Thursday, October 31, 2013

Video Meraikan Majlis Persandingan Anak Master Raleigh


Video Kayuhan Mengiring Mempelai Puteri Master Raleigh from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Mengakhiri edisi bulan Oktober 2013, Budiman Berbasikal Klasik dengan santainya memperkongsikan video serba ringkas sepanjang kunjungan ke majlis perkahwinan raja sehari puteri kesayangan  Master Raleigh (Aznor Hasan). Video yang berlangsung sekitar lima minit ini memaparkan adegan-adegan sebelum, semasa hinggalah selesai kami meraikan majlis tersebut. Oleh itu khatamlah sudah aktiviti dan kegiatan Budiman Berbasikal Klasik bagi sepanjang tempoh bulan Oktober 2013. Semoga kita bersua pula dengan pelbagai lagi perkongsian yang beraneka gaya dan corak pada edisi bulan November 2013 tidak lama lagi. Bersamalah kita mengamalkan cara hidup yang sihat diantaranya dengan melakukan aktiviti berbasikal. Sekurang-kurangnya masa dan tenaga kita dapat diluangkan secara bermanfaat demi hobi, rekreasi serta persaudaraan. Sekian.

Tuesday, October 29, 2013

Pengalaman Menghadiri Majlis Perkahwinan Puteri Master Raleigh

Seperti yang diketahui pada tanggal 27 Oktober 2013 telah berlangsungnya satu majlis perkahwinan iaitu puteri kesayangan kepada Master Raleigh atau nama sebenarnya tuan Aznor Hasan. Sehubungan itu Budiman Berbasikal Klasik mewakili sekalian sahabat-sahabat basikal klasik ingin mengucapkan jutaan terima kasih diatas undangan ke majlis tersebut serta layanan yang bertaraf esklusif. Kami begitu gembira kerana buat julong kalinya dapat merasa pengalaman baru iaitu berarak dan mengiring pengantin dengan berbasikal klasik. Apatah lagi ia memberikan keunikannya yang tersendiri bilamana dapat mengetengahkan sesi ini di pusat metropolitan Kuala Lumpur yang serba moden. Disamping meraikan sambutan majlis tersebut, kami juga berpeluang melakukan aktiviti berbasikal dengan mengelilingi tasik Titiwangsa. 

Di sana sini khemah-khemah kahwin berdiri teguh mempayungi orang ramai yang berkunjung-kunjungan menyahut undangan raja sehari. Ini menandakan musim orang kahwin telah membuka tirainya yang kebiasaannya akan berlarutan hinggalah ke akhir tahun. Bersiar-siar di tepi tasik sambil berkayuh santai dan sekali sekala sayup-sayup kedengaran lagu yang bertemakan perkahwinan, menggamitkan kenangan silam kepada mereka yang pernah naik ke jinjang pelamin pada satu ketika dulu. Lamunan nostalgia. Sekadaar itulah sahaja buah fikiran yang boleh dijadikan coretan untuk dikongsikan bersama.  Sekali lagi kepada pengantin dan seisi keluarganya, semoga berbahagia selalu dan senantiasa diberkati, dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. Ameeen.

Thursday, October 24, 2013

Meraikan Majlis Perkahwinan Anak Master Raleigh



Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya akan menghadiri majlis perkahwinan raja sehari anak kepada tuan Aznor Hasan (Master Raleigh) yang akan diadakan pada hari Ahad ini bertarikh 27 Oktober 2013. Terdapat sedikit keunikan pada aturcara majlis ini dimana pada sesi perarakan, mempelai akan berarak dengan diiringi oleh segerombongan basikal klasik. Bersama-samalah kita menyemarakkan majlis keraian ini sambil beriadah dengan berbasikal klasik di sekitar Taman Tasik Titiwangsa. Semoga pengantin yang diraikan ini beserta seisi keluarga senantiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah s.w.t. Semoga berkekalan bahagia, harmoni dan sejahtera selamanya. Ameen.

Wednesday, October 16, 2013

Video Acara KG5


Video Kayuhan KG5 Melaka from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Berikut merupakan rakaman video acara KG5 yang telah berjaya disunting untuk dikongsikan bersama.  Video yang berlangsung hampir 10 minit ini menayangkan babak sebelum pelepasan hinggalah ke akhir aturcara program. Semoga terhibur dan nantikan kepelbagaian agenda kayuhan menarik yang akan menyusul dari masa ke semasa.

Berkayuh basikal di taman kemboja,
Kenangan KG5 indah tersemat,
Video dihasilkan sekadar termampu sahaja,
Selamat menonton sehingga tamat.

Tuesday, October 15, 2013

Pengalaman Menyertai Acara KG5

Indah sungguh kenangan dikarang,
Coretan berisi tentang Melaka,
Bersamalah kita kongsi dan karang,
Tanda ingatan pernah ke Melaka. 

Apa khabar para pelawat sekalian? Diharap anda senantiasa ceria selalu. Negeri Melaka kaya dan terkenal dengan adat istiadat berpantun. Oleh itu pengisian pada kali ini akan teman olahkan dengan sedikit kelainan. Maka al-kisah berlangsunglah sudah acara Kayuhan Gabungan 5 negeri di Melaka pada hujung minggu yang lepas. Alhamdulillah segalanya selamat dan berjalan dengan lancar. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM), Basikal Melaka serta semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti tersebut.

Terima kasih teman ucapkan,
Kerana kalian selalu membantu,
Jasa dan kudrat jadi taruhan,
Akan teman kenang setiap waktu.

Memandangkan kayuhan bermula seawal jam 7.45 pagi, teman mengambil keputusan untuk bermalam di Melaka. KSTM telah berjaya mendapatkan sebuah rumah homestay untuk teman bermalam yang ditemani juga oleh saudara Ajis dari Subang Perdana. Rumah yang disediakan memang menarik dan cantik kerana ia merupakan kawasan perumahan yang baru disiapkan. Hinggakan menambat hati saudara Ajis yang langsung berhajat memilikinya untuk dijadikan rumah nombor dua. Tidak banyak aktiviti yang dilakukan pada malam tersebut. Kami sekadar meluangkan masa bersama-sama dengan para ahli KSTM di tapak pelancaran kayuhan dan selebihnya rehat di rumah.


Detik hari yang penting itu bermula seawal jam 6.30 pagi. Kedatangan para peserta yang dekat dan jauh dengan gaya busana tersendiri menceriakan suasana yang sejuk di awal bening pagi. Masing-masing kegirangan bersua sapa dengan rakan taulan yang sudah lama tidak bertemu. Seramai 262 peserta yang merangkumi lima buah negeri telah hadir mendaftarkan diri. Selesai pendaftaran, para peserta diberikan juadah sarapan pagi yang telah disediakan oleh pihak penganjur diselangi dengan sesi ucapan pembukaan serta taklimat aturcara program. Seterusnya lagu Negaraku dimainkan dan disusuli penyerahan bendera lima negeri kepada setiap wakil sebagai isyarat simbolik tanda kayuhan bermula.

 

Perjalanan kayuhan telah dijaga dan dikawal rapi oleh pihak polis trafik, kumpulan vespa serta urusetia-urusetia KSTM. Berkayuh di bandaraya Melaka yang masyhur dengan status memori silam bersejarah cukup sinonim dan padan dengan gaya kayuhan kami yang berbasikalkan klasik. Ia membuatkan para pelancong yang berada di sana bagaikan diberi bonus tambahan kerana tampak begitu teruja apabila terserempak dengan konvoi berbasikal klasik. Secara peribadi, ini merupakan pengalaman sulung dalam hidup teman kerana dapat berkayuh di atas basikal berestika klasik menyusuri jalan-jalan yang berunsurkan antik dan lama. Begitu menambat hati sanubari yang berjiwakan klasik ini. Diantara jalan-jalan yang teman ingat namanya ialah Jongker Walk, Little India dan Bunga Raya.

Bandar Hilir tempat bersejarah,
Ramai pelancong datang melawat,
Sungai Melaka bersih dan indah,
Setiap waktu ramai pelawat.

Sepanjang perjalanan kayuhan, kami telah berhenti rehat di dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong iaitu di dataran bangunan merah dan dataran Famosa. Kesempatan ini diambil dengan melakukan sesi menangkap gambar sesama peserta dan tidak ketinggalan para pelancong yang turut ingin bergambar sekali. Keindahan lanskap yang mempesonakan berteraskan ciri-ciri retro cukup layak dan sesuai menghasilkan potret-potret yang sempurna untuk dijadikan kenangan yang kekal abadi. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, jarak kayuhan berkonvoi yang bermula dari Taman Bachang Baru ini adalah sejauh 16 kilometer. Jika hendak dibayangkan jaraknya memang diakui agak sedikit jauh. Tetapi percayalah dengan apa yang teman catatkan dalam bingkisan ini. Dengan suasana kayuhan secara santai seramai 262 pengayuh, dipukau pula oleh keindahan panorama, sedar tak sedar kayuhan kami telah pun kembali ke tapak pelepasan.


Keriangan para peserta tidak terhenti di situ. Kelangsungan keceriaan kami diteruskan dengan pelbagai slot-slot aktiviti yang menarik. Diantaranya adalah jamuan makan tengah hari, gerai-gerai jualan, pameran, cabutan bertuah, pertandingan dan sukaneka. Teman juga tidak terlepas peluang dan dapat juga merasa menaiki pentas untuk menerima hadiah. Syukur Alhamdulillah. Seperkara lagi tertunai juga hasrat di hati ini yang kempunan nak merasa masakan asam pedas Melaka. Rezeki teman juga pada hari itu kerana kebetulan juadah tengah hari yang disediakan oleh pihak penganjur adalah berlaukan ikan asam pedas. Sedap, enak dan lazat tak terkata.

Negeri Melaka jadi sebutan,
Negeri bersejarah jolokan diberi;
Asam pedas jadi rebutan,
Makan bertambah tak ingat diri.

Rasanya coretan pada kali ini terlebih panjang dari kebiasaan. Begitulah kalau hati dan akal sudah minat. Leka dibuatnya jari-jemari ini menyusun pra kata. Ikutkan hati hendak saja dicoretkan setiap detik-detik istimewa yang telah diperolehi dari Melaka. Harap para pembaca sekalian berpuas hati dengan gubahan ayat-ayat yang mencorakkan kerangka nukilan pada kali ini untuk dikongsikan bersama. Akhir kalam marilah kita berganding bahu mengekalkan jalinan persahabatan yang ditemui melalui hobi berbasikal klasik yang begitu unik ini. Sebagaimana kita menjaga dan mengekalkan kelestarian basikal klasik, begitu jugalah padannya kita menjaga nilai ukhuwah sesama saudara. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sekian.

Letih berkayuh di tengah pekan,
Singgah sebentar menikmati sekeping roti,
Jutaan terima kasih teman ucapan,
Diatas segala sokongan dan bakti.

Friday, October 11, 2013

Kempen Menyokong Kayuhan Gabungan 5 Negeri 2013


Budiman Berbasikal Klasik dengan rasa sukacitanya menyokong sekaligus akan menyertai acara berbasikal klasik "Kayuhan Gabungan 5 Negeri". Program yang bakal memeriahkan suasana di bandaraya Melaka ini dianjurkan oleh Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM) dengan kerjasama Basikal Melaka. Ia merupakan kayuhan berkonvoi yang akan disertai oleh lebih 10 kelab basikal klasik meliputi 5 gabungan negeri. Kayuhan akan bermula pada jam 7.45 pagi dari Taman Bachang Baru menuju Bandaraya Melaka. Pelbagai aturcara menarik turut disediakan seperti sukaneka, cabutan bertuah, pameran serta gerai-gerai jualan.

Marilah sama-sama kita menyertai acara ini yang akan berlangsung pada hari Ahad bersamaan 13 oktober 2013. Semoga kita akan dapat mewujudkan tali persahabatan baru disamping mengekalkan ukhuwah persaudaraan yang lama demi minat dan hobi yang sama. Yang lama dikelek, yang baharu didukung. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Mari kita kayuh santai dengan penuh gaya bersama basikal yang berestatika klasik. Semoga komuniti berbasikal klasik terus kekal positif atas dasar dan berteraskan minat yang sama, beriadah secara sihat serta jaringan ikatan persahabatan yang akrab. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Tuesday, October 8, 2013

Video Yang Hilang Dan Baru Dijumpai Dari Jurnal Bernama



Pernahkan anda menonton Lost Tapes di saluran Discovery Channel? Dokumentasi hanya lakonan semata-mata yang memaparkan penemuan pita-pita video berdasarkan rakaman misteri dan mistik. Maka begitulah boleh diumpamakan video di atas sebagai video yang hilang dimana ramai tidak mengetahui akan kewujudannya setelah sekian lama. 

Masihkah anda ingat kayuhan basikal klasik (BES) jelajah Selangor yang telah diadakan di Bandar DiRaja Klang pada bulan February 2013 yang lepas? Video di atas sebenarnya merupakan rakaman yang diterbitkan oleh wartawan Bernama menerusi rancangan Jurnal Bernama yang merencanakan program acara tersebut. Besar kemungkinan ramai peserta yang mengikuti acara ini terlepas peluang untuk menontonnya. Justeru tontonilah video ini yang menggamit memori kenangan manis. Terima kasih diucapkan kepada Along dari Port Swettenham Classic Bicycle diatas perkongsian video tersebut.

Monday, October 7, 2013

Koleksi Terbaru - Raleigh Superbe All Chrome "Boss Bike"

Pada bulan Oktober 2013 terciptanya satu sejarah yang istimewa bagi diri teman ini yang mewakili blog Budiman Berbasikal Klasik. Setelah sekian lama diri ini menceburi hobi berbasikal klasik, baru sekarang diberi ruang dan peluang untuk memperolehi sekaligus memiliki sebuah sepeda klasik yang paling lengkap, asli, tulen dan sesempurna yang belum pernah diraih sebelum ini. Alhamdulillah, rezeki hasil simpanan yang dikumpul dari tahun lepas akhirnya mencukupi untuk menampung pembelian sebuah sepeda klasik serta kos pos penghantarannya dari negara England. Baiklah cukup sekadar itu untuk bunga-bunga pendahuluan. Mari kita melangkah ke perenggan kedua dalam membicarakan tentang sinopsis profil basikal tersebut.

Ia merupakan sebuah basikal klasik tahun 1950an yang telah direstorasi oleh pemilik asalnya dari England. Basikal ini berjenama Raleigh versi Superbe, keluaran edisi khas iaitu Chromium "Boss Bike" atau All Chrome "Boss Bike". Untuk pengetahuan lanjut tentang edisi ini boleh dapatkan maklumatnya dicarian google dengan menaip "Raleigh Boss Bike". Bagi merangkumkan specifikasi basikal ini, teman catatkan butirannya secara senarai ringkas agar mudah dibaca seperti di bawah:-
- Saiz kerangka badan 23" lengkap dengan fork kekunci
- Rim Raleigh stainless steel 26 x 1 3/8" westrick
- Sturmey Archer gear 4 kelajuan 
- Sturmey Archer dyno rear hub
- Sturmey Archer lampu dan mentol
- Tempat duduk Brooks B83
- Tongkat diri Raleigh

Begitulah sedikit sebanyak tentang butiran yang merangkumi spesifikasinya. Pencarian basikal klasik ini tidak lain dan tidak bukan sudah pasti dilakukan menerusi laman Ebay. Hasil dari sedikit kajian dan tinjauan yang dibuat, akhirnya teman terjumpa dengan satu iklan yang menawarkan basikal ini. Apa yang begitu menambat hati teman adalah kelainan dari segi warnanya yang jauh beza dari kelaziman basikal klasik berwarna hitam, perang atau hijau. Pada awalnya teman merasakan tidak berpeluang untuk memperolehinya kerana basikal tersebut ditawarkan secara belian bida. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada pembida tunggal yang mewakili negara Malaysia ini kerana dapat bidaan yang tertinggi dalam saat-saat terakhir sebelum tamatnya tempoh bidaan. Ramai yang bertanya tentang prosedur dan jenis kemudahan penghantaran yang digunakan. Maka pada perenggan berikut teman nukilkan.

Pertama sekali, kaedah kemudahan yang digunakan adalah melalui kapal terbang. Menerusi kapal terbang pula terdapat beberapa pilihan perkhidmatan yang disediakan seperti priority, first class, standard, international dan sebagainya. Oleh kerana teman tidak pernah memiliki pengalaman dalam urusan pengeposan basikal dari luar negara, penjual basikal tersebut mencadangkan perkhidmatan jenis priority menerusi syarikat Fadex. Ia merupakan diantara pilihan yang agak tinggi kosnya kerana pos jenis ini diberi keutamaan dan dijamin sampai terus ke depan pintu dalam kurang 14 hari. Memang tidak disangkal lagi kerana basikal ini selamat sampai ke pangkuan teman dalam tempoh 9 hari sahaja tanpa ada sebarang kos tambahan seperti cukai, duti kastam dan sebagainya.

Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Begitulah peribahasa yang membawa maksud jika pengetahuan itu sedikit, jangan berani buat sesuatu yang besar. Peribahasa ini ditujukan khas buat diri teman sendiri yang belum cukup mahir dalam kemahiran memasang basikal. Apatah lagi basikal klasik yang mempunyai gear dan hub. Mujur teman mengenali seorang pakcik yang mengusahakan sebuah kedai basikal yang bercirikan antik di Bukit Naga, Shah Alam. Pakcik ini atau lebih serasi dipanggil Uncle Ng merupakan seorang pengusaha yang cukup luas pengetahuannya tentang serba-serbi basikal klasik. Ini terbukti bilamana pemasangan basikal Raleigh Boss Bike dipasang dengan begitu tertib dan terkendali. Katanya sudah hampir 6 tahun beliau tidak bertemu atau berpeluang untuk mengelolakan sebuah basikal klasik Raleigh yang lengkap. Satu penghargaan bagi teman serta seribu imbalan penghormatan buat Uncle Ng. Thank you uncle.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang boleh dikongsikan mengenai ceritera Raleigh Superbe Boss Bike ini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak menjawab persoalan yang dilontarkan kepada teman oleh sahabat-handai seperjuangan tentang koleksi terbaru ini. Sekadar yang termampu demi minat dan hobi. Alah membeli, menang memakai. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Salam bulan Zulhijjah dan selamat menyambut Aidul Adha. Dengan rasa rendah dirinya, berikut diperkongsikan gambar-gambar koleksi basikal klasik terkini Budiman Berbasikal Klasik - Raleigh Superbe All Chrome Boss Bike. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih besar dan jelas. Selamat menjamu mata. ;)

Tuesday, October 1, 2013

Sketsa Jenaka Bulan Oktober 2013

Apa khabar para pengunjung dan pelawat sekalian? Diharap semuanya baik belaka disamping basikal masing-masing yang tercinta. Semoga anda senantiasa menggiatkan aktiviti berbasikal sepanjang waktu walau apa jua jenis basikal yang dimiliki. Blog Budiman Berbasikal Klasik mempersembahkan sketsa jenaka seperti paparan di atas sebagai pembukaan bagi edisi bulan Oktober 2013. Gambar tersebut seiringan dengan matlamat atau hala tuju blog ini dikongsikan. Dengan erti kata lain ideologi yang sealiran. Walau beransur masa dan peredaran modenisasi, basikal klasik masih tetap utuh, diminati serta dipraktikkan dari masa ke semasa. Tidak goyah walau dikelilingi dengan pelbagai perkembangan teknologi yang canggih lagi merumitkan akal fikiran memikirkannya. Begitulah hendaknya.

Bagi bulan Oktober 2013, blog ini dijangkakan mempunyai banyak pengisian tentang aktiviti riadah berbasikal. Untuk tempoh hingga ke akhir tahun 2013 ini, diramalkan terdapat beberapa acara rasmi berbasikal yang akan menyusul satu demi satu. Salah satunya adalah acara rasmi yang akan berlangsung dipertengahan bulan ini. Untuk mengetahui perkembangan bingkisan tersebut, nantikan kemas-kini blog Budiman Berbasikal Klasik. Tungguuuuu.