Wednesday, August 17, 2016

Hasil Terakhir Reban Ayam

Mekar kuning daunnya begitu indah pesona,
Itulah ia pokok kelapa seribu satu guna,
Yang dinantikan kini sudah siap terbina,
Itulah ia reban ayam bagai mahligai istana.

Kerja pemasangan dilakukan pada waktu petang yang permai. Spesifikasi reban ayam ini adalah seperti berikut: Panjang 4 kaki. Lebar 3 kaki. Tinggi dari lantai ke pucuk atap 5.5 kaki. Beratnya secara purata adalah kurang lebih 37 kilogram. Struktur rangkanya diberbuat daripada besi. Dindingnya 80% daripada polikarbonat (polycarbonate) dan juga 20% daripada jaring besi.

Hasilnya: Dinding, atap dan lantai menggunakan bahan daripada papan polikarbonat. Hasil kajian yang saya perolehi menunjukkan bahan ini lebih tahan lama berbanding menggunakan kayu yang mungkin mudah reput. Selain itu papan polikarbonat ini juga dapat mengurangkan bahang haba kerana jisim papannya yang mempunyai rongga-rongga kosong bagi memudahkan pengaliran udara keluar masuk. Seperkara lagi permukaan papannya juga bercirikan lutsinar membolehkan kita melihat ke dalam  reban tersebut dari pelbagai pelbagai sudut seperti contoh gambar di atas. 

Terdapat dua pendekatan telah direkakan bagi kemudahan pintu masuk reban. Pintu pertama merupakan keseluruhan bingkai besar pada bahagian depan (4 kaki) yang dapat dibuka sepenuhnya. Tujuannya adalah agar mudah bagi saya untuk mencapai ke bahagian dalam sekiranya ingin melakukan proses pembersihan. Pintu kedua pula adalah pada bingkai bahagian depan (2 kaki) di sudut bawah sebelah kanan. Merupakan pintu rasmi bagi ayam-ayam keluar masuk ke dalam reban. Pintu ini juga dapat dibuka sepenuhnya ke bawah dan secara tidak langsung boleh menjadi tangga kerana bukaannya berbentuk landai ke dasar tanah seperti tertera pada gambar di atas.  

Begitulah sekadarnya perkongsian saya untuk fasa-fasa pembikinan reban ayam dari awal hingga akhirnya berjaya diselesaikan. Sejujurnya saya langsung tiada pengalaman, kemahiran mahupun pengetahuan dalam melaksanakan projek ini. Akan tetapi tiada istilah mustahil sekiranya azam dan usaha beriringan dalam perilaku personaliti kita. Jika tiada ilmu atau pemahaman maka lakukan sedikit usaha untuk mentelaah informasi dengan membuat kajian dan penyelidikan. Percayalah, kita akan dikurniakan suatu perasaaan yang begitu lapang dan puas apabila kita berjaya membuahkan sesuatu hasil dari manifestasi kita sendiri. Akhir kata. . . . .

Ayam kampung ayam hutan,
Disumbat belaka ke dalam reban,
Jangan jemu jangan segan,
Selalulah lawati blog Riwayat Budiman.

No comments:

Post a Comment