Sunday, November 17, 2013

Mengurangkan Risiko Kecurian Basikal

Kes kehilangan atau kecurian basikal acap kali didengari dengan purata hampir sekali dalam tiga bulan. Rata-rata kecurian tersebut melibatkan bahagian atau aksesori basikal seperti tempat duduk, roda, dan lampu. Lebih tragis lagi sekiranya keseluruhan basikal tersebut dicuri. Bak kata orang, habuk pun tiada. Mungkin sepuluh tahun lepas kaedah penggunaan kekunci berbentuk U sudah memadai. Tetapi atas beberapa faktor luaran dan mungkin pengaruh negatif yang mudah terkesan pada zaman "just a click away" ini, menyebabkan ciri-ciri kekunci pengangkutan beroda dua digodam dan dirobek dengan begitu mudah sekali.

Disini teman sekadar ingin berkongsikan secara ringkas tentang ilmu yang rata-rata sudah diketahui umum iaitu kaedah-kaedah yang berkesan untuk melindungi basikal anda daripada dicuri. Maklumlah hari minggu yang agak lapang waktunya ini, setidak-tidaknya terluang juga untuk dimanfaatkan bersama rakan taulan. Tips ini tidaklah menjaminkan 100% akan keberkesanannya. Ia setidaknya mungkin boleh mengurangkan risiko daripada dicuri serta memperingatkan kita agar sentiasa peka dan berhati-hati bersama basikal yang tercinta.

  • Jangan menguncikan basikal anda pada bahagian basikal yang mudah pasang dan tekap "plug and play". Misalannya menggunakan kekunci basikal pada bahagian roda atau tempat duduk belakang kerana bahagian tersebut mudah dileraikan.
  • Jangan biarkan basikal anda (walaupun dikunci) pada tempat yang sunyi, gelap apatah lagi jika tempat itu umum diketahui berisiko tinggi. Ibarat pepatah air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
  • Jangan kunci basikal anda pada objek yang mudah dilerai, dipisah atau diangkut sekali. Sebagai contohnya  mengunci basikal pada batang tiang tanda jalan atau pokok kecil.

  • Disyorkan sebaik-baiknya pasanglah lebih dari satu kekunci pada basikal anda. Laburkan sedikit duit dengan membeli sekurang-kurangnya dua jenis kekunci yang berkualiti tinggi. Dicadangkan juga agar anda dapatkan dua kekunci yang mempunyai mekanisma kunci yang berbeza diantara satu sama lain. Misalannya satu menggunakan kombinasi nombor rambang dan satu lagi menggunakan kunci biasa.
  • Disyorkan kunci basikal anda pada lokasi yang terang, tidak sunyi dan menjadi tempat tumpuan orang ramai lalu-lalang. Jika ada balai polis yang berdekatan, letakkan saja basikal anda di tepi pintu masuk pejabat polis tersebut. Anda pasti akan mencapai tahap ketenangan yang tinggi.
  • Disyorkan jika anda menguncikan basikal pada objek lain, pastikan objek tersebut kukuh, sukar diceraikan dan tidak mudah dialihkan. Contohnya mengunci pada batang tiang telekom atau pada pokok durian yang telah berusia 15 tahun.
Pokok pangkalnya, biasakan amalan mengunci basikal anda walaupun sekadar 60 saat memasuki kedai runcit untuk membeli surat khabar. Ingatlah, hanya 15 saat sahaja diperlukan untuk mengunci basikal anda. Tempoh 15 saat inilah yang membezakan kebahagiaan anda bersama basikal atau kesengsaraan yang memakan masa beberapa hari mengenangkan nasib malang anda kehilangan basikal. Rasanya tak rugi mana pun jika dapat dikorbankan sedikit wang, daya upaya dan kretiviti demi kesejahteraan basikal-basikal kita yang tercinta. Tak gitu kawan-kawan? Sekian.;)

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.