Sunday, July 27, 2014

Perutusan Aidilfitri




Bulan Ramadhan telah pun berlabuh dan menutup tirainya. Sebulan berpuasa. Bukan setakat menahan lapar dan dahaga. Malah mengekang dan menahan hawa nafsu dari pelbagai macam ragam perkara yang bersifat lagha. Teman berharap kita semua menperoleh kejayaan (dalam erti kata mengecapi keimanan dan ketakwaan yang sebenarnya) dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Semoga semua amalan yang kita laksanakan sepanjang berada di dalam madrasah Ramadhan ini diredhai oleh-Nya. Maka kini tiba waktunya. Setahun menghilang, sekarang menjelang. Masa untuk kita menyelak tabir bulan Syawal yang datang bertandang mengunjungi umat islam untuk tempoh tiga puluh hari berikutnya. Mood sambutan raya Aidilfitri semakin terasa bahangnya. Lagu-lagu raya berkemundang di sana sini. Lebuhraya sesak dan padat dibanjiri kenderaan yang berpusu-pusu balik kampung. Inilah hari yang dipenuhi dengan suasana riang ria. Hari yang patut kita sambut dan rai dengan rasa penuh kesyukuran tak terhingga. 

Waktu terus berlalu, lembaran demi lembaran telah dilalui. Coretan demi coretan telah dipenuhi. Kadang tak bererti, kadang tanpa makna, atau mungkin kadang memualkan. Dikesempatan ini Budiman Berbasikal Klasik ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam muslimin muslimat dan mukminin mukminat sekalian. Sebelum takbir berkumandang, sebelum ajal menjemput, sebelum jaringan internet tergendala, terimalah kemaafan dari teman buat para pengunjung sekalian. Kepada mereka yang mengenali diri teman yang serba daif ini, maaf dan ampun dipinta kiranya terdapat apa jua kekhilafan baik secara langsung mahupun tidak, baik disedari mahupun tidak. Tak selalunya mata ini memandang dengan ramah, hati menilai dengan jernih dan mulut berbicara dengan santun. Oleh itu sepuluh jari teman hulurkan dengan ingatan maaf zahir dan batin. Sambutlah hari kemenangan ini dengan penuh bahagia dan syukur disamping keluarga tercinta. Ingatlah, dalam kita bersuka ria, pasti ada di luar sana yang berduka dan kurang bernasib baik. Semoga diberkati.