Monday, December 9, 2013

Pengalaman Kayuhan Pantai Morib - Bahagian 2

(Sambungan dari artikel sebelumnya. Para pengunjung yang pertama kali melawat, sila baca bahagian satu untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.)

Maka hari acara yang dinantikan telah pun tiba. Seawal jam 7 pagi para peserta berduyun-duyun tiba di perkarangan dataran. Seramai hampir 400 orang telah berjaya dikumpulkan untuk mengikuti acara ini. Salah satu penyertaan kelab teramai adalah dari Kelab Sepeda Klasik Kinta iaitu seramai 42 orang diikuti dengan Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis seramai 30 lebih penyertaan. Seperti biasa mata ini merewang-rewang melihatkan kepelbagaian busana-busana yang diperagakan oleh para peserta. Ada berpakaian seperti Leftenan Adnan, Sarjan Jamil, James W.W. Birch, tok sidang, penghantar surat (posman) dan macam-macam lagi. Tapi yang paling menarik perhatian awam adalah sepasang keluarga yang berpakaian sedondon bercorakan bendera Malaysia serta seorang lagi memperagakan pakaian pengawal istana England. Dari jauh tersergam indah topi tingginya ibarat sarang burung belatuk. Setelah bersarapan pagi secara ringan yang telah disediakan oleh tuan rumah, para peserta diberikan sesi aktiviti memanaskan badan yang didemonstrasikan oleh wakil dari Kelab Sepeda Klasik Kinta.

Jarak perjalanan kayuhan adalah sekitar 20 ke 25 kilometer. Setakat ini, ia merupakan sesi kayuhan basikal klasik yang paling jauh pernah teman ikuti. Bahkan mungkin terjauh pernah dibuat dalam mana-mana acara rasmi berbasikal klasik. Agak mencabar. Kepenatan itu sudah pasti. Tapi memang tidak syak lagi seperti dari acara-acara terdahulu iaitu berkayuh secara kumpulan yang ramai membuatkan penat lelah itu kurang dirasai. Mujur juga sepanjang perjalanan tiada jalan berbukit. 100% landai dan mendatar. Pejabat Majlis Daerah Kuala Langat yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari dataran merupakan tempat persinggahan para peserta untuk melepaskan penat lelah dan membasahkan tekak. Dikesempatan itu sesi bergambar juga turut diadakan bersama rakan taulan di perkarangan pejabat tersebut. Bertitik tolak dari situ merupakan cabaran agak getir buat diri teman. Terutamanya sekitar baki 4 kilometer terakhir. Ntah dimana silapnya, kaki dan pinggul acap kali terasa lenguh dan kebas. Teman tidak dapat membayangkan bagaimana anak-anak muda dari Kelab basikal Klasik Jalan Khamis berkayuh basikal dari Meru Klang terus ke Pantai Morib Banting. Perjalanan yang diambil oleh mereka untuk destinasi tersebut memakan masa tiga jam lebih. Penghormatan tertinggi teman berikan kepada mereka. Semangat dan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi hobi tercinta.


Alhamdulillah sampai juga ke destinasi dataran. Masing-masing kepenatan tetapi puas dan lega kerana dapat menamatkan kayuhan. Seketika kemudian acara dimeriahkan lagi dengan kedatangan tetamu terhormat diantaranya Adun Morib yang turut memberikan ucapan sepatah dua kata. Disamping itu pelbagai pertandingan turut diadakan. Tak disangka-sangka. Rezeki teman pada hari itu kerana terpilih dalam salah satu ketegori yang dipertandingkan. Syukur. Kelangsungan acara ini diteruskan dengan sesi makan tengah  hari, cabutan bertuah dan santai beristirehat di dataran Morib hinggalah tamat acaranya sekitar jam dua tengah hari. Begitulah sedikit sebanyak apa yang teman dapat tangkapkan dalam bingkisan memori lantas terus menaip ke papan kekunci berkongsikan pengalaman sepanjang melalui acara tersebut. Sekali lagi Terima kasih kepada tuan rumah dan pihak penganjur kerana telah memanfaatkan masa dan tenaga kami dengan aktiviti riadah yang begitu istimewa dan gemilang. Kenangan manis yang cukup sesuai bagi menutupi tirai tahun 2013.