Monday, August 8, 2016

Operasi Mencari

Suasana di pagi hari begitu nyaman sekali. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan daun-daun pada pokok cempedak di halaman rumah melentuk-liuk. Lantas daun-daun kering dan tua pula berguguran jatuh ke tanah. Kini sudah hampir dua minggu saya menimba pengalaman menternak ayam. Sedang asyik memperhatikan persekitaran halaman rumah, baru saya perasaan yang ayam serama kecil tiada dalam skop pandangan mata saya. Hanya ayam hutan sahaja yang kelihatan. Kebiasaannya ayam serama itu akan hanya berlegar di bawah pokok cempadak di dalam perkarangan pagar rumah. Skop pandangan saya diperluaskan ke kawasan jiran dan luar rumah. Masih tidak kelihatan. Barangkali bersiar-siar menjenguk kawasan pedalaman.

Hinggalah menjangkau ke sebelah petangnya pula. Matahari sudah bersiap sedia untuk melabuhkan tirai cahayanya. Jam pada tangan menunjukkan ada baki lapan belas minit lagi sebelum berkumandangnya azan maghrib. Kelibat ayam jantan serama itu masih tidak kelihatan. Maka misi mencari pun dilaksanakan. Lantas sambil menaiki basikal klasik, saya memperluaskan skop carian dengan mengayuh basikal di sekitar kawasan perumahan dan padang permainan. Setelah puas mencari dan merayau, keputusannya amat mendukacitakan kerana ayam tersebut tidak berjaya ditemui dan tiada sebarang kesan. Mungkinkah ayam itu telah sesat? Dimakan binatang lain atau diambil oleh orang? Wallahu a'lam. Allah saja yang maha mengetahui. 

Sejenak memikirkan. Sudah tiba masanya saya merencanakan sebuah reban ayam yang bersesuaian dengan keadaan dan saiz halaman rumah. Buat masa ni yang tersedia ada pun hanya menggunakan sangkar kucing bersaiz sederhana besar sahaja. Oleh itu sedikit kajian dan penyelidikan harus dilaksanakan. Sekurang-kurangnya saya harus dapatkan pengetahuan asas dalam membina sebuah reban ayam yang mesra pengguna. Hanya tinggal beberapa minit lagi sebelum masuknya waktu maghrib. Misi pencarian telah pun saya tamatkan operasinya dengan harapan ayam yang hilang itu akan muncul kembali di hari mendatang. Mudah-mudahan. 

No comments:

Post a Comment