Sunday, July 16, 2017

Pokok Kelapa




Pokok kelapa sememangnya sinonim dan berkait rapat dengan komuniti masyarakat melayu khususnya yang menetap di kawasan pedalaman. Kenyataan ini tiada keraguannya memandangkan pokok kelapa itu sendiri dapat mendatangkan seribu satu macam manfaat kepada kita semua. Manfaat tersebut datang dari pelbagai sumber seperti batangnya, daunnya, buahnya, semuanya dapat diambil manfaat kepada pelbagai kegunaan baik dari segi pemakanan, ubatan, kraftangan hinggalah kepada pembuatan bahan binaan. Dengan segudang manfaat yang telah dikurniakan kepada pokok kelapa,  tidak mungkin kita ingin melepaskan peluang untuk menjadikan pokok kelapa ini sebagai salah satu hasil tanaman lanskap kediaman kita. 

Inilah satu-satunya pokok kelapa yang telah saya tanam di halaman rumah sejak tujuh tahun lepas. Ketinggian pokok kelapa ini sewaktu ditanam dahulu hanya separas dada saya sahaja. Amat pantas masa berlalu. Terasa seolah-olah baru bulan lepas sahaja pokok ini ditanam. Sedar tak sedar ketinggiannya sekarang telah menjangkau lebih dari empat meter. Jika dulu pokok ini menumpang teduh di sudut penjuru atap rumah, kini rimbunan pohon dedaunnya pula dapat menaung sesiapa sahaja yang ingin menumpang teduh dari sinaran mentari. Buahnya pun sudah mulai tumbuh dan berkembang mekar. Tidak sabar nak merasa hasilnya yang pertama nanti.