Thursday, January 16, 2014

Pengalaman Menyertai Acara Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H

Salam ceria semua. Al kisah selesai sudah majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah yang telah diadakan di Putrajaya pada 14 Januari yang lalu. Seramai 100 pemilik basikal klasik telah menyahut undangan untuk menyertai perarakan ini. Perjalanan sepanjang program bagi kumpulan basikal klasik yang diseliakan oleh Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka (KBTBB) telah berjalan dengan teratur dan begitu rapi sekali. Terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis yang penuh barakah ini.

Masjid Tuanku Mizan atau lebih sinonim dengan gelaran Masjid Besi menjadi lokasi bagi para peserta basikal klasik untuk bersiap sedia dan berkumpul. Ini merupakan kali kedua teman berpeluang untuk melaksanakan solat Subuh berjemaah di Masjid Besi yang indah kukuh berstrukturkan ramuan besi dan berkonsepkan ruangan terbuka. Suasana dingin di awal pagi yang biasanya tenang bertukar menjadi meriah apabila dapat berjumpa semula dengan rakan taulan seperjuangan. Kehadiran rakan taulan dari Melaka, Negeri Sembilan, Banting, Klang dan sekitar Lembah Klang pasti membuak-buakkan perasaan teruja dan seronok. Ada yang sudah biasa bertemu. Ada juga sahabat handai yang baru pertama kali kenal dan bersua. Begitulah nikmatnya hobi berbasikal klasik ini. Disamping memartabatkan khazanah basikal klasik di peringkat kebangsaan, dapat juga mengeratkan tali persaudaraan dan menambahkan lagi kenalan baru.

Lokasi tapak perarakan yang disediakan adalah sama seperti tahun sebelumnya. Para delegasi ditempatkan di jalan utama berhadapan dengan bangunan mahkamah Putrajaya. Dikhabarkan perarakan pada tahun ini telah disertai lebih 13000 peserta yang merangkumi 151 kontinjen dari pelbagai agensi. Seperti kebiasaan, kumpulan basikal klasik telah mendapat tumpuan utama dari kontinjen lain dan diberi perhatian istimewa dari wakil-wakil media. Belum pun sempat perarakan bermula, kami telah pun menerima kunjungan dari tetamu-tetamu kehormat serta para wartawan. Teman fikirkan kilat sambung menyambung di langit tanda isyarat hendak hujan, rupa-rupanya pancaran lampu dari kamera para wartawan. Perarakan dirasmikan oleh yang berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Setelah menyampaikan ucapan ringkas lantas bermulalah perarakan sekitar jam 7.45 pagi. Maka bergemalah bait-bait selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W di pagi yang indah itu dengan jarak perjalanan berarak menuju ke Masjid Putra adalah sejauh 1.7 kilometer.

Setibanya di perkarangan masjid putra, para peserta basikal klasik menempatkan basikal masing-masing di Dataran Putra yang berlatar belakangkan masjid tersebut. Jika Masjid Tuanku Mizan dikenali dengan masjid besi, Masjid Putra pula lebih sinonim dengan panggilan masjid terapung kerana masjid ini berkedudukan betul-betul di tepi tasik Putrajaya dan sebahagian besar kawasan masjid ini dikelilingi oleh tasik tersebut. Tidak sah jika telah berkumpul ramai-ramai apatah lagi di lokasi pemandangan yang indah kalau tidak diambil gambar. Begitulah gelagat sahabat handai yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan pelbagai aksi, sudut dan ragam untuk dijadikan kenangan. Dikesempatan itu juga, ramai orang awam dari kontinjen lain mengunjungi kumpulan basikal klasik untuk melihat lebih dekat akan pengangkutan beroda dua itu. Bersilih ganti orang ramai bertandang termasuk para wartawan yang tidak melepaskan peluang untuk merencanakan kami. Ada yang sekadar ingin mendapatkan maklmat tentang basikal, bergambar bersama basikal malah ada juga yang ingin merasai pengalaman mengayuh basikal tua.

Setelah meluangkan masa hampir separuh hari di dataran dengan pelbagai aktiviti santai, kami pun berangkat pulang dengan hati riang gembira. Sekadar itulah sahaja nukilan ringkas yang sempat dikongsikan bersama. Satu lagi episod yang berkesudahan dengan penuh gaya dan gilang gemilang. Dari tahun ke tahun perkembangan dunia basikal klasik telah berkembang maju dan mendapat pengiktirafan yang tinggi dari pelbagai pihak. Ini merupakan perkembangan yang sihat bukan sahaja terhadap intipati basikal klasik malah kepada pemilik-pemilik basikal itu sendiri. Semoga impak positif yang diterima ini dapat ditunas seterusnya bersemi ke dalam nilai keintiman persahabatan yang terpaut menerusi hobi berbasikal klasik ini. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Begitulah tingginya ukuran keakraban yang terjalin menerusi penyertaan dari acara ke acara yang disertai. Besar sungguh harapan Budiman Berbasikal Klasik agar medan hobi ini menjadi platfom kepada wujudnya gagasan ukhuwah yang saling bantu membantu, sokong menyokong dan pada masa yang sama melestarikan basikal klasik ke persada dunia. Akhir kalam, salam Maulidur Rasul. Semoga kehidupan kita senantiasa diteladani dan berpandukan sunnah Rasulullah S.A.W. Ameen.

Bersama kumpulan Northport yang sentiasa bersemangat. Gambar sebelum perarakan bermula.
Ucapan perasmian oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebelum perarakan dilepaskan.
Semasa perarakan bermula. Mengayuh basikal secara santai sambil berselawat.
Di pertengahan perjalanan menuju Masjid Putra. Bersaing bersama atuk Anuar Abu dari Negeri Sembilan.
Dari kanan dengan nama samaran di Facebook: Ujang, Adi, Ajis dan Kuda Kayu. Setibanya di Dataran Putra.

Adegan bersahaja yang disyaratkan oleh wartawan untuk dipaparkan dalam berita Utusan.
Bergambar bersama kesemua peserta basikal klasik yang berlatarbelakangkan Masjid Putra.

Tiga jejaka idaman beserta basikal kesayangan dari Negeri Sembilan, Puchong dan Banting.
Gambar kenangan bersama saudara Ajis dan Ujang dengan pemandangan tasik sebelum beransur pulang.
Gambar untuk dijadikan kenangan  istimewa yang diambil oleh saudara Najib (Ken Watanabe).