Tuesday, October 25, 2016

Kempen Penyertaan Kayuhan Basikal Klasik Bandar DiRaja Klang 2016

Perkhabaran yang dinantikan sudahpun membuahkan keputusan. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan aku peluang dan kesempatan untuk menyertai acara Kayuhan Santai Basikal Klasik Bandar DiRaja Klang 2016 yang bakal diadakan pada 30 Oktober ini. Terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang sudi membuka ruang dalam intisari program tahunan mereka dengan merancanakan sebuah program seperti ini untuk kami warga berbasikal klasik. Acara ini turut mendapat kerjasama serta diundangsama oleh sebuah entiti yang cukup terkenal dan tidak asing lagi buat seluruh warga penggiat basikal klasik. Entiti atau organisasi tersebut adalah Port Swetthenham Classic Bicycle (PSCB) yang dinaungi oleh saudara Ezafel Rafique atau lebih sinonim dengan panggilan Along.

Oleh itu, anda semua diundang beramai-ramai untuk datang bertandang ke Kompleks Sukan Pandamaran Klang. Tidak kira anda seorang pengayuh basikal klasik mahupun bukan kerana terdapat pelbagai aktiviti sampingan telah direncanakan seperti senamrobik perdana, gerai-gerai jualan barangan, jualan makanan dari foodtruck dan pelbagai lagi. Ini berikutan program berbasikal klasik ini telah disusunatur ke dalam agenda Karnival Mini Mega Sales yang berlangsung dari 28 ke 30 Oktober 2016. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Tidak kira sahabat lama mahupun baru yang belum berkenalan lagi. Bersama kita memeriahkan acara ini dengan berbasikal klasik secara santai menyusuri tempat-tempat bersejarah sekitar bandaraya Klang. 

 

Monday, October 17, 2016

Lambaian Dari Pandamaran Klang

Tujuh Ratus tiga puluh hari. Dengan erti kata lain bersamaan juga kepada dua tahun. Satu tempoh yang cukup lama. Itulah anggaran tempoh ketidakhadiran ku dalam menceburi mana-mana aktiviti berbasikal klasik. Kepada mereka yang mengenali ku, mungkin mereka sudah akur dan faham terhadap pengorbanan masa ku lebih-lebih lagi pada setiap hujung minggu. Kadang-kadang tu terdetik juga rasa terkilan akan ketidakupayaan aku untuk mengikuti aktiviti kayuhan. Moga ada hikmahnya. Semoga Allah mengurniakan kita kemudahan dan hidayah dalam menguruskan segala tanggungjawab baik berkaitan duniawi mahupun akhirat. Aamiiin.

Suatu perkhabaran baik telah aku terima. Iaitu pada tanggal 30hb Oktober ini akan berlangsungnya sebuah acara berbasikal klasik yang bakal diadakan di Pandamaran Klang. Perkhabaran ini membuatkan aku begitu teruja. Manakan tidaknya, ia merupakan sebuah program yang cukup terkenal (dari segi lokasinya) buat semua penggiat basikal klasik dengan kemeriahan dan kesemarakannya. Acara yang bakal berlangsung ini bukanlah sebuah acara julung kalinya. Ia telah pun diadakan beberapa kali dan aku berkesempatan menyertainya sebanyak dua kali. Tiadalah aku berhasrat ingin mencoretkan pengalaman tersebut di artikel ini. Akan tetapi kepada mereka yang ingin mengetahui cebisan kenangan acara tersebut bolehlah menyusuri pada beberapa foto berikut serta disertakan sekali pautan link kepada artikel acara yang lepas seperti di bawah ini:- 

  1. 2.Pengalaman Kayuhan "B.E.S" Di Klang  (Klik untuk artikel lengkap)


Perasaan teruja ku ini sebenarnya bercampur aduk dengan perasaan khuatir. Kekhuatiran ini adalah kerana acara pada tarikh 30hb ini bakal bertindih dengan rutin tanggungjawab yang digalas pada setiap hujung minggu. Walau bagaimanapun akan aku usahakan satu jalan penyelesaian supaya program tersebut dapat aku sertai jua. Sudah lama rasanya tidak ketemu rakan taulan. Ingin sekali aku bertanyakan khabar mereka, bergurau senda dan yang paling seronok adalah berkayuh basikal klasik beriringan dengan mereka. Dapatkah aku mengikuti acara ini? In shaa Allah nantikan perkhabaran selanjutnya tidak lama lagi.