Thursday, February 11, 2016

Keroncong Mala Sari (Bahagian 2)

Ya. Mataku memandangkan akan apa yang begitu jelas lagi nyata. Ini bukan suatu permainan silap mata. Tidak juga elusi. Buaian kanak-kanak yang aku sangkakan berbuai dengan sendiri ternyata memang berhayun tanpa ada sesiapa yang menduduki atau menolaknya. Gerakannya agak laju dan tinggi hingga hampir empat puluh darjah hayunan. Aku tergamam. Aku terpaku seketika ibarat sebuah patung. Aku cuba menepiskan sebarang perihal yang berkaitan perkara mistik. Sedaya upaya aku menyakinkan diriku dengan mengetengahkan alasan logik lagi bersaintifik. Apakah mungkin angin yang kencang? Tidak mungkin kerena tiada angin yang meniup pada waktu itu dan sekiranya ada pasti kesemua buaian berhampiran turut serta bergerak. Mungkinkah haiwan seperti kucing atau sewaktu dengannya yang baru sahaja beredar dari beristirehat di atas buaian itu? Itu lagi tidak masuk akal kerana belum pernah dalam sejarah hidupku melihat kucing atau seumpamanya bermain buaian serta mempunyai daya dan gaya untuk menghayunkan buaian. Akhirnya aku pasrah dengan tidak boleh mengendahkan lagi fenomena yang berkaitan dengan perihal mistik.

Buai laju-laju, sampai gunung salju. Apa di atas buaian kayu, Tiada siapa yang tahu.

Jantungku berdegup kencang. Hampir dua puluh saat aku terpacak kaku menyaksikan fenomena buaian tersebut. Ke depan, ke belakang. Maju dan mundur seolah-olah ada mahkluk yang sedang duduk santai di atasnya. Selang beberapa saat selepas itu barulah momentum buaian itu  mulai perlahan hingga akhirnya berhenti dengan sendiri. Nafas dan jantungku juga bagaikan berhenti. Menunggu fenomena apakah yang bakal berlaku seterusnya. Aku masih lagi di atas platfom padang permainan. Tanpa melengahkan masa aku membetulkan posisi pada basikal ku dan memulakan kayuhan secara perlahan beredar dari tapak buaian tersebut. Di hadapanku kini akan aku susuri laluan yang mempunyai sebatang pokok besar yang tampak rendang lagi tua usianya. Pohon dan dahannya begitu rendah hingga boleh dicapai dengan tangan. Dahannya mekar merimbun hingga menaungi laluan yang bakal aku harungi. Lantas aku pun beranjak dari kawasan permainan kanak-kanat itu. Segalanya kembali seperti biasa. Seperti mana ia tiba-tiba berlaku, seperti itu juga ia berhenti secara drastik.

Aku meninggalkan kawasan permainan kanak-kanak itu bersama kenangannya sekali kerana aku tidak sudi mengelamun tentangnya. Tanpa menyedari di hadapanku ini bakal mengundang peristiwa yang jauh lebih nostalgik.

Sudah tamatkah nukilan aku ini? Mungkin para pembaca sekalian menyangkakan ceritera ini sudah sampai ke penghujung. Amat tersasar sangkaan tersebut. Ini kerana kisah kemuncaknya bakal bermula dari lima belas saat sebaik sahaja aku mengorak kayuh basikal dari tapak buaian tadi. Maka bermulalah. Lima saat. sepuluh saat. Lima belas saat. Masuk detik saat seterusnya sewaktu mana aku berada betul-betul di bawah naungan pokok tua itu, tiba-tiba kedengaran suatu bunyi. Bunyi yang jika diberi nisbah seratus orang untuk mendengarnya, nescaya dijamin seratus peratus tiada seorang pun dari mereka sanggup mendengarnya. Itulah ia bunyi campuran tangisan dan mengilai dari suara seorang perempuan. Lazimnya seseorang itu akan berambus lintang pukang sebaik sahaja mengalami kejadian seperti ini. Tapi ntah mengapa tindakan refleksi aku ini agak pelik sedikit. Bahkan aku terus menjadi statik tanpa sebarang pergerakan sambil memegang pengemudi basikal. Bulu roma tengkuk naik meremang. Sayup-sayup bunyinya pada peringkat awal. Lama-kelamaan tonasinya menjadi lebih jelas dan keras. Sekali-sekala mendayu-dayu melodinya ibarat kiraan panjang enam harakat jika bersandarkan kepada ilmu tajwid. 


Dalam posisi aku yang terkaku itu, biji mataku mengilau mencari punca wujudnya suara itu. Aku toleh ke sebelah kiriku kelihatan sebuah stesen jana kuasa elektrik TNB, ke kananku terpampang sedampar padang bola yang terbentang luas. Ke depanku deretan rumah yang barangkali penghuninya semua sudah dibuai mimpi. Ke belakangku taman permainan yang baru sahaja aku lalui tadi. Kesemua empat arah ini tidak memberikan jawapan kepada sumber sebenar suara itu. Oh ya. Lupa pula aku hendak memandang ke arah atas. Tanpa melengahkan masa, aku gagahi jua untuk mendongakan kepala ku ke arah atas yang dipayungi dedahan pokok tua itu. Ya, tidak syak lagi. Sumber suara itu rupa-rupanya datang dari arah atas pokok itu. Aku terkejut dan hampir sahaja rebah bersama basikal ku. Di satu sudut dahan pokok yang melata secara liar itu, biji mataku tertangkap akan suatu objek yang janggal lagi aneh. Aku tidak tahu bagaimana inginku jelaskan secara terperinci akan apa yang mataku lihat. Biarlah gambar dibawah ini berbicara bagi pihak ku dalam menjelaskan situasi tersebut.

Betul-betul di atas kepalaku ini kelihatan seperti sehelai kain berwarna putih terlilit dan terjerut kemas pada sebahagian dedahan pokok tua itu. Di sudut inilah datangnya sumber suara tersebut.

Hanya lebih sedikit dari detik sekilas pandang sahaja mataku ini berani tumpu pada entiti atau objek tersebut. Tiba-tiba refleksi ku bagaikan seperti letusan gunung berapi. Meluap-luap tenaga yang terhasil pada diriku ini. Lantas mengaktifkan panca indera pada tubuh badanku untuk bertindak balas menginjak dari lokasi tersebut. Dengan semangat yang berkobar-kobar aku pun terus mengayuh basikal klasik ku mara ke hadapan. Tidak pernah aku mengayuh sederas ini. Walaupun basikal kesayangan ku ini hanya mempunyai tiga tahap kelajuan, ia sama sekali tidak mematahkan semangatku untuk memecut laju. Aku tidak menoleh ke belakang lagi. Akan tetapi bunyi tangisan ngilai itu masih sayup-sayup kedengaran dari arah belakangku. Hanya tinggal kurang lebih dari dua ratus meter sahaja untuk aku sampai ke rumah. Dalam kondisi cemas seperti ini jarak perjalanan dua ratus meter seolah-olah seperti dua kilometer jauhya.

Terasa berat dan perlahan pusingan roda basikal walaupun diusahakan untuk kayuh laju. Bagaikan ada sesuatu daya yang menarik atau menahan basikal ku dari terus bergerak pantas.

Sedaya upaya aku meletakan tekanan yang kuat pada pedal kayuhan basikal. Makin kuat aku cuba mengayuh laju, semakin berat pula rasanya basikal ini. Seakan-akan ada bebanan tambahan pada tungganganku. Aku endahkan sahaja. Tiada kuasa untuk aku menoleh ke belakang lagi. Tidak jauh dari hadapanku kini sudah kelihatan teratak rumahku. Dalam cemas aku merasa sedikit lega. Lima puluh meter. Tiga puluh meter. Sepuluh meter. Akhirnya sampai juga aku di hadapan pagar rumahku. Aku tercungap-cungap sambil cuba mengumpulkan seberapa banyak udara ke dalam tangki paru-paru yang sudah kempis kehabisan oksigen. Keadaan menjadi sunyi sepi. Aku cuba berikan tumpuan kepada keadaan di sekelilingku. Ternyata begitu hening dan lengang. Tanpa melengahkan masa, aku bergegas memasuki ke rumah.

Aku terduduk di atas kerusi malasku dalam keadaan yang masih termengah-mengah. Bungkusan char kueh teow ntah ke mana cicirnya tadi. Perut yang pada awalnya kosong dan lapar kini terasa kenyang. Dalam keadaan aku mententeramkan diri ini, aku terfikir jauh sejenak. Segalanya yang berlaku tadi pasti sarat dengan pelbagai suri pedoman serta hikmah. Fikiranku melayang seketika. Tiba-tiba ingatanku ini mengimbau kepada suatu perkara yang mustahak. Sekarang baru aku sedari. Perkara mustahak ini yang sepatutnya aku titikberatkan dahulu tetapi aku melupainya. Apakah perkara tersebut? Akan aku sambung dan kongsikan pada nukilan seterusnya tidak lama lagi.