Tuesday, September 18, 2012

Pengalaman Menyertai Himpunan MBoR: Bahagian 1

Alhamdulillah. Itulah perkataan pertama yang boleh teman luahkan sebagai muqadimah untuk mengisi artikel pada kali ini tentang pengalaman mengikuti acara MBR. Syukur kerana segala perjalanan pergi dan pulang adalah dalam keadaan selamat. Syukur juga kerana semuanya berjalan dengan mudah dan lancar.

Teman pergi tiadalah mewakili dari mana-mana persatuan atau kelab. Tidak pula ditemani oleh rakan taulan atau ahli keluarga. Hanya sendiri sebagai individu yang pertama kali menyertai acara atau aktiviti berbasikal tua. Pertama kali yang berkebetulan sejajar dengan acara yang terbesar pernah dianjurkan. Sememangnya gementar juga dibuatnya. 

Membawa basikal ke dalam kerata memang satu cabaran bagi teman. Maklumlah kereta pun boleh dikategorikan sebagai jenis kereta kompak. Dengan basikal tua teman bersaiz 28, ternyata amat mustahil untuk dimuatkan ke dalam kerata. Maka terpaksalah teman meleraikan beberapa bahagian basikal seperti tayar dan rim agar boleh dimasukkan ke dalam kereta. Itu pun setelah dibaringkan segala tempat duduk kereta.

Memandangkan perjalanan ke Melaka dari rumah teman hanya sejam setengah, teman telah merancang untuk bertolak pada jam 10.30am. Dengan itu memang sedang eloklah tiba di sana awal sikit sebelum pendaftaran bermula. Tapi apakan daya minggu tu Hari Malaysia cuti panjang sampai hari Isnin. Pertambahan kereta di lebuhraya dan kesesakkan teruk di sepanjang jalan Ayer Keroh menyebabkan teman tiba di Melaka pada jam 1.15pm.

Agak mendebarkan bila mana teman memandu menghampiri perkarangan Mydin MITC, kelihatan ratusan basikal tua sudah kemas berbaris. Teman ingat dah nak mula berarak. Panik jugalah dibuatnya dikhuatiri tak sempat nak himpun sekali. Mana taknya, alkisah teman nak cari parkir kereta lagi, alkisah nak pasang siap semula basikal lagi.

Mujur teman sempat. Malah jauh lebih sempat kerana pendaftaran berlanjutan hingga jam tiga. Bahkan ramai lagi rupanya yang datang lewat dari teman dan kesemuanya sempat berdaftar. Syabas. Memang begitu banyak sekali penyertaan sehingga mencecah 460 peserta kesemuanya.Tahniah. 

Coretan teman berhenti disini seketika. Sambungan kisah pengalaman akan teman kongsikan lagi pada esok hari. Maklumlah, menaip ni pun di pejabat dan pada waktu rehat tengah hari.  Masa agak kesuntukkan. Oleh itu nantikan susulannya pada esok hari. Tungguuuuu.