Saturday, November 23, 2013

Operasi G dan K

Sejak kebelakangan ni agak jarang kita hendak menemui terikan cahaya matahari terutamanya pada waktu petang. Saban hari hujan turun membasahi bumi. Kadang-kadang mendung saja menyelubungi langit. Al maklumlah musim hujan telah ditakdirkan fasa waktunya pada setiap hujung tahun di bumi Malaysia yang bertuah ini. Tetapi pada hari ini di kawasan Puchong lain pula iklimnya. Sepanjang hari hingga ke petang matahari memancarkan cahayanya dengan penuh potensi tanpa ada apa-apa halangan dari gugusan-gugusan awan. Menandakan cuaca panas terik mengambil alih pada hari ini.

Justeru itu teman mengambil kesempatan ini dengan melaksanakan operasi "GK". Bukan operasi menjadi goalkeeper ye. Tetapi operasi gilap dan kilat basikal klasik. Tiada apa sangat yang dapat teman mengulas lanjut tentang operasi tersebut. Sekadar menggosok dan mengelap dengan menggunakan ramuan-ramuan jamu tertentu bagi menaikkan lagi serinya. Mudah-mudahan akan kekal berpanjangan tampak muda dan kacak memikat. Agak lama juga koleksi basikal teman tidak dibelai dan dimanjai. Dikhuatiri merajuk pula nanti. Bahaya jikalau basikal-basikal ni merajuk. Memujuknya bukan sebarang pujukan. Hanya dari transaksi EBAY saja yang dapat menceriakan mereka kembali. =D

Sekadar itu celoteh ringkas buat tatapan umum di hujung minggu. Sekian.