Saturday, December 13, 2014

Pengalaman Mengikuti Morib SeMalaya 2014 Bahagian 2

(Sambungan dari artikel nukilan sebelumnya. Para pengunjung yang pertama kali melawat, sila baca bahagian satu untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.)

Lazimnya kita sering mendengari istilah "tak menang tangan dibuatnya". Luahan teman pun hampir serupa cuma ada sedikit perbedaan sahaja. Iaitu "tak menang buah fikiran dibuatnya". Macam-macam yang ingin teman coretkan. Akan tetapi masa dan ruang yang diizinkan amat terhad serta sukar bagi diri ini untuk mencorakkan gubahan ayat di dalam skrin komputer atau telefon pintar anda. Alangkah mudahnya jika boleh dicucuk pada dahi ini pemacu pena (pendrive) lantas dipindahkan saja segala isi buah fikiran ini ke dalamnya dan memuat-turunkan pula ke dalam perisian komputer lalu terus dijelmakan nukilan-nukilan ini di dalam laman blog.




Kisah beristirehat sebentar di penginapan El-Azzhar Camp merupakan titik nohtah terakhir pada artikel bahagian pertama. Musim 2013 yang lalu kami mendiami bilik bernombor sebelas. Pada sesi 2014 ini pula kami dipilih untuk bermalam di bilik yang bernombor tiga. Tingkat searas tanah (level ground) berbanding sebelumnya di tingkat  satu. Tiada satu ruangan pun untuk mengungkapkan sebarang keluhan tentang penginapan yang disediakan. Bilik yang teman inapi itu cukup selesa walaupun untuk didiami oleh empat orang dewasa. Mempunyai penghawa dingin yang sejuk. Sabun mandi dan air mineral untuk setiap seorang. Malah tuala hinggalah pengyembur nyamuk pun disediakan secara percuma. (complementary).




Usai sahaja solat Maghrib, bersiap, berdandan dan bersolek, kami pun bertandang semula ke tapak acara di dataran pantai Morib. Kelihatan alas seperti tikar yang panjang dibentangkan di tengah-tengah tapak acara. Pada sepanjang alas tersebut telah diletakkan juga berpuluh-puluh dulang atau talam yang lebarnya lebih besar dari piring satelit Astro. Pada atas setiap dulang itu pula ditutupi dengan kepingan daun pisang. Apakah isinya ini? Benda isi inilah yang akan dipindahkan dari atas dulang itu ke dalam perut para peserta. Ia merupakan juadah makan malam yang diberi nama nasi ambeng. Kepada mereka yang tidak tahu apa itu nasi ambeng, ia merupakan hidangan khas dari Jawa berupa nasi putih dan kebiasaan lauk pauknya adalah tempe goreng, ikan masin goreng, sambal goreng, telur rebus serta bihun goreng. Ia lazimnya dihidangkan di dalam talam dan dimakan beramai-ramai oleh lima hingga ke tujuh orang setalam.



Ada beberapa slot acara yang telah dijalankan taktala sebelum kami menjamu selera nasi ambeng tersebut. Antaranya ialah pembukaan atau perasmian program oleh ahli yang berhormat serta penyampaian hadiah bagi pertandingan yang telah dilangsungkan pada petang tadi. Ada dua lagi sesi yang paling mencuri perhatian para peserta iaitu sesi penghargaan kepada sebuah kumpulan dan seorang individu yang telah mengayuh basikal klasik dari tempat mereka bermukim hingga ke tapak acara dataran pantai Morib. Kumpulan tersebut tak lain dan tak bukan ialah Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis yang telah berbasikal ke sini dari Meru, Klang. Manakala individu tersebut pula merupakan seorang jejaka anak kelahiran Negeri Sembilan. Beliau telah berbasikal dari Kuala Pilah. Memulakan perjalanan sekitar jam lapan pagi dan dengan beberapa hentian rehat telah berjaya sampai ke Morib awal malam tadi. Penghargaan yang tinggi teman berikan kepada kedua-dua kelompok ini kerana dengan hanya menggunakan pengangkutan basikal klasik yang berat apatah lagi mempunyai satu kelajuan sahaja, mereka mampu dan cekal mengharungi berpuluh-puluh malah mungkin ratusan kilometer demi melestarikan hobi yang unik ini di mata masyarakat. Teman yang kayuh sekitar tiga puluh kilometer ini pun boleh terasa beban kepayahannya. Inikan pula tujuh ke lapan kali ganda lebih jauh. Tabik Hormat untuk Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis dan hamba Allah tersebut (teman cuba mencari nama sebenarnya tapi masih belum dapat sumbernya).


Alhamdulillah. Perut sudah kenyang. Hati pun riang. Malah ada yang terlebih kenyang. Al Maklumlah esok nak kayuh basikal sejauh 30 kilometer. Jadi kenalah istilahnya "pelahap" sikit agar zat-zat dari nasi ambeng itu mencukupi dan mampu memberikan tenaga yang optimum semasa acara kayuhan nanti. Balik semula ke tempat penginapan. Setahun kami berpisah. Amat jarang kami dapat bersemuka, sebumbung dan semalaman. Teman, saudara Ibram Talib, Abdul Rahim serta dikunjungi pula oleh wak Muhammad Ajis ke bilik kami. Berborak, berjenaka, berseloro. Memang riuh rendah dibuatnya. Seolah-olah kami ni boleh diibaratkan sekejap sebagai bujang lapok. Yang bergelar ayah dah tak rupa macam pangkat ayah lagi dah. Teman yang agak sinonim dengan gelaran budiman, ternyata lucut habis gelaran tersebut untuk malam itu. Pesta muda mudi kami berakhir sebelum tengah malam. Tiba masanya untuk kami beradu.


Mata teman tiba-tiba sekang dari lamunan tidur. Paparan waktu di telefon bimbit menunjukkan pukul 3.09 minit pagi. Rakan-rakan sebilik Ibram Talib dan Abdul Rahim sudah lena tidur diulik lagi dibuai mimpi. Barangkali bermimpikan kayuhan esok. Ntah mengapa mata  ini tak boleh lena kembali. Hampir dua puluh minit bersengkang mata, terkebil-kebil memandang syiling. Sekejap ke kiri. Sekejap pusing ke kanan. Dalam keadaan sedemikian, teman terasa ada sesuatu perkara aneh berlaku dalam bilik tersebut. Teman baring bersebelahan Ibram Talib. Teman perhatikan gaya tidurnya senyap saja tanpa berdengkur. Manakala katil hujung pula Abdul Rahim tidur dalam keadaan berdengkur. Tapi dengkurannya tidak terlalu kuat dan temponya teman dapat baca perlahan sahaja. Apa yang menggusarkan teman ialah telinga ini mendengar satu lagi irama dengkuran. Lama juga teman fokus akan bunyi itu dan teman begitu yakin dengkuran tersebut bukan datang dari rakan-rakan sebilik. Bunyi penghawa dingin pun tidak juga. Seolah-olah ia datang dari ruangan antara pintu utama dan pintu bilik air. Dalam keadaan ruang bilik yang gelap itu, teman gagahkan dan beranikan diri untuk berjalan ke arah sudut tersebut. Anehnya makin didekati makin sayu bunyi dengkuran itu. Apabila teman betul-betul berdiri di ruang tersebut, bunyi dengkuran itu lenyap sama sekali. 


Tiba-tiba bunyi yang tak diundang itu kembali bergema semula tapi kali ini datangnya dari arah pembaringan teman bangkit dari katil tadi. Bunyi dengkuran itu agak kasar seolah-olah pertengahan antara deruman harimau dan dengkuran manusia biasa. Tidak semena-mena teman sudah rasa tidak sedap badan. Seluruh bulu roma di tengkuk dan tangan naik bagai direnjat dengan arus elektrik. Seluruh anggota badan ini terasa sejuk menggigil ibarat memeluk seguni ais yang biasa diedarkan oleh syarikat Atlas ke gerai-gerai makan. Degupan jantung menjadi kencang. Lebih kencang dan berdebar dari situasi seseorang yang berada di atas pembaringan dan berdepan dengan tok mudim untuk berkhatan atau seorang pengantin yang ingin melafazkan akad ijab kabulnya di hadapan tok kadi. Tiba-tiba disebalik langsir jendela tinggap itu, kelihatan...


Maaf para pembacaku sekalian. Teman terpaksa tangguhkan jari jemari ini dari terus menaip. Ini kerana azan baru sahaja berkumandang menandakan telah masuk waktu solat Subuh bagi wilayah Puchong dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya. Bila masa dan ruang menyebelahi teman, akan teman sambungnya semula pada bahagian tiga di artikel yang berasingan. Maaf kiranya terlebih panjang dengan perkongsian cerita yang mungkin terlalu peribadi. Cerita atau kisah hari kedua untuk sesi kayuhan pun teman belum sentuh lagi. Sabar ya kawan-kawan. Tungguuuu.