kerana pokok yang saya dapatkan itu sudah dikira besar dan pertengahan matang. 

Selain itu ia juga amat murah kerana perlu diingat saya membelinya dalam keadaan yang ditanam dalam pasu dan bukan dalam polybag. Kalau ikutkan harga pasu kosong itu saja sudah boleh mencapai RM12 sepasu. Ok buat masa ni pokok-pokok tersebut akan direhatkan untuk  bersuai kenal dengan persekitaran rumah. In shaa Allah esok lusa akan saya semai dan tanamnya. Saya sudah fikirkan untuk menanamnya dengan cara berbeza. Pendekatannya sedikit unik dari yang sebelum ini. Nantikan. 

Wednesday, July 26, 2017

Sketsa Dialog Jenaka Dengan Ayam


Suatu petang yang terik, al kisah kedengaran perbualan antara dua makhluk tersebut.
Ayam : Kau ni memang pentingkan diri sendiri!

Aku : Pulak dah. Kau ni tengah datang period ke? Kenapa kau tiba-tiba kata macam tu?

Ayam : Tengoklah. Apa kau buat kat aku!

Aku : Hah! Buat apa pulak?

Ayam : Aku ni bertelur hari-hari. Aku cadang naklah dapat anak dua tiga ekor. Orang kata ada juga waris aku bila aku dah takde nanti. Nak juga merasa tampal gambar famili aku kat dalam dinding reban aku ni. Tapi asal aku bertelur je kau ambil dan makan telur aku. Macamana aku nak dapat anak!

Aku : Ooo gitu rupanya. Kau punya nasib kira untung lagi tau.

Ayam : Maksud kau?

Aku : Cuba kau fikirkan nasib lembu tu, lagi malang. Rasa nak bunuh diri pun ada. Bayangkan, hari-hari manusia minum susu dia tapi sorang pun tak pernah mengaku, panggil atau gelarkan dia MAK!

Ayam : Hmmmm. Ye tak ye juga.

Maka hari pun berlalu dengan damainya seperti biasa. Sekian.

Thursday, July 20, 2017

Pokok Misai Kucing



Ini merupakan pokok misai kucing. Amat mudah dikesan dek kerana bunganya secara umum berwarna putih melepak. Kenapa ia diberi gelaran nama misai kucing? Lihat saja bentuk bunganya yang hampir mirip seperti misai kucing peliharaan. Banyak maklumat dikongsikan tentang perihal tanaman ini. Rupa-rupanya pokok misai kucing ini dianugerahkan dengan pelbagai khasiat serta kebaikan kepada tubuh badan manusia. Kemasyhuran pokok ini terletak kepada khafiatnya yang mampu merawat menyakit darah tinggi dan kencing manis. 

Banyak kajian sudah dilakukan dan rata-rata hasil penyelidikan terhadap kemujaraban pokok ini telah pun diperakui oleh para ahli saintis di serata dunia. Begitulah kekuasaan Allah yang maha adil. Pada setiap penyakit yang diturunkan pasti akan ditimbal balik dengan ubatnya. Dan siapa sangka kita diberi kemudahan untuk memperoleh sesuatu penawar itu hanya dengan berbakti kepada tanah di sekitar halaman rumah kita sahaja.