Sunday, November 3, 2013

Sketsa Jenaka Bulan November 2013

Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya memyelak tirai seluas-luasnya bagi meraikan edisi bulan November 2013. Sebagai mukadimah bagi rencana yang pertama ini, teman perkongsikan sketsa jenaka seperti yang dimuat-turunkan. Gambar di atas sekadar analogi kepada keadaan suasana semasa bukan setakat menyelubungi di tanah air kita malah di serata pelusuk dunia. Ia semata-mata hanya paparan metafora sahaja terhadap situasi berkenaan. Tidak dinafikan kuasa pembelian wang makin hari makin kurang daya kuasanya. Diantara impaknya yang begitu terasa ialah kenaikan harga petrol. Ia boleh diibaratkan seperti penyakit demam campak. Sekali naik, segala rangkaian yang berkaitan dengannya mahupun tidak akan turut sama naik. Walaupun kapasiti wang belanja atau duit saku menurun, kita masih mempunyai seribu satu cara untuk menangani atau setidak-tidaknya mengimbangi kondisi tersebut.

Ingatlah bahawasanya kita masih mempunyai potensi akal dan daya upaya untuk melakukan yang terbaik. Bertepatan, selaras lagi sejajar dengan objektif blog ini ditubuhkan, marilah kita amalkan budaya berbasikal secara aktif dan konsisten. Jika sebelum ini kita menaiki kenderaan berpetrol untuk ke kedai runcit, pergi masjid atau surau, hantar anak sekolah atau tusyen dan sewaktu dengannya. Mungkin jarak untuk setiap destinasi tersebut kurang lebih 500 meter ke 1500 meter. Maka secara teorinya masih sesuai dan berpatutan untuk berbasikal. Pokok sifirnya mudah sahaja, berbasikal lah sepraktikal dan semanfaatnya yang mungkin tidak kira apa jua jenis basikal yang digunakan. Klasik, moden, terkini mahupun yang kompleks.

Oleh itu, pengisian bagi bulan ini akan mengetengahkan kepelbagaian topik yang akan menyentuh aspek keselamatan berkaitan basikal. Dikesempatan ini juga teman ingin mengucapkan salam maal hijrah dan selamat maju jaya kepada mereka yang akan menjalani peperiksaan SPM. Sekian.