Monday, December 9, 2013

Pengalaman Kayuhan Pantai Morib - Bahagian 1

Nyut, nyut, nyut. . . itulah gambaran terdekat yang boleh teman sampaikan terhadap anggota-anggota badan ini yang serba-serbi lenguh. Walaupun lenguh tapi hati ini puas riang gembira tak terkata. Apakan tidaknya, begitulah nikmatnya bilamana tuan rumah dan pihak penganjur yang telah berjaya memberikan perkhidmatan dan persembahan yang terbaik bertaraf lima bintang kepada para tetamunya. Itulah dia acara gilang gemilang Kayuhan Basikal Klasik SeMalaya yang telah diadakan di Dataran Pantai Morib pada 7 dan 8 Disember yang lalu bersempena dengan bulan melawat Kuala Langat 2013. Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada usaha sama dari Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang dan Majlis Daerah Kuala Langat diatas usaha murni memartabatkan aktiviti sihat berbasikal klasik disamping mempromosikan Pantai Morib sebagai pusat pelancongan yang menawan.



Untuk pengetahuan umum, inilah kali kedua dalam fasa hidup teman menjejaki tanah di Pantai Morib. Walaupun senegeri, tapi belum ada kesempatan dan peluang bertandang ke mari. Sehingga pada tanggal 7 dan 8 Disember 2013 akhirnya berpeluang juga melawat Pantai Morib demi menyahut undangan untuk aktiviti berbasikal klasik. Al-kisah perjalanannya bermula pada petang sabtu secara konvoi bersama saudara Ibram Talib dan Abdul Rahim. Ketibaan kami di Dataran Pantai Morib disambut oleh ahli-ahli dari tuan rumah Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang. Setelah selesai sesi pendaftaran, kami dibawa ke tempat penginapan iaitu El-Azzhar Camp yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari dataran. Kami bertiga begitu teruja dengan kondisi penginapan tersebut. Ia diluar jangkaan kerana keadaannya yang cukup selesa walaupun untuk tiga orang beristirehat.  Lebih menceriakan kami bilamana semua kemudahan ini diberikan secara percuma oleh pihak penganjur. Terima kasih sekali lagi.



Malam itu kami meluangkan masa secara santai bersenang-senang di dataran. Turut disajikan pada malam tersebut adalah beberapa aktiviti pentas dan sesi berkaroke. Jika anda berpeluang ke sana, jangan lupa menikmati juadah makan malam di medan selera yang disediakan. Pelbagai juadah makanan laut segar yang disediakan dengan harga yang begitu berpatutan. Kegemaran teman di sana adalah kerang rebus dan nasi goreng seafood. Lazat menjilat jari. Teman begitu tertarik dengan segala infrastruktur yang terdapat di dataran tersebut. Lanskap-langskap pokok yang indah, gerai-gerai jualan yang pelbagai, surau yang selesa, tandas bersih yang boleh diibaratkan bertaraf hotel lima bintang dan pelbagai lagi kemudahan-kemudahan asas yang begitu harmonis dan sistematik. Penghargaan yang tinggi teman berikan kepada majlis perbandaran tempatan diatas usaha murni ini.


Berdenyut-denyut dan bervibrasi aliran darah di urat-urat jari-jemari ni tanda ingin terus menaip sambil bercengkerama lagi dan lagi. Tapi apakan daya pada saat ini ada urusan yang perlu teman sempurnakan. Jangan khuatir teman-temanku. Akan teman sambungkan kembali bingkisan laporan tidak rasmi ini dalam waktu terdekat seketika nanti. Tungguuuuuuuu.