Thursday, September 27, 2012

Selamat Berkayuh Di Musim Hujan

Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ni (September - Oktober 2012). Daripada pengamatan teman, musim hujan atau tengkujuh telah membuka tirainya dan mungkin berlarutan hingga ke akhir tahun. Hari ni dan semalam pun mencurah-curah air dari langit turun membasahi muka bumi di sekitar lembah klang. Sejuk dan nyaman dibuatnya.

Oleh itu artikel pada kali ni teman hanya ingin menyampaikan pesanan ringkas sahaja. Kepada para pengayuh basikal, yang tegar, yang aktif, tidak kira apa jua jenis basikal, berhati-hatilah semasa berbasikal dimusim tengkujuh hingga ke akhir tahun ini. Maklumlah jalan licin lagi basah, berlecak mahupun bertakung boleh membawa pelbagai risiko kepada para pengayuh. Semestinya kita jarang atau tidak sama sekali berbasikal semasa hujan. Hanya berwaspada, cermat dan lebih berjaga-jagalah apabila berbasikal dalam keadaan selepas hujan.

Semoga memberi peringatan buat diri teman dan para pembaca sekalian. Cuaca mungkin bukan halangan utama untuk aktiviti berbasikal jika kita bijak mengenalpasti keadaan dan menguruskan situasi dengan cekap. Selamat berkayuh.


Friday, September 21, 2012

Plat Nombor Lesen Basikal Tua

Sekadar berkongsi cerita dan mengemaskini blog. Sebelum berlangsungnya acara himpunan basikal tua terbesar MBoR  di Melaka pada 16 September 2012 yang lalu, teman masih ada menerima beberapa barang aksesori basikal tua yang dibeli dari beberapa rangkaian pengiklanan di laman web. Semua aksesori tersebut juga bertujuan untuk menggilap dan melengkapkan lagi kesempurnaan basikal teman sempena acara MBoR yang lalu.

Teman telah terima satu lagi bungkusan yang seperti biasa datang jauh dari negara England. Agak sukar dan susah juga untuk dapatkan barang tersebut kerana ramai dari pelusuk negara yang inginkannya juga. Maka terpaksalah barang tersebut dibida. Alhamdulillah, rezeki teman untuk memperolehinya kerana berjaya mendapat bidaan yang tertinggi pada saat terakhir.


Maka inilah aksesori tersebut iaitu merupakan tag plat lesen basikal yang tertera perkataan "Bicycle Garden City 6669". Bukan setakat plat lesen itu yang teman inginkan, malah menyangkut klipnya juga merupakan barang yang diburui ramai peminat tegar basikal tua kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Malah boleh dikatakan hampir tiada dijual di mana-mana ceruk pasaran. Platnya pun teman dah pasangkan di bahagian hadapan basikal seperti yang terdapat pada gambar di atas. Lepas ni nak bawa siar-siar di kawasan taman perumahan pula. Hingga kita bersua lagi.

Wednesday, September 19, 2012

Pengalaman Menyertai Himpunan MBoR: Bahagian 2

Sambungan dari artikel sebelumnya. Para pembaca yang pertama kali datang, sila baca bahagian satu untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.


Semasa berbaris untuk pendaftaran, diwaktu inilah teman berkenalan dengan sahabat pertama iaitu saudara abang Najib (atau lebih dikenali dalam fb ken watanabe). Dari jauh memang nampak segak berpakaian serba putih ala pengiring Perdana Menteri diawal zaman kemerdekaan. Bahkan gambarnya memang dipaparkan dalam akhbar keesokkan harinya. Tahniah.




Teman telah mendapat no pendaftaran 381. Ramai kenalan baru pencinta-pencinta basikal tua dipertemukan yang datang jauh dari pelbagai negeri. Pelbagai citarasa busana diperagamkan oleh peserta-peserta bagi menggamitkan lagi kemeriahan acara. Ada yang berpakaian tradisional, ada yang berpakaian unit berunifom tentera dan macam-macam lagi bersesuaian dengan tema kemerdekaan. Perkongsian pengalaman dan cerita-cerita serba serbi tentang basikal tua turut dikongsikan bersama. 



Perasmian telah berlangsung dengan ucapan kata-kata aluwan oleh para tetamu yang terhormat. Maka secara tidak langsung tercatitlah sejarah didalam Malaysia Book of Records perhimpunnan terbesar basikal tua dan klasik yang pernah diadakan di tanah air kita. Kemudian disusuli pula dengan pelepasan acara kayuhan yang ditunggu-tunggu oleh kesemua para peserta. Laluan kayuhan adalah mengelilingi sekitar kawasan MITC. Memang meriah dan teramat seronok. Kayuhan beramai-ramai secara santai, cuaca yang mendung tidak panas, orang awam pegun memerhatikan sambil menangkap gambar. Jakun juga teman dibuatnya hinggakan kalau boleh nak saja teman tawaf MITC tu lagi dua kali..



Usai sudah kayuhan, makanan pun diberikan maka kami semua bersantai rehat sambil dihidangkan dengan beberapa acara pentas. Akhir sekali acara penyampaian pelbagai anugerah diadakan. Selesai sahaja maghrib, pergi ke parkir kereta teman, leraikan bahagian basikal sekadar untuk dimuatkan ke dalam kerata, teman pun berangkat pulang ke rumah. Walaupun badan sedikit penat, tapi hati, jiwa dan sanubari berasa puas riang gembira.

Inilah pertama kali teman menceburi aktiviti berbasikal tua. Tiada apa boleh teman gambarkan melainkan kenagan manis belaka. Syabas kepada para penganjur yang telah menjayakan acara ni sama ada terlibat secara langsung atau tidak. Tahniah juga diucapkan kepada semua para peserta yang hadir. Harapan teman agar acara seperti ini atau sewaktu dengannya dapat diadakan lagi secara berkala, berkonsisten serta berpanjangan. Semoga basikal tua, antik atau klasik sentiasa dilestarikan sepanjang hayat. 

Sekian laporan secara tidak rasmi dari teman. Moga berjumpa lagi.

Tuesday, September 18, 2012

Pengalaman Menyertai Himpunan MBoR: Bahagian 1

Alhamdulillah. Itulah perkataan pertama yang boleh teman luahkan sebagai muqadimah untuk mengisi artikel pada kali ini tentang pengalaman mengikuti acara MBR. Syukur kerana segala perjalanan pergi dan pulang adalah dalam keadaan selamat. Syukur juga kerana semuanya berjalan dengan mudah dan lancar.

Teman pergi tiadalah mewakili dari mana-mana persatuan atau kelab. Tidak pula ditemani oleh rakan taulan atau ahli keluarga. Hanya sendiri sebagai individu yang pertama kali menyertai acara atau aktiviti berbasikal tua. Pertama kali yang berkebetulan sejajar dengan acara yang terbesar pernah dianjurkan. Sememangnya gementar juga dibuatnya. 

Membawa basikal ke dalam kerata memang satu cabaran bagi teman. Maklumlah kereta pun boleh dikategorikan sebagai jenis kereta kompak. Dengan basikal tua teman bersaiz 28, ternyata amat mustahil untuk dimuatkan ke dalam kerata. Maka terpaksalah teman meleraikan beberapa bahagian basikal seperti tayar dan rim agar boleh dimasukkan ke dalam kereta. Itu pun setelah dibaringkan segala tempat duduk kereta.

Memandangkan perjalanan ke Melaka dari rumah teman hanya sejam setengah, teman telah merancang untuk bertolak pada jam 10.30am. Dengan itu memang sedang eloklah tiba di sana awal sikit sebelum pendaftaran bermula. Tapi apakan daya minggu tu Hari Malaysia cuti panjang sampai hari Isnin. Pertambahan kereta di lebuhraya dan kesesakkan teruk di sepanjang jalan Ayer Keroh menyebabkan teman tiba di Melaka pada jam 1.15pm.

Agak mendebarkan bila mana teman memandu menghampiri perkarangan Mydin MITC, kelihatan ratusan basikal tua sudah kemas berbaris. Teman ingat dah nak mula berarak. Panik jugalah dibuatnya dikhuatiri tak sempat nak himpun sekali. Mana taknya, alkisah teman nak cari parkir kereta lagi, alkisah nak pasang siap semula basikal lagi.

Mujur teman sempat. Malah jauh lebih sempat kerana pendaftaran berlanjutan hingga jam tiga. Bahkan ramai lagi rupanya yang datang lewat dari teman dan kesemuanya sempat berdaftar. Syabas. Memang begitu banyak sekali penyertaan sehingga mencecah 460 peserta kesemuanya.Tahniah. 

Coretan teman berhenti disini seketika. Sambungan kisah pengalaman akan teman kongsikan lagi pada esok hari. Maklumlah, menaip ni pun di pejabat dan pada waktu rehat tengah hari.  Masa agak kesuntukkan. Oleh itu nantikan susulannya pada esok hari. Tungguuuuu.

Thursday, September 13, 2012

Lampu Ala Dynamo Dengan Kuasa Bateri

Inilah dia lampu yang seiras dengan lampu dynamo basikal tua. Bezanya lampu ini hanya menggunakan dua biji bateri saiz 9v. Seperti yang tertera pada gambar di atas, lampu ini teman perolehi melalui laman ebay dan jualannya datang jauh dari negara England. Apa yang unik pada lampu ini adalah ia mempunyai tiga gaya nyalaan lampu. Berserta dengan tiga petikan suis untuk nyalaan kecil, besar atau kedua-duanya sekali. Maka dengan ini basikal tua teman sudah mempunyai dua jenis lampu yang dipasang pada bahagian hadapan. Lepas ni kena lebih kerap berkayuh malam nampak gayanya.

Wednesday, September 12, 2012

Tempat Letak Cukai Jalan / Lesen Pada Basikal Tua

Terdapat penambahan aksesori pada basikal tua teman. Iaitu tempat letak cukai jalan atau lesen pada basikal tua. Lebih mesra dikenali dengan roadtax holder. Teman baru je dapat semalam melalui sahabat teman dari Klang dengan harga yang teramat berpatutan. Ternyata bukan mudah nak cari roadtax holder untuk basikal pada ketika ini. Terdapat beberapa spot atau tempat yang boleh dijangkukkan pemegangnya pada basikal tua seperti pada skru rim tayar, skru antara palang badan basikal dengan handle depan dan pada skru di bawah tempat duduk. 

Rata-rata kebanyakkan yang teman perhatikan lazimnya diletakkan pada skru di bawah bahagian tempat duduk seperti pada gambar basikal teman yang baru sahaja diletakkan. Cuma sekarang ni belum ada tertera apa-apa tajuk pada slotnya. Kalau-kalau ada pembaca yang bermurah hati ingin mendermakan kepingan kad yang bersesuai untuk diletakkan pada holder tersebut, luas tapak tangan teman hulurkan. =P

Tuesday, September 11, 2012

Kempen Sokongan Penyertaan Kayuhan MBR

 
Teman mewakili blog teman yang tak seberapa meriah ini menyokong sekaligus akan menyertai "PERHIMPUNAN DAN PERARAKAN BASIKAL TUA TERBESAR DI MALAYSIA". Bersama-samalah kita menjayakan acara penuh meriah ini yang bakal menciptakan rekod didalam The Malaysia Book of Record. Semoga dapatlah hendaknya dihimpunkan seberapa ramai pencinta, pemilik basikal tua tidak kira terdiri daripada kelab, persatuan mahupun individu. Ayuh kilat dan gilapkan sepeda tua anda. Jom reramai pakat serbu MITC Melaka 16 September ni.

Monday, September 10, 2012

Pendedahan Basikal Tuaku Yang Terkini

Detik yang dinantikan selama ini akhirnya telah tiba. Pendedahan basikal tua teman yang selama ini disebut-sebut sudah pun dipaparkan dalam ruangan ini seperti gambar-gambar dibawah. Inilah basikal tua bersaiz 28 teman yang melalui beberapa fasa restorasi seperti yang telah teman ceritakan pada artikel-artikel yang lalu. 

Sememangnya kita perlu tekun, berfikiran kreatif dan tidak mudah putus asa dalam usaha mencari serta membaik tambah benda-benda yang berkhazanah antik seperti basikal tua. Maka kesannya sungguh berbaloi dan berpuas hati. Biarlah gambar-gambar tersebut menceritakan segalanya tentang projek restorasi yang boleh dikatakan 90% hampir lengkap. Bagi paparan yang lebih besar sila klik pada gambar tersebut. Selamat menjamu mata.


 



Saturday, September 8, 2012

Emblem & Decal BSA Sudah Diterima


Penantian lebih kurang 40 hari akhirnya berbaloi jua. Maka telah diketuk pintu pejabat ku dengan kedatangan seorang posto menghantar barang yang bernilai serta tidak dapat ditemui di Malaysia. Dua barang inilah penyumbang terbesar dalam melengkapkan projek restorasi basikal tua teman yang terbaru. Seperti tertera pada gambar di atas barang tersebut adalah emblem BSA dan pelekat decal BSA. Sememangnya terbaik. Jangan lupa saksikan pendedahan basikal tua teman yang terkini tidak lama lagi. Tungggguuuuu.

Thursday, September 6, 2012

Aktifkan Diri Dengan Berbasikal Tua


Bersempena musim kemerdekaan di negara kita tercinta ini, teman ingin menyeru pembaca pelawat sekalian agar konsisten dan berterusan melestarikan hobi berbasikal tua. Tak kiralah anda sekadar pengumpul basikal tua, peniaga yang menjual basikal tua mahupun pengguna yang memanfaatkan fungsi berbasikal untuk kegunaan aktiviti harian. Banyak kebaikan yang dapat diperolehi selain daripada kecergasan badan dengan senaman mengayuh basikal, secara tidak langsung dapat juga menghijaukan alam sekitar dengan mengurangkan pencemaran udara dan sehubungan itu mengurangkan kesesakkan lalu lintas. Teman berharap agar suatu hari nanti hobi berbasikal tua akan menjadi terkenal dengan pelbagai aktiviti terutamanya acara kayuhan beramai-ramai atau berkonvoi tidak kira dalam suasana acara rasmi mahupun sekadar bersantai suka ria. Ayuh kawan-kawan yang rata-rata blog meraka yang telah lama sunyi sepi tidak dikemaskini. Aktifkan diri anda kembali kerana teman ini memerlukan semangat anda semua untuk sama-sama mengembangkan, memutikkan dan melestarikan kecintaan berbasikal tua lagi antik ini.