Monday, January 13, 2014

Kempen Menyokong Kayuhan Sempena Majlis Maulidur Rasul 1435H


Sumber Lembaran poster ehsan dari Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka
Alhamdulillah. Program untuk tahun 2014 telah pun membuka tirainya. Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya menyokong sekaligus akan menyertai acara kayuhan perarakan sempena Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah. Ia merupakan kali kedua berturut-turut Budiman Berbasikal Klasik mengikuti perarakan ini semenjak penyertaan pertamanya pada awal tahun 2013. Seperti tahun sebelumnya, perarakan ini akan bermula berhampiran dataran Masjid Tuanku Mizan dan berarak menuju ke Masjid Putra, Putrajaya. Pelbagai delegasi merangkumi badan kementerian kerajaan, badan berkanun serta agensi-agensi lain yang akan turut serta dalam perarakan tersebut. Kumpulan delegasi basikal klasik akan diseliakan di bawah kendalian Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka (KBTBB). Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Marilah kita berkayuh di atas basikal berestetika klasik sambil berselawat memuji junjungan besar Rasulullah S.A.W. Jangan lupa berpakaian baju melayu lengkap bersama sampin dan songkok. Semoga permulaan acara sulung ini akan mendapat keberkatan bagi kelangsungan acara-acara seterusnya sepanjang tahun 2014. InsyaAllah.