Wednesday, December 17, 2014

Pengalaman Mengikuti Morib SeMalaya Bahagian 3

(Sambungan dari artikel nukilan sebelumnya. Para pengunjung yang baru pertama kali melawat, sila baca bahagian satu dandua untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.)


Jeng jeng jeng. Di dalam penulisan tidak rasmi, perkataan jeng jeng jeng itu boleh membawa maksud kepada dua keadaan. Pertama untuk menzahirkan bunyi irama dari petikan gitar. Kedua untuk mengekspresikan sesuatu keadaan yang cemas atau mendebarkan. Maka pada penulisan teman ini ia membawa maksud yang kedua iaitu keadaan yang begitu suspen dan mencemaskan. Ini merujuk kepada sambungan penulisan sebelum ini tentang pengalaman aneh yang berlaku di bilik penginapan teman. Titik noktah kepada ceritera yang terakhir adalah seperti berikut. Tiba-tiba disebalik jendela tingkap itu kelihatan seperti ada percikan cahaya. Susah untuk dibutirkan bagaimana rupanya. Anda ibaratkan saja seperti hendak memetik api rokok yang telah kehabisan gas. Dipetik-petik api tidak menyala. Hanyasanya yang keluar adalah percikan api akibat dari geseran besi pemetik tersebut. Begitulah yang terjadi disebalik jendela itu. Setapak demi setapak kaki ini melangkah menuju ke tepi tingkap. (Katil yang teman tidur adalah berkedudukan rapat ke tepi tingkap). Sebaik sahaja teman berdiri di tepi tingkap, dengan tidak semena-mena bunyi dengkuran tadi seakan berpindah dari dalam bilik ke luar tingkap tersebut. Ini memang benar-benar 'pelik bin ajaib'. 

Bisikan dalam hati teman pada ketika itu, teringin pula rasanya diri ini nak bermain 'cak-cak'. Sekali sekala bermain 'cak-cak' seronok juga ni. Dengan hati yang kering, perlahan-lahan tangan kanan ini mencapai sudut kain langsir tingkap. Halus buatan kainnya. Mungkinkah langsir ini diberbuat dari jenama 'Eliza'. Jenama yang tidak asing lagi bagi para suri rumah tentang perihal hiasan dalaman rumah. Nak selak langsir perlahan-lahan ke atau cepas-cepat sekali gus? Teringat pula perihal akan filem-filem hantu di pawagan saban hari. Seingat teman dalam babak-babak menarik langsir diantara tarikan perlahan atau pantas, peratus untuk nampak hantu, lembaga atau kelibat lebih tinggi peluangnya jika menarik langsir secara perlahan berbanding menyelak secara cepat. Jika anda tidak percaya, bolehlah buat kajian dengan menonton beberapa filem-filem seram di benua Nusantara ini. Dengan lafaz Bismillah sambil tangan kanan menyelak langsir sepintas lalu, maka terpampanglah panorama di luar bilik yang suram gelap diterangi cahaya bulan. (Luar tingkap tersebut menghadap pokok-pokok rhu yang ada titian dan tali gantung untuk aktiviti abseiling.)

Gambar sekadar hiasan. Sumber dari internet carian Google.
Harapan teman untuk bermain 'cak-cak' tidak kesampaian dan punah sama sekali. Sungguh pelik kerana sekali lagi bunyi dengkuran itu telah hilang beberapa saat sebelum langsir diselakkan tadi. Hampir 120 saat biji mata ini merewang-merewang melihat di luar jendela. Tiba-tiba fokus mata teman tertarik pada pandangan di bahagian dedahan pokok rhu yang mempunyai titian kecil serta tali gantung tersebut. Dalam samar-samar cahaya bulan dan sedikit bantuan dari lampu laluan pejalan kaki, teman terlihat semacam kelibat berwarna serba putih yang seolah-olah bergantungan pada tali titian itu. Tidak dapat dipastikan objek tersebut. Mungkinkah seekor burung hantu? Atau boleh jadi seseorang yang menjalani aktiviti menyeberangi titian gantung itu tertinggal atau tercicir sebentang tuala lap peluh jenama 'Good Morning' pada tali tersebut. Dua puluh saat teman tidak berkelip mata. Merenung objek itu bagi memastikan apakah gerangannya yang sebenar. Masuk saat ke empat puluh, objek yang hanya berkedudukan statik itu seolah-olah bergerak ke kiri dan ke kanan. Gerakkannya lebih seperti hayunan. Contoh terdekat yang boleh kita bayangkan adalah seperti di majlis doa selamat, semasa tengah berwirid tahlil, badan kita secara lazimnya akan berhayun ke kiri dan ke kanan sambil mengikut rentak wirid tahlil itu. 

Begitulah corak keadaan objek tersebut. Dalam keadaannya yang berhayun di atas titian atau tali gantung itu, barulah mata ini dapat menangkap dan melakarkan apakah objek itu sebenarnya. Otak ini cuba untuk menafikan akan apa yang dilihatnya itu. Berkali-kali hati ini berbisik untuk menyakinkan bahawa kelibat itu hanyalah sebentang kain putih 'Good Morning' yang tersangkut pada tali tersebut. Tapi penafian demi penafian tidak mendatangkan relevan lagi kerana jika sebiji epal benar-benar terpampang di depan mata, anda tidak dapat menidakkan ia sebagai buah durian pula. Kiranya sebuah kereta Ferrari di depan mata, anda tidak dapat menyangkalkannya sebagai kereta Kancil pula. Maka jika 'kak limah' betul-betul di skop pandangan mata anda yang sempurna, bolehkah anda menafikan ia sebagai Lady Gaga pula? (Walaupun si Lady Gaga itu taktala di atas pentas persembahan kadang-kala tampak lebih pelik lagi menakutkan.)

Makin lama makin jelas. Sejelas paparan berdefinisi tinggi 1080p. Mempunyai susuk bentuk badan seperti manusia. Posisinya bertenggek di titian gantung itu dalam keadaan berhuyung-hayang ke kiri dan kanan. Rambutnya yang panjang, kusut masai serta bergerbangan kian jelas tampak taktala pengerakannya ke kiri dan kanan itu. Sayang sekali mukanya tidak jelas kelihatan kerana dilindungi oleh rambutnya yang berserabai di depan. Kaku sekaku kakunya. Tercengang. Tergamam. Terkakunya teman ibarat diri ini layak diperagakan dalam muzium patung-patung lilin yang terkenal itu. Dalam keadaan diri yang serba tak tentu arah itu, ntah mengapa terdetik di hati ini untuk mencapai kamera di dalam beg. Boleh pecah panggung kiranya teman berpeluang untuk dapatkan rakaman 'kak limah' atau lebih sinonim dengan panggilan 'cik pon' kita ni. Kalah filem The Hobbits yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. 

Bergegas dan kelam kabut teman mencari kamera di dalam beg. Tangan bergetar-betar. Lutut sudah serba longgar-longgar. Sepuluh saat selongkar almari dan menyeluk beg untuk dapatkan kamera. Kamera dihidupkan. Paparan kamera ditukar untuk fungsi gelap dan versi malam. Monopod sudah diregangkan. Hanya detik untuk dirakamkan sahaja. Sebaik sahaja teman selak semula jendela langsir, dukacita dimaklumkan entiti tersebut sudah tiada dan tidak kelihatan lagi. Dua minit menunggu. Lima Minit. Sepuluh minit. Dua puluh lima minit. Tidak lama kemudian kedengaran laungan azan menandakan waktu Subuh telah masuk. Mengelamun teman untuk beberapa minit. Memikirkan rehlah apakah yang cuba disampaikan menerusi 'misteri nusantara' yang telah berlaku seketika tadi. Selang beberapa detik, ingatan terhadap aktiviti kayuhan pagi berikutnya memberikan teman peluang untuk melupakan peristiwa itu. Usai solat subuh dan bersiap segak, tiba masanya untuk menghadiri acara kemuncak dan bersuka ria.

Sekali lagi teman mohon untuk tangguhkan perkongsian pengalaman ini dan seperti biasa sambungannya akan teman coretkan pada artikel yang berasingan di waktu terdekat nanti. Ntah mengapa tiba-tiba bulu roma ni naik pula. Rasa seram sejuk pun ada. Sekian untuk waktu ini. Jangan khuatir. Penceritaan selanjutnya akan bertukar suasana kepada suka ria yang berkisarkan tentang kayuhan tiga puluh kilometer. Semoga anda akan tidur lena pada malam-malam berikutnya.

Saturday, December 13, 2014

Pengalaman Mengikuti Morib SeMalaya 2014 Bahagian 2

(Sambungan dari artikel nukilan sebelumnya. Para pengunjung yang pertama kali melawat, sila baca bahagian satu untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.)

Lazimnya kita sering mendengari istilah "tak menang tangan dibuatnya". Luahan teman pun hampir serupa cuma ada sedikit perbedaan sahaja. Iaitu "tak menang buah fikiran dibuatnya". Macam-macam yang ingin teman coretkan. Akan tetapi masa dan ruang yang diizinkan amat terhad serta sukar bagi diri ini untuk mencorakkan gubahan ayat di dalam skrin komputer atau telefon pintar anda. Alangkah mudahnya jika boleh dicucuk pada dahi ini pemacu pena (pendrive) lantas dipindahkan saja segala isi buah fikiran ini ke dalamnya dan memuat-turunkan pula ke dalam perisian komputer lalu terus dijelmakan nukilan-nukilan ini di dalam laman blog.




Kisah beristirehat sebentar di penginapan El-Azzhar Camp merupakan titik nohtah terakhir pada artikel bahagian pertama. Musim 2013 yang lalu kami mendiami bilik bernombor sebelas. Pada sesi 2014 ini pula kami dipilih untuk bermalam di bilik yang bernombor tiga. Tingkat searas tanah (level ground) berbanding sebelumnya di tingkat  satu. Tiada satu ruangan pun untuk mengungkapkan sebarang keluhan tentang penginapan yang disediakan. Bilik yang teman inapi itu cukup selesa walaupun untuk didiami oleh empat orang dewasa. Mempunyai penghawa dingin yang sejuk. Sabun mandi dan air mineral untuk setiap seorang. Malah tuala hinggalah pengyembur nyamuk pun disediakan secara percuma. (complementary).




Usai sahaja solat Maghrib, bersiap, berdandan dan bersolek, kami pun bertandang semula ke tapak acara di dataran pantai Morib. Kelihatan alas seperti tikar yang panjang dibentangkan di tengah-tengah tapak acara. Pada sepanjang alas tersebut telah diletakkan juga berpuluh-puluh dulang atau talam yang lebarnya lebih besar dari piring satelit Astro. Pada atas setiap dulang itu pula ditutupi dengan kepingan daun pisang. Apakah isinya ini? Benda isi inilah yang akan dipindahkan dari atas dulang itu ke dalam perut para peserta. Ia merupakan juadah makan malam yang diberi nama nasi ambeng. Kepada mereka yang tidak tahu apa itu nasi ambeng, ia merupakan hidangan khas dari Jawa berupa nasi putih dan kebiasaan lauk pauknya adalah tempe goreng, ikan masin goreng, sambal goreng, telur rebus serta bihun goreng. Ia lazimnya dihidangkan di dalam talam dan dimakan beramai-ramai oleh lima hingga ke tujuh orang setalam.



Ada beberapa slot acara yang telah dijalankan taktala sebelum kami menjamu selera nasi ambeng tersebut. Antaranya ialah pembukaan atau perasmian program oleh ahli yang berhormat serta penyampaian hadiah bagi pertandingan yang telah dilangsungkan pada petang tadi. Ada dua lagi sesi yang paling mencuri perhatian para peserta iaitu sesi penghargaan kepada sebuah kumpulan dan seorang individu yang telah mengayuh basikal klasik dari tempat mereka bermukim hingga ke tapak acara dataran pantai Morib. Kumpulan tersebut tak lain dan tak bukan ialah Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis yang telah berbasikal ke sini dari Meru, Klang. Manakala individu tersebut pula merupakan seorang jejaka anak kelahiran Negeri Sembilan. Beliau telah berbasikal dari Kuala Pilah. Memulakan perjalanan sekitar jam lapan pagi dan dengan beberapa hentian rehat telah berjaya sampai ke Morib awal malam tadi. Penghargaan yang tinggi teman berikan kepada kedua-dua kelompok ini kerana dengan hanya menggunakan pengangkutan basikal klasik yang berat apatah lagi mempunyai satu kelajuan sahaja, mereka mampu dan cekal mengharungi berpuluh-puluh malah mungkin ratusan kilometer demi melestarikan hobi yang unik ini di mata masyarakat. Teman yang kayuh sekitar tiga puluh kilometer ini pun boleh terasa beban kepayahannya. Inikan pula tujuh ke lapan kali ganda lebih jauh. Tabik Hormat untuk Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis dan hamba Allah tersebut (teman cuba mencari nama sebenarnya tapi masih belum dapat sumbernya).


Alhamdulillah. Perut sudah kenyang. Hati pun riang. Malah ada yang terlebih kenyang. Al Maklumlah esok nak kayuh basikal sejauh 30 kilometer. Jadi kenalah istilahnya "pelahap" sikit agar zat-zat dari nasi ambeng itu mencukupi dan mampu memberikan tenaga yang optimum semasa acara kayuhan nanti. Balik semula ke tempat penginapan. Setahun kami berpisah. Amat jarang kami dapat bersemuka, sebumbung dan semalaman. Teman, saudara Ibram Talib, Abdul Rahim serta dikunjungi pula oleh wak Muhammad Ajis ke bilik kami. Berborak, berjenaka, berseloro. Memang riuh rendah dibuatnya. Seolah-olah kami ni boleh diibaratkan sekejap sebagai bujang lapok. Yang bergelar ayah dah tak rupa macam pangkat ayah lagi dah. Teman yang agak sinonim dengan gelaran budiman, ternyata lucut habis gelaran tersebut untuk malam itu. Pesta muda mudi kami berakhir sebelum tengah malam. Tiba masanya untuk kami beradu.


Mata teman tiba-tiba sekang dari lamunan tidur. Paparan waktu di telefon bimbit menunjukkan pukul 3.09 minit pagi. Rakan-rakan sebilik Ibram Talib dan Abdul Rahim sudah lena tidur diulik lagi dibuai mimpi. Barangkali bermimpikan kayuhan esok. Ntah mengapa mata  ini tak boleh lena kembali. Hampir dua puluh minit bersengkang mata, terkebil-kebil memandang syiling. Sekejap ke kiri. Sekejap pusing ke kanan. Dalam keadaan sedemikian, teman terasa ada sesuatu perkara aneh berlaku dalam bilik tersebut. Teman baring bersebelahan Ibram Talib. Teman perhatikan gaya tidurnya senyap saja tanpa berdengkur. Manakala katil hujung pula Abdul Rahim tidur dalam keadaan berdengkur. Tapi dengkurannya tidak terlalu kuat dan temponya teman dapat baca perlahan sahaja. Apa yang menggusarkan teman ialah telinga ini mendengar satu lagi irama dengkuran. Lama juga teman fokus akan bunyi itu dan teman begitu yakin dengkuran tersebut bukan datang dari rakan-rakan sebilik. Bunyi penghawa dingin pun tidak juga. Seolah-olah ia datang dari ruangan antara pintu utama dan pintu bilik air. Dalam keadaan ruang bilik yang gelap itu, teman gagahkan dan beranikan diri untuk berjalan ke arah sudut tersebut. Anehnya makin didekati makin sayu bunyi dengkuran itu. Apabila teman betul-betul berdiri di ruang tersebut, bunyi dengkuran itu lenyap sama sekali. 


Tiba-tiba bunyi yang tak diundang itu kembali bergema semula tapi kali ini datangnya dari arah pembaringan teman bangkit dari katil tadi. Bunyi dengkuran itu agak kasar seolah-olah pertengahan antara deruman harimau dan dengkuran manusia biasa. Tidak semena-mena teman sudah rasa tidak sedap badan. Seluruh bulu roma di tengkuk dan tangan naik bagai direnjat dengan arus elektrik. Seluruh anggota badan ini terasa sejuk menggigil ibarat memeluk seguni ais yang biasa diedarkan oleh syarikat Atlas ke gerai-gerai makan. Degupan jantung menjadi kencang. Lebih kencang dan berdebar dari situasi seseorang yang berada di atas pembaringan dan berdepan dengan tok mudim untuk berkhatan atau seorang pengantin yang ingin melafazkan akad ijab kabulnya di hadapan tok kadi. Tiba-tiba disebalik langsir jendela tinggap itu, kelihatan...


Maaf para pembacaku sekalian. Teman terpaksa tangguhkan jari jemari ini dari terus menaip. Ini kerana azan baru sahaja berkumandang menandakan telah masuk waktu solat Subuh bagi wilayah Puchong dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya. Bila masa dan ruang menyebelahi teman, akan teman sambungnya semula pada bahagian tiga di artikel yang berasingan. Maaf kiranya terlebih panjang dengan perkongsian cerita yang mungkin terlalu peribadi. Cerita atau kisah hari kedua untuk sesi kayuhan pun teman belum sentuh lagi. Sabar ya kawan-kawan. Tungguuuu.

Wednesday, December 10, 2014

Pengalaman Mengikuti Morib SeMalaya 2014 Bahagian 1.

Bismillah. Terkaku dan terkaget seketika. Akhirnya. Sekian lamanya. Para pengunjung yang dikasihi berpeluang jua mengeja dan membaca huruf-huruf abjad yang disusun-atur oleh seorang hamba Allah ini. Seorang yang dikenali dengan gelaran budiman dari rakan-rakan seperjuangannya. Kebelakangan ini pula mendapat gelaran budiman yang telah lama menyepi atau menghilangkan diri. Jangan khuatir. Teman tidak ke mana-mana dan masih ada di sisi kalian. Kepada mereka yang meluahkan akan kerinduan terhadap coretan Budiman Berbasikal Klasik, usah dibimbangkan. Teman tidak pernah berhenti menulis. Hanyasanya kebanyakkan karya yang teman nukilkan lebih berbentuk penulisan di atas kertas berbanding di alam maya. In sha Allah, akan teman kembalikan momentum seperti dahulu kala. Doakan saja untuk diri ini.

Detik 3.45 petang, bersamaan 6 Disember 2014. Bermulanya pengembaraan Budiman Berbasikal Klasik. Pengembaraan demi hobi yang dicintai. Pengembaraan demi menemui sahabat handai yang dirindui. Pengembaraan menuju ke Dataran Pantai Morib untuk menyahut undangan dan sokongan bagi sebuah acara berbasikal klasik. Ia merupakan acara tahunan kali ke dua berturut-turut yang penuh gilang gemilang, yang terbesar lagi termasyur. Itulah dia Himpunan Basikal Klasik dan Basikal Tua SeMalaya 2014. Jika rata-rata dari kita mengharapkan gajet dan aplikasi Wase sebagai panduan tuju arah, teman juga mempunyai "Wase" tersendiri. Ia bukanlah sebuah gajet yang dapat dibeli atau aplikasi yang boleh dimuat-turun. Tapi ia adalah seorang insan yang bernama Ibram Talib. Saban tahun dan hampir setiap program berbasikal klasik yang berdestinasi jauh, hamba Allah inilah yang sentiasa menjadi pengemudi jalan buat teman. Begitu juga untuk perjalanan ke Pantai Morib pada kali ini.


Semakin hampir ke destinasi, makin teruja dibuatnya. Teruja hendak berjumpa dengan para sahabat yang telah lama tidak bersua dan bertanyakan khabar. 3.45 bertolak. Perjalanan dari Puchong melalui lebuhraya SKVE mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke Pantai Morib. Disangkakan hujan, rupanya tidak. Sedang elok sahaja cuaca. Tidak terlalu panas dan tidak pula hujan. Makin terbenam turun matahari di lewat petang, makin gemuruh dan berkeinginan tinggi hati ini untuk berjumpa dengan rakan taulan. Lebih kurang 300 meter selepas selekoh akhir sebelum tibanya di Dataran Morib, kelihatan deretan khemah-khemah tersergam indah memayungi ratusan susunan basikal klasik kepunyaan para peserta yang telah pun tiba lebih awal. Belum pun sempat teman keluar dari kenderaan atau kaki menjejaki tanah Morib, teman dapat rasakan betapa meriah dan semaraknya acara ini.


Udara segar dan angin sepoi-sepoi bahasa beraromakan air laut masin sungguh mententeramkan jiwa ini. Hendak saja kaki ini menghala terus ke tepi laut untuk menikmati keindahan panorama ciptaan Allah. Kurang lebih tujuh langkah ke arah laut, baru teman sedari yang seeloknya harus daftarkan diri dahulu dan berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan yang telah lama tidak berhubungan. Empat bulan teman menyepi, tapi reaksi apabila bertemu semula dengan mereka bagaikan seorang anak yang berpergian jauh melanjutkan pengajian ijazah di luar negara selama empat tahun. Itulah nikmat persaudaraan yang sejati. Setiap salam dan pelukan itu mengeratkan lagi pautan persaudaraan. Diruang perenggan ini juga, teman ingin menzahirkan perasaan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada usaha-sama antara Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) serta mana-mana individu atau organisasi (yang mungkin teman terlepas pandang untuk mencatitkannya) kerana sekali lagi kalian telah berjaya melakarkan sejarah manis dalam menjayakan sebuah acara yang cukup sempurna dan menarik. Sebuah acara yang memenuhi, menepati kehendak dan citarasa para tetamunya. Layanannya yang mesra lagi akrab, penginapannya yang sempurna lagi selesa, makan minumnya yang lumayan lagi melazatkan serta pengisian aktivitinya yang seronok lagi menghiburkan. Ia adalah apa yang diimpikan oleh setiap pemilik dan pencinta basikal klasik. Syabas dan tahniah, ikhlas dari entiti Budiman Berbasikal Klasik.



Sesi petang itu sahaja sudah cukup memadai untuk mengisi masa lapang para peserta dengan pelbagai aktiviti sampingan. Diantaranya ialah bawa susu getah dengan basikal, kayuh basikal antara dalam palang, kayuhan ke kebun dan bola sepak kampung. Hebat gelagat dan semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang rata-ratanya berpangkat abang, kakak serta umi, abah buat teman. Terpanpang di wajah mereka kegembiraan sewaktu mengambil bahagian dalam aktiviti permainan tersebut. Barangkali mengenangkan nostalgia zaman kanak-kanak atau muda-mudi dahulu terutamanya untuk aktiviti kayuh basikal antara dalam palang. Teman mengambil kesempatan ruang dan masa yang ada untuk bersiar-siar di sekitar dataran tersebut. Akhirnya kali ini laut betul-betul sedepa jauhnya dengan teman. MashaAllah. Sungguh besar nikmat dan kuasa yang maha Pencipta. Matahari yang hanya tinggal suku tingginya sebelum terbenam sempurna. Begitu indah. Kanak-kanak riang ria berlari, berkejaran, bermain layang-layang, meniup buih-buih sabun. Begitu mempesonakan. Lama juga teman menghayati suasananya. Jika ada sesiapa yang sudi meminjamkan sepasang telinga pada saat dan ketika itu, teman mungkin rela untuk berkongsikan kisah pemergian empat bulan yang sunyi menyepi itu. 



Masa untuk aktiviti bebas dan beristirehat merehatkan badan. Seperti tahun sebelumnya, para peserta diberikan kemudahan penginapan tanpa dikenakan sebarang bayaran untuk bermalam. Diantara tempat yang disediakan adalah El-Azzhar Camp yang terletak lebih kurang dua kilometer dari tapak acara. Inilah penginapan kegemaran teman. Unik, nyaman dan menyegarkan. Dikelilingi pokok-pokok rhu, kelapa dan perapat. Bilamana air laut di situ dalam keadaan pasang, maka ombaknya akan sampai betul-betul ke tepian. Pabila waktu surut pula pantainya terbentang luas mata memandang. Acap kali boleh kedengaran akan desir bayu dan deru ombaknya walaupun teman berada di dalam bilik yang didiami. Kalau nak tahu siapa insan-insan yang bertuah dapat sebilik dengan penulis Budiman Berbasikal Klasik ini, bolehlah merujuk kepada artikel acara yang sama pada tahun lepas. In sha Allah selagi acara ini digiatkan saban tahun, selagi itulah kami bertiga akan bersama, sebilik dan seiringan berbasikal. Jika rakan taulan lain hendak menyertai kami yang boleh diibaratkan seketika sebagai bujang lapok, maka kenalah buat pendaftaran temujanji lebih awal. Sedar tak sedar rasanya bagaikan dah terlebih meleret panjang nukilan ni. Belum lagi dikisahkan sesi makan malam. Apatah lagi pengisian ceritera hari kedua. Apa kata teman tangguhkan dahulu ceritera ini dan sambungannya akan teman taipkan pada slot artikel yang asing. Mohon ampun dan jika ada tersalah tulis harap dapat dimaafkan. Nantikan sambungannya..