Friday, July 4, 2014

Kuih Idaman Seorang Budiman

Berbasikal ke bazar membawa raga,
Mencari kuih idaman si jejaka,
Hijau, kuning, putih, merah saga,
Pelbagai aneka juadah ada belaka.
"Kuih kuih, mari abang, mari kakak, mari adik. Singgah sebentar. Macam-macam kuih yang ada. Haaaa mari singgah tengok-tengok dulu pun boleh. Lima, dua Ringgit." Begitulah laungan bait-bait kata yang sering kedengaran taktala bersiar dan menyusuri gerai-gerai di bazar sempena bulan puasa ini. Saban tahun begitulah kata-kata yang dilontarkan oleh para peniaga terutamanya yang menjual kuih muih. Lebih kurang sama sahaja ayat yang digunakan untuk menarik perhatian dan memikat pengunjung-pengunjung ke gerai mereka. Tetapi ada beberapa ungkapan atau potongan ayat di atas yang dulunya lebih selesa dan tenang bila didengari berbanding pada masa sekarang. Ungkapan ayat tersebut ialah "lima, dua Ringgit". Berbanding selang tiga ke empat tahun lepas pula ialah "empat, seRinggit". Jauh lebih baik selang dua ke tiga tahun terkemudian lagi dengan ayatnya lebih mesra pengguna iaitu "lima, seRinggit". 

Begitulah lumrahnya. Kenyataan yang tidak dapat dinafikan dalam menerokai dunia ekonomi kuih-muih. Lima biji, ketul, kepingan atau potongan kuih pada abad ini telah diwartakan secara umumnya berharga dua Ringgit. Bagaimana pendapat anda? Murah? Mahal? Berpatutan? Jika cempedak madu goreng dilabelkan dengan harga dua Ringgit untuk lima ketul, ya itu mungkin berbaloi. Tetapi jika lima ketul cekodok pisang yang besarnya pun tidak sampai diameter duit syiling lima puluh sen, maka pada pengamatan teman itu tidak berbaloi dan setimpal dengan harga dua ringgit. Harga kuih bukanlah apa yang ingin teman nukilkan buat saat ini. Tetapi lebih bersangkut paut dengan jenis kuih yang digemari oleh teman sejak berkurun lamanya. Hanya satu sahaja pilihan kuih yang menjadi idaman sanubari teman. Tiada dua mahupun yang ketiga. Satu jenis sahaja. Kuih yang namanya begitu unik sekali. Sehingga ke saat ini teman masih terpinga-pinga bagaimanakah kuih kegemaran teman ini boleh dikaitkan dengan nama binatang yang begitu gah dan perkasa sekali. Itulah dia Badak Berendam, kuih kesukaan teman.

Satu-satunya gerai di mukin teman yang menjual kuih idaman sanubari. Lumayan sungguh persembahannya.
Taktala apabila dihidangkan ke dalam sebuah mangkuk. Terserlah kekenyalannya. Terpampang keenakkannya beserta kuahnya yang pekat gebu lagi bercahaya pancaran serinya.

Ternyata kuih ini teman boleh ketegorikan sebagai kuih yang terancam kepupusannya. Manakan tidaknya purata dalam 15 gerai kuih-muih, hanya satu sahaja yang menyediakan sajian ini. Ataupun purata dalam 4 bazar Ramadhan yang utama atau besar, hanya satu bazar sahaja yang ada gerai menjual kuih ini. Nasib baiklah bazar di taman perumahan teman masih ada satu-satunya gerai yang menjual kuih ini. Terima kasihlah kepada makcik pemilik gerai tersebut yang sudi menyajikan kuih kegemaran teman ini. Jika tidak memang kempunanlah teman ingin menikmatinya sepanjang bulan puasa. Teman siap ambil nombor telefon makcik itu sekiranya ingin buat tempahan di lain musim atau mungkin tidak terjumpa lagi dengan gerainya, maka senanglah teman untuk mencarinya. Alangkah girangnya hati jika gerai makcik itu berada di sebelah rumah teman. Alamatnya memang setiap harilah teman berendam dengan Badak Berendam. Begitulah sedikit celoteh dari papan minda ke lensa komputer. Jumpa lagi di lain waktu. Sekian.


No comments:

Post a Comment