Wednesday, October 24, 2012

Istilah Basikal Antik, Basikal Klasik dan Basikal Tua


Apa khabar pelawat sekalian? Bagaimana kayuhan anda pada musim hujan ni? Semoga terus maju ke hadapan dengan kayuhan basikal masing-masing. Jangan belok jatuh tergolek pula. Selalunya waktu petang sebegini teman akan berada di luar rumah sambil mengayuh basikal tua mengelilingi taman. Tapi pada saat ini, hujan turun mencurah-curah membasahi muka bumi. Oleh itu teman mengambil sedikit waktu yang luang ini sekadar ingin berkongsi secubit ilmu tentang istilah-istilah basikal.

Secara umumnya, masyarakat Malaysia mengistilahkan kata nama untuk basikal tua kepada tiga istilah. Pertama basikal antik, kedua basikal klasik dan ketiga semestinya basikal tua. Inilah secara kebiasaannya digunapakaikan oleh masyarakat kita untuk melabelkan basikal masing-masing yang rata-rata berusia 40an ke 70an. Maka teman menanyakan pada diri sendiri, apakah yang membezakan istilah-istilah ini dari sudut perkataan makna yang rasmi? Dengan sedikit kerja rumah dan sekadar berkongsi ilmu, teman peroleh informasi terhadap definisi makna yang tepat dan agar kita tahu ayat mana bersesuaian digunakan lebih-lebih lagi dalam suasana formal atau rasmi.

Definisi untuk basikal antik:
  • Basikal yang lama atau berusia.
  • Bersifat jarang /sukar ditemui (rare).
  • Mempunyai faktor nilaian harga / mahal.
  • Basikal lebih kepada untuk simpanan, peragaan atau koleksi.
  • Tidak diguna-pakai atau dipraktik.
  • Contoh: anda mengunjungi sebuah kedai kopitiam yang memperagakan basikal tulin New Hudson keluaran England awal 50an sebagai sebahagian koleksi hiasan dalaman kedai tersebut. Maka ini sebagai contoh istilah untuk basikal antik.

Definisi untuk basikal klasik:
  • Basikal yang lama atau berusia.
  • Tidak semestinya bersifat jarang ditemui (rare).
  • Tidak disabitkan sebagai begitu berharga tetapi sekadar umum diketahui barang lama.
  • Berfungsi, diguna-pakai atau dipratikkan.
  • Basikal "klasik" ialah istilah umum untuk semua jenis basikal yang lama.
  • Contoh: Jika dikumpulkan bersama-sama basikal chopper, basikal penny-farthing dan basikal tua posman, maka boleh dihimpunkan dalam satu istilah iaitu "Itu adalah basikal-basikal klasik".

Definisi untuk basikal tua:
  • Nama khas untuk basikal-basikal yang umum dipakai oleh masyarakat Malaysia sejak awal 40an lagi yang rata-rata dibuat atau berasal dari negara England.
  • Basikal "tua" juga khusus secara kebiasaan bersaiz 28, 26, 24 serta berjenama seperti Raleigh, Robin Hood, BSA, Hercules, New Hudson, Triumph, Rudge, Humber dan lain-lain. 

Itulah sahaja coretan perkongsian ilmu yang tak seberapa ini. Perlu diingatkan bahawa ini sekadar panduan pengetahuan am untuk digunakan pada kesesuaian suasana formal atau rasmi sahaja. Jika ditanya pandangan teman, teman lebih cenderung untuk menggunakan istilah basikal "klasik". Alasannya mudah kerana teman suka akan lenggokan sebutannya yang tampak elegan. Terpulang pada citarasa masing-masing. Yang penting terus maju kayuh ke hadapan sambil memartabatkan kempen berbasikal klasik. Sehingga kita bersua lagi.