Tuesday, November 26, 2013

"Jajan" Aksesori Basikal Di Sana Sini


Pada kebelakangan ini, teman ada melakukan sedikit pembelian aksesori basikal klasik. Akan tetapi teman tidak kesempatan untuk menceritakannya di dalam blog ini.  Seperti yang dipaparkan pada gambar di atas, aksesori tersebut merupakan sebuah beg Brooks, loceng Raleigh, pam tangan dan pelekat jenama Raleigh. Kesemua aksesori ini telah diperolehi menerusi dari laman niaga Ebay. Teman akan coretkan secara ringkas akan perihal barang-barang ini sekadar perkongsian kita bersama.

Beg Brooks ini merupakan pembelian yang paling bernilai sekali jika dibandingkan dengan pembelian yang lain. Sekian lama mengidam akhirnya diperolehi juga. Saiz muatannya yang memenuhi citarasa teman untuk digunakan ketika aktiviti berbasikal klasik. Sekadar mengisi keperluan gajet media seperti kamera digital, lensa, bateri sampingan, telefon bimbit dan sebagainya lebih-lebih lagi ketika acara kayuhan rasmi.

Loceng Raleigh Industries pula merupakan pembelian yang paling "rare" atau sukar didapati diantara pembelian yang lain. Nasib menyebelahi teman kerana terserempak dengan iklan loceng ini pada minit-minit terakhir sebelum bidaannya tamat tempoh. Dengan adanya loceng ini dapat juga menyempurnakan aksesori tambahan untuk spesifikasi basikal All Chrome Raleigh teman. Secara tidak langsung melengkapkan lagi ciri-ciri ketulenan pada basikal tersebut.

Pam tangan dan pelekat basikal jenama Raleigh merupakan pembelian yang terkini dan termurah jika dibandingkan dengan kedua-dua aksesori di atas. Memang telah lama teman impikan pam tangan berwarna krom dan berukuran pendek. Geledah punya geledah, hasilnya berbaloi juga pencarian di laman Ebay kerana dapat jumpa pam ini yang masih dalam keadaan baru tetapi stok lama "new old stock". Manakala pelekat basikal pula adalah untuk projek sampingan. Ia sekadar projek pemulihan basikal secara kecilan sahaja. Jangan khuatir. Projek ini akan didedahkan kisahnya tidak lama lagi. Tungguuuuu.