Thursday, January 2, 2014

Menutup Tirai 2013. Membuka Lembaran Baru Tahun 2014

Blog Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya merasmikan pembukaan lembaran baru bagi tahun 2014. Terima kasih diatas sokongan dan kunjungan anda ke laman yang tidak seberapa ini. Kepada para pengunjung yang baru sahaja mengenali atau terserempak ke laman ini lalu terpinga-pinga maksud blog ini dikongsikan, maka berikut adalah jawapannya. Blog yang berunsurkan gaya tema santai (free and easy) ini ialah untuk menjadi perantaraan rencana dan liputan serba-serbi mengenai aktiviti riadah berbasikal klasik. Menghimpunkan nukilan-nukilan berdasarkan dari kaca mata pengalaman peribadi dalam menceburi dunia hobi berbasikal klasik. Pendek kata ibarat sebuah diari maya yang khusus berkongsikan topik basikal klasik secara santai dari perspektif buah pena seorang budiman.

Secara kesimpulannya, kronologi Budiman Berbasikal Klasik disepanjang tahun 2013 telah berlayar dengan penuh harmonis lagi teratur. Boleh dikatakan segala objektif dan misi yang dirancangkan pada tahun lepas telah sempurna dikecapi:
  • Hasrat untuk mengekalkan sekurang-kurangnya enam pengisian artikel untuk setiap bulan secara puratanya boleh dikatakan 95% terlaksana. 
  • Impian untuk menyahut penglibatan bagi setiap undangan acara berbasikal berbentuk rasmi atau kecilan secara keseluruhannya 90% tercapai.

Untuk pengetahuan umum, blog ini akan mengekalkan susunan komposisi dan format pengisian yang sedia ada seperti pada tahun 2013. Sekadar sekilas pandang, berikut adalah agihan sasaran topik berdasarkan pengisian yang dikaryakan.
  1. Aktiviti Berbasikal Klasik:- Nukilan aktiviti harian berbasikal secara riadah mahupun rasmi.
  2. Kempen Berbasikal Klasik:- Nukilan umum atau am yang melibatkan seruan/galakan berbasikal.
  3. Video Acara Kayuhan:- Rakaman klip video dari aktiviti acara berbasikal yang disertai.
  4. Projek Restorasi:- Nukilan tentang baik pulih, naik tarak dan penambahan aksesori basikal.
  5. Pilihan Bulanan: Jenaka Sketsa Berbasikal:- Sketsa atau komik jenaka berkaitan basikal.
  6. Pilihan Bulanan: Foto:- Paparan gambar terbaik bersama basikal bagi setiap bulan.

Begitulah sedikit sebanyak kata-kata pendahuluan blog Budiman Berbasikal Klasik sempena memulakan risalah pertama bagi tahun 2014. Diharapkan segala pengisian untuk tahun 2014 ini akan menjadi lebih bermanfaat serta terhibur hendaknya. Teruskan usaha anda semua dalam mengabadikan hobi berbasikal klasik. Selamat berkayuh dan salam tahun baru 2014.

No comments:

Post a Comment