Thursday, December 26, 2013

Pengalaman Acara Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013

Gamatnya sungguh dunia basikal tua
Bila sahabat handai turun beraksi
Acara MBPJ sentiasa dikenang jua
Kayuhan sihat lagi meningkatkan prestasi


Hujan, basah, sejuk, penantian. Antara kalimat-kalimat ayat yang menghiasi program pada minggu yang lalu. Acara kayuhan Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013 telah pun tamat dengan penuh gilang gemilang. Budiman Berbasikal Klasik ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya melalui saudara Salimey, Din, Yus dan Yong (Maaf kerana tidak kesempatan untuk mendapatkan nama penuh) kerana memberi peluang dan ruang kepada pencinta basikal klasik dengan menjadi sebahagian besar daripada aturcara festival tersebut. Juga tidak dilupakan kepada Basikal Melaka menerusi saudara Ikhwan Ibrahim, Sanim Othman, Jebat serta rakan-rakan seperjuangan diatas penggerak atau dalang yang menghubungkan kami terus kepada acara ini. Penghargaan tak terhingga teman berikan kepada mereka semua.



Perjalanan teman untuk acara ini boleh dikatakan agak kelam kabut sedikit. Ini kerana pada pagi tersebut ada urusan penyelenggaraan rumah yang perlu diselesaikan. Teman yakin 100% menyangkakan tidak sempat mengikuti acara kayuhan yang berlangsung jam 12 tengah hari memandangkan urusan rumah hanya selesai sekitar jam 11.15 pagi. Manakan tidaknya, hanya tinggal 40 minit untuk meredah kesesakan lalu lintas, mencari tempat letak kenderaan, menyiapkan basikal, mengemasi busana dan sebagainya. Alhamdulillah, perjalanan teman dipermudahkan. Aliran trafik yang lancar membolehkan teman sampai ke lokasi acara 10 minit sebelum kayuhan bermula. Terima kasih kepada Master Raleigh (abang Aznor Hasan) kerana telah memberikan informasi tentang laluan yang patut diikuti memandangkan ada jalan-jalan di sekitar tapak acara yang telah tutup.



Gembira rasanya dapat bersua kembali dengan rakan-rakan seperjuangan. Walaupun baru dua minggu sudah kami berjuang di Dataran Morib. Terutamanya kak Aida Azizan sekeluarga yang telah hampir setengah tahun tidak bertemu. Dari segi buasana pula ada yang selesa mengekalkan gaya busana yang telah sedia ada seperti polis Malaya era 50an, J W W Birch, posman, tentera Jepun, tentera German dan pengawal istana England . Hanya seorang individu (yang secara peripadi) teman perasan begitu menonjol dari khalayak ramai kerana berani menampilkan fesyen baru iaitu busana tradisi pakaian kaum jawa. Dari jauh segak hitam menawan, bersampulkan kain batik cerah memikat, berselitkan keris kayu tompol berteka-tekikan keajaibannya. Itulah saudara kita Mohamad Ajis. Penyertaan sesi kayuhan pada tengah hari tersebut adalah sekitar 150 pengayuh. Ia merupakan sejarah yang mungkin belum pernah diciptakan bilamana sebahagian besar lebuhraya NPE (New Pantai Expressway) digunakan sebagai laluan berbasikal klasik. Jalan yang digunakan adalah dari Dewan Sivik Petaling Jaya, menyusuri masuk ke NPE, melewati sekitar Taman Datuk Harun, melintasi Desa Mentari dan seterusnya berpatah balik ke Dewan Sivik. Jarak kayuhan ini dianggarkan sekitar 15 - 17 kilometer. Kurang beberapa kilometer sahaja dari kayuhan di Morib. Suasana kayuhan secara ringkasnya agak mencabar. Jika anda biasa dengan aliran trafik di sekitar Petaling Jaya, anda mungkin dapat membayangkannya. Al maklumlah ragam dan tabiat di Lembah Klang, semuanya cepat, laju dan pantas ibarat ikan di laut, lada garam sudah di sengkalan. Pun begitu, kawalan rapi dari pegawai-pegawai MBPJ dan polis trafik pada sepanjang kayuhan telah menjaminkan kayuhan tersebut dalam keadaan selamat. selesa dan santai. Seperkara lagi, tentu anda semua tertanya-tanya tidakkah panas terik membara lagi membakarkan kerana sesi kayuhan diadakan sekitar jam 12  hingga 2 tengah hari. Itulah yang dirisaukan oleh para peserta pada awalnya. Tetapi berkat doa rakan taulan, sepanjang babak kayuhan kami dianugerahkan dengan payungan awan yang mendung lagi redup.  Tak percaya, anda boleh saksikan videonya di waktu terdekat nanti. 



Untuk pengetahuan umum, pihak penganjur ada menyediakan penginapan untuk peserta-peserta basikal klasik. Kami ditempatkan di Sun Inn Mentari Hotel yang terletak di Bandar Sunway. Ia merupakan tempat penginapan yang stategik terutamanya kepada para peserta yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang seperti Ipoh, Melaka dan Johor. Kesempatan masa yang sengkang dapat diambil oleh mereka dengan berkunjung ke Sunway Pyramid dan Sunway Lagoon. Teman ditempatkan bersama rakan sebilik yang sama seperti penginapan di Morib iaitu bersama saudara Ibram Talib dan Abdul Rahim Md Jani. Tetapi pada kali ini Ibram Talib tidak dapat turut serta. Mereka berdua inilah yang senantiasa merancakkan lagi suasana dan situasi yang hening lagi lengang. Sesi santai, rehat dan rawat kami aplikasikan  disepanjang waktu petang.

Belum pernah sepanjang teman mengikuti program basikal bertembung dengan cuaca hujan lebat. Itulah yang terjadi pada aturcara malam harinya itu. Sejak dari lewat petang, hujan sudah mula mencurah dan membasahi daerah Petaling Jaya. Para peserta yang telah pun kembali semula dari tempat penginapan sejak jam 6 petang terpaksa berperuk dan berkurung di bawah khemah mengharapkan hujan reda. Perarakan yang sepatutnya bermula jam 7.45 malam terpaksa ditangguhkan hingga hujan berhenti. Walaupun hujan lagi menjadi curahannya, kami dihiburkan dengan beberapa acara sampingan kecil seperti sesi pertandingan pemilihan busana dan acara pentas. Agak menghiburkan juga dengan acara pentas tersebut sungguhpun dirangka spontan oleh pihak penganjur. Bukan senang hendak melihat wak jawa berjoget, P. Ramlee moden menari dan askar-askar silam berkawat. Itulah dia keunikan dunia basikal klasik. Bukan setakat rekreasi kayuhan, hiburan sendiwara pun ada. Hampir sahaja harapan kami musnah untuk meneruskan penantian, akhirnya hujan pun reda pada jam 9 malam. 

Disini teman ingin memohon maaf kepada semua rakan taulan kerana tanpa disedari pada saat itu kamera teman telah pun kehabisan bateri. Maka segala babak-babak perarakan tidak dapat teman rakamkan untuk dijadikan tontonan video. Cuma apa yang teman boleh kongsikan adalah perasaan yang tidak pernah dirasai di mana-mana acara sebelum ini. Iaitu semasa ingin beredar dari tempat berkumpul menuju ke lokasi perarakan, kami perlu melewati beberapa ratusan peserta dari deligasi yang lain. Semasa ingin melewati mereka, kami diberikan tepukan gemuruh dan sorakan yang penuh semangat oleh meraka. Mereka mungkin terkejut dan teruja melihatkan daya pesona dari serombongan delegasi berbasikal klasik. Ia sesuatu sensasi yang membuatkan bulu roma anda naik dan kagum. Hanya rakan-rakan yang mengikutinya mungkin tahu dan dapat rasakan apa yang teman rasai. Ada juga yang telah menambat dan memikatkan hati teman. Tapi apakan daya...


Sumber gambar ehsan dari Basikal Melaka / Ikhwan Ibrahim
Sumber gambar ehsan dari Basikal Melaka / Ikhwan Ibrahim
Sumber gambar ehsan dari Basikal Melaka / Ikhwan Ibrahim

Penantian hujan untuk reda hampir tiga jam. Sesi kayuhan perarakan pada malam tersebut hanya sekitar 15 minit. Tetapi Hasilnya lega, puas hati, kegembiraan. dan keriangan. Maka tamatlah sudah aturcara bagi hari pertama festival tersebut. Masing-masing balik menuju ke hotel merehatkan diri sambil mengimbau kenangan di siang hari. Setelah beristirehat seketika, aktiviti bebas bersantai belum sampai penamatnya. Beberapa rakan telah berpakat untuk meluangkan sepurnama malam tersebut dengan menikmati hidangan malam. Lalu mencarilah kami kedai makan di sekitar hotel tersebut. Ajaibnya satu kedai mamak pun tidak dijumpai. Pusing punya pusing akhirnya kami bertembung dengan gerai makanan tomyam. Menjamu selera bersupkan tomyam panas dengan iklim sejuk selepas hujan, satu kepuasan nikmat yang jarang diperolehi. Dikesempatan ini juga teman sekali lagi ingin memohon ampun kerana tidak dapat menghadirkan diri untuk program aturcara hari berikutnya. Ini kerana teman terpaksa meraikan kunjungan saudara yang datang jauh dari Pinang yang bertandang ke rumah secara mengejut. Tahniah kepada saudara Msi Adi dari Banting kerana berjaya dinobatkan sebagai Raja Basikal Klasik 2013 untuk acara tersebut. Syabas juga kepada pencinta-pencita tegar basikal klasik yang menghadirkan diri menjayakan sekaligus menggamitkan lagi festival ini. 


Kronologi tahun 2013 bagi aktiviti basikal klasik secara keseluruhannya telah mendapat sokongan yang memberangsangkan dari masyarakat. Bukan setakat orang awam malah telah mendapat perhatian yang tinggi oleh badan-badan berkuasa, kerajaan mahupun korporat atau swasta. Mudah-mudahan kelangsungan memartabatkan aktiviti berbasikal klasik dapat diteruskan lagi pada tahun 2014. Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat teman nukilkan pada kali ini. Semoga kita bertemu di lain acara pada tahun 2014. 

Tahun baru bakal menjelma,
Banyak rancangan banyak acara,
Semoga kita kekal bersama,
Semangat berbasikal terus membara.     

No comments:

Post a Comment