Tuesday, May 6, 2014

Pengalaman Menyertai KL Pagi Bebas Kenderaan

Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee. Jalan-jalan yang diutarakan ini merupakan diantara laluan tersibuk dan tersesak di bumi Malaysia yang bertuah ini. Hampir sepanjang waktu siang harinya (pada hari bekerja) laluan-laluan ini tidak pernah lekang dengan kepadatan kenderaan yang berasak-asak memenuhi ruang jalan tarnya. Kepada pengguna jalanraya yang telah biasa atau terpaksa melaluinya mungkin tahu gelaran-gelaran yang diberikan kepada jalan-jalan tersebut. Antaranya ialah jalan stress, jalan tension, jalan pening kepala, jalan merangkak, jalan ya ampun dan pelbagai lagi gelaran yang menjerumus kepada ungkapan-ungkapan negatif. Akan tetapi ketahuilah wahai pengunjung-pengunjung setiaku sekalian, ada satu hari dalam setiap bulan laluan-laluan tersebut bertukar wajah menjadi sebaliknya. Yakni satu hari yang jatuhnya pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan. Pada hari tersebut untuk tempoh dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, jalan-jalan ini dikosongkan, dilengangkan serta dikhaskan untuk aktivti-aktivti beriadah seperti berbasikal dan seangkatan dengannya. Itulah dia program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan (KL Car Free Morning).

Walau rintangan mendatang haruslah cekal,
Terkenang nostalgia bersama si dia,
Pergi riadah sambil mengayuh basikal,
Bertemu sahabat penghilang kerinduan jua.
 
Alkisah telah berlangsunglah acara ini pada 4 Mei 2014 yang lalu. Sehingga bulan Mei ini, ia merupakan edisi ke lima yang membawa maksud sudah lima kali acara ini diadakan sejak perasmian pertamanya pada bulan Januari 2014. Nama sahaja jejaka Lembah Klang. Ironiknya teman yang telah lama bermukim di Lembah Klang ini baru berpeluang untuk menyertai acara tersebut buat pertama kalinya. Tercapai juga hajat ingin berkayuh seiringan bersama sahabat handai barisan hadapan atau lebih mesra dikenali sebagai Frontliners. Mereka inilah yang senantiasa membarisi barisan hadapan pada mana-mana acara kayuhan basikal klasik. Mereka jugalah yang senantiasa menyerikan sesuatu acara itu dengan peragaan busana-busana yang hebat-hebat belaka. Kali terakhir teman bersemuka dengan mereka adalah pada 21 Disember 2013 iaitu menerusi acara Festival Antarabangsa Petaling Jaya. Terurai juga kerinduan untuk beriadah bersama mereka. 

Tengok teater sambil makan coklat,
Bersama si dia sarat dengan bakat, 
Biarpun payah mahupun lelah penat,
Basikal tetapku kayuh dengan semangat.

Seperti kelazimannya, jika program tersebut berunsurkan penyertaan bebas, maka ramailah mereka yang terdiri daripada penunggang basikal gunung serta basikal lumba. Bukan sekadar pengangkutan basikal sahaja yang memeriahkan acara ini. Terdapat pelbagai aneka pengangkutan yang berunsurkan sukan serta riadah turut tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti sihat ini. Antaranya yang teman perasan ialah kasut roda, papan luncur, papan selaju dan yang paling teman teruja ialah segolongan ahli-ahli yang menggunakan kerusi roda. Tinggi sungguh semangat mereka. Kudrat tangan mereka menolak kerusi roda itu sejauh beberapa kilometer memberi tamparan hebat buat diri teman yang hanya berlonglai mengayuh pedal basikal. Tak tahu mengapa, teman rasa segan pula bila berselisih apatah lagi bila ingin memintas mereka. Tersipu dibuatnya. Scara keseluruhannya, ia merupakan aktiviti santai yang diwarnai dengan pelbagai kegiatan bersuasanakan bangunan-bangunan pencakar langit. Jika anda ingin melepaskan kegeraman anda dalam menghadapi kesesakan lalu lintas sepanjang lima hari bekerja dalam seminggu, maka aktiviti seperti ini amat sesuai untuk diikuti. Sekurang-kurangnya kegiatan santai ini dapat mengecaskan semula diri anda dengan aura-aura positif. Bekalan yang amat diperlukan bagi sesiapa yang sering mengharungi hari-hari mendatangnya dengan pelbagai ragam kesibukan Kuala Lumpur.  Setakat itulah sahaja yang terdaya teman coretkan buat masa ini. Masa untuk beradu bermimpikan puteri impian. Pelbagai petikan menarik akan teman kongsikan lagi dalam masa terdekat nanti. Selamat bercengkarama.


Pakaian kapas menjadi hiasan,
Sedap dipakai mendamaikan jiwa,
Aktiviti riadah pencetus wawasan,
Pastinya lahir insan berwibawa.