Monday, July 21, 2014

Sketsa Jenaka Bulan Julai 2014


Teman tertanya-tanya pada diri sendiri, masih ramaikah lagi masyarakat umat islam yang bertandang ke masjid bagi mendirikan solat terawih? Ramaikah lagi warga umat islam yang konsisten dalam meraikan ibadah terawih di bulan Ramadhan yang berbaki kurang dari tujuh hari lagi? Kerana secara kelazimannya seolah-olah telah menjadi satu fenomena di penghujung Ramadhan ini berlakunya kemerosotan bilangan para jemaah baik di masjid mahupun di surau. Jika di awal ramadhan barisan saf penuh hingga ke luar ruangan dewan solat, kini hanya suku sahaja ruangan dewan solat yang digunakan. Selebih ruangan belakang tu ibarat boleh digunakan untuk bermain bola tampar. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan dan istiqomah dalam melaksanakan segala tuntutan-tuntuntan wajib mahupun sunat bertepatan dengan peranan kita sebagai seorang mukmin yang senantiasa mengharapkan pengampunan dan rahmat dari Allah s.w.t. Ameen. InsyaAllah. 

Sehubungan itu teman kongsikan di sini sketsa jenaka bagi edisi bulan Julai 2014. Pelbagai sinopsis atau rangkuman yang boleh kita ketengahkan mengenai rumusan jalan cerita gambar tersebut. Teman yakin dari mata-mata yang melihat akan gambar tersebut dapat merumuskannya berdasarkan faktor kuasa ekonomi yang semakin mencabar atau kekangan bajet yang mengakibatkan peralihan dari penggunaan kereta kepada basikal. Tetapi lain pula sisip pandangan teman terhadap sketsa ini. Peranannya lebih kepada praktikalitinya di dalam bulan puasa ini. Teman kaitkan peralihan aplikasi menggunakan kereta kepada basikal bersesuaian dengan rasional memanfaatkannya berdasarkan aktiviti harian kita di sepanjang bulan puasa.

Umpamanya apa kata anda beralih dari memandu kereta kepada mengayuh basikal taktala hendak ke masjid bagi menunaikan solat terawih, bertadarus, beriktikaf dan sewaktu dengannya. Ataupun misalan lain pula jika sebelum ini anda menaiki kereta untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar, pasar, kedai runcit dan seangkatan dengannya, apa kata anda beralih menggunakan basikal pula. Ternyata dengan peralihan kepada mengayuh basikal sudah pasti tidak akan timbul isu kerumitan mencari ruang parkir, tempat letak kenderaan yang terhad, kesesakkan lalu lintas dan sebagainya. Secara tidak langsung badan anda juga akan jadi lebih cergas dan setidaknya dapat juga menjimatkan belanja bahan api petrol serta boleh melanjutkan tempoh kos penyelenggaraan kenderaan anda. Hasilnya anda akan tampak lebih segak, cerdas dan kurang papa menjelang hari raya. Ya, teman mempelawa anda semua untuk mencuba pendekatan ini. Marilah kita berbasikal. Ayuh gantungkan kenderaan anda buat seketika. Bukakanlah kunci basikal anda dan nikmatilah gaya hidup sihat dengan berbasikal.