Monday, December 3, 2012

Pengalaman Kayuhan Santai Bandar DiRaja Klang

Tanggal 2 Disember 2012. Luangan hari minggu yang diisi dengan aktiviti yang sungguh menarik. Seperti para pengunjung budiman ketahui, hari ini adalah hari acara kayuhan santai basikal klasik ke Bandar DiRaja Klang. Acara yang dianjurkan oleh Port Swettenham Classic Bicycle telah berjalan dengan amat jayanya sekali. Sebagai kata utama dalam perenggan pertama ini, teman dedikasikan khas untuk pihak penganjur sama ada secara langsung atau tidak, dengan ucapan terima kasih serta tahniah diatas program julung kali yang begitu sempurna dan tiada cacat celanya.


Jam 8.10 pagi berlabuhnya teman di Pandamaran, Klang. Ketibaan teman ditegur sapa oleh sahabat-sahabat seperjuangan. Tidak lupa juga rakan-rakan baru yang mengecam atau mengenali teman terlebih dahulu menerusi laman blog ini. Sarapan ringan pun disediakan oleh pihak penganjur. Beralas juga perut teman walaupun tak sempat nak jamah sebelum berangkat ke mari. Sebagai permulaan aktiviti, sesi taklimat oleh penganjur dan ucapan kata-kata aluan disampaikan oleh yang dipertua MPK. Selanjutnya sesi yang sememangnya wajib dilakukan sebelum kayuhan bermula, iaitu sesi bergambar.



Maka bermulalah babak aksi kayuhan santai basikal klasik. Inilah acara kayuhan yang paling jauh pernah teman lakukan. Inilah juga acara berbasikal yang paling selamat, paling teratur, paling terancang dan paling sistematik pernah teman lalui. Dikawal oleh polis trafik sepanjang lalu lintas. Dipantau juga oleh pihak berkuasa MPK. Dibantu juga oleh ahli-ahli sukarelawan dari kelab penganjur. Memang tidak syak lagi. Sungguh santai kayuhan kami bersama rakan taulan. Sungguh bersahaja dan tenang kayuhan kami dengan lanskap dan struktur binaan yang indah lagi mengasyikkan.



Alkisah diringkaskan cerita, perjalanan berbasikal pergi dan balik berjalan dengan lancar dan selamat. Selesai sahaja acara konvoi berbasikal, sesi bebas, rehat sambil makan pun bermula. Pasti tidak syak lagi. Menu yang disajikan tidak lain dan tidak bukan - nasi lemak along sambal kayu api. Memang sedap. Sambil makan dan berbual-bual sesama para pencinta basikal klasik. Teman begitu teruja melihatkan setiap mirip wajah yang ada di sekeliling pada waktu itu. Ada yang telah berusia, ada yang sekecil peringkat sekolah rendah. Pelbagai perwatakkan yang teman lihat masing-masing selesa bercampur gaul antara satu sama lain.


Inilah semangat dan aura berbasikal klasik yang teman ingin lihat agar ia akan berpanjangan, berlanjutan dan berkonsisten di setiap pelusuk negeri. Beriringan dengan tema blog ini yang memberi sokongan penuh kepada kempen aktiviti berbasikal. Bertepatan juga dengan ideologi blog ini yang bukan saja menyokong gerakkan untuk berbasikal, malah berbasikal klasik berserta tingkah gaya yang penuh energi, berterampilan lagi berbudiman. Maka inilah sahaja laporan ringkas lagi tidak rasmi dari teman bagi acara ini. Moga kita berjumpa di acara kayuhan lain pula. Esok teman akan muat-turunkan video babak kayuhan pula. Tungguuuuuuuu.