Thursday, May 15, 2014

Kempen Menyokong Kayuhan Sempena Hari Muzium Antarabangsa


Shah Alam, bandaraya bunga anggerik. Teman bekerja mencari rezeki di Shah Alam. Teman bersolat Jumaat juga di Masjid Negeri Shah Alam. Kedai restoran kegemaran teman juga terletak di Shah Alam. Teman hantar kereta untuk servis dan penyelenggaraan pun di Shah Alam. Hatta bekas-bekas buah hati teman pun............ eh maaf kawan-kawanku, yang itu rahsia. Pokok pangkalnya serba serbi urusan harian duniawiku rata-ratanya hanya berpusar di Shah Alam sahaja. Dan ia merupakan bandaraya kegemaran teman sejak berkurun lamanya. Penulisan teman pada saat ini membuatkan teman merasa begitu teruja dan mengasyikan. Ini kerana ada pengumuman penting yang ingin teman sampaikan.

Sukacita teman ingin memaklumkan bahawa pada hari Sabtu bersamaan 17 Mei 2014 ini, akan berlangsungnya satu acara kayuhan berbasikal klasik bersempena dengan Hari Muzium Antarabangsa. Acara yang diundang sama oleh Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis ini akan diadakan di perkarangan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan khususnya kepada pemilik-pemilik basikal klasik yang dijangkakan bermula dari jam lapan pagi hinggalah jam lima petang. Oleh itu Budiman Berbasikal Klasik dengan ini menyokong sekaligus akan menyertai program Kayuhan Hari Muzium Antarabangsa. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda wahai rakan-rakanku seklian. Bersama kita bersiar dengan penuh gaya di atas basikal berestatika klasik. Jom pakat ramai-ramai kita mencari dan memetik kuntum-kuntum bunga anggerik yang wangi, segar lagi membugarkan di sekitar tasik Shah Alam yang indah permai itu.