Monday, April 28, 2014

Pengalaman Menyertai Kayuhan Le Tour de UPM

Ada ketika dalam fasa hidup ini membuatkan diri kita terasa seperti kembali muda. Terpulang kepada situasi atau suasana persekitaran itu. Boleh jadi suasana tersebut membuatkan kita terasa 5 atau 30 tahun lebih muda bergantung kepada berapa dalam persekitaran tersebut memberi impak dan kesan terhadap jiwa kita. Itulah yang teman alami pada hujung minggu lepas. Bersiar-siar secara santai dalam suasana kampus IPTA membuatkan jiwa raga ini memberontak untuk mengimbau zaman muda-mudi sekitar 7 tahun lepas. Zaman di mana angka empat merupakan angka kecermelangan. Manakala angka 2 atau kurang dari itu melambangkan angka yang seram, ngeri dan menakutkan. Itulah dia CGPA. Itulah dia era universiti. Naik turun, cemerlang gagal, sengsara dan bahagia, semua teman pernah alami ketika berada di era tersebut. Era yang secara umumnya penentu hala tuju kejayaan masa depan anda.

Maka al kisah berakhirlah sudah acara kayuhan Le Tour de UPM pada hari Ahad yang lalu. Kayuhan yang dianjurkan oleh Eco Buddies iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh para pelajar dari ESC4514 fakulti Alam Sekitar. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah bersempena meraikan Hari Bumi yang disambut pada 22 April setiap tahun. Budiman Berbasikal Klasik mewakili warga berbasikal klasik mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat merangkumi pihak panganjur hinggalah ke pihak tajaan. Penghargaan tak terhingga kami ucapkan kerana telah mengundang kami untuk turut serta dalam menjayakan program ini. Ruang dan peluang yang anda berikan kepada kami cukup bermanfaat dan menghiburkan hati kami.

Tak disangka. Tak terbayang. Tak terkata betapa luas dan besarnya keseluruhan kampus UPM itu. Berani teman katakan keluasan kampus UPM adalah lebih 2 kali ganda besarnya dari keseluruhan kawasan Subang Jaya. Janganlah berani masuk jika anda tidak pernah menjejaki tanah ke UPM melainkan ada juru pandunya. Apatah lagi janganlah sekali sekala anda masuk ke UPM keseorangan, pertama kali dan pada waktu malam. Alamatnya potensi anda untuk sesat hingga ke tengah-tengah dusun durian adalah teramat cerah. Tuan punya diri yang menaip nukilan ini pun tidak terkecuali. Awal-awal lagi teman dah silap kerana memasuki kampus dari pintu Lebuh Silikon. Bertawaf jugalah mencari jalan keluar. Mujur dapat terserempak dengan segelintir pelajar di sana yang sudi membantu menunjukkan arah jalan yang benar.

Teman teramat berbesar hati kerana dapat bersua kembali bersama rakan taulan seperjuangan dalam arena basikal klasik ini. Kehadiran kak Aida, suaminya abang Azizan beserta anak comelnya merupakan warga tuan rumah UPM. Abang Zaidie, pakcik Wahid, Sopy dan Syukri Shah dari Team Northport. Saudara Faizal dari Klang serta tidak ketinggalan pak Hussein yang sanggup bertandang jauh dari Banting. Bersahabat dengan pedagang minyak wangi, kita akan dapat tempias baunya. Dapatlah juga teman kiaskan bersahabat dengan warga berbasikal klasik, kita akan dapat aura semangat untuk terus bergiat melestarikan basikal klasik. Cuaca sejuk dan nyaman awal pagi pada masa kayuhan dilepaskan adalah cukup sempurna. Dipadankan pula dengan persekitaran yang serba serbi hijau. Jalan atau laluan kayuhan yang lancar tanpa sebarang gangguan trafik. Inilah impian bagi setiap pengayuh basikal. Untuk pengetahuan, jarak perjalanan kayuhan adalah sekitar kurang lebih tujuh kilometer. Seronok dapat kayuh basikal seiringan dengan adik-adik warga pelajar UPM. Kiri dan kanan pada sepanjang kayuhan dibarisi dengan pelbagai deretan pokok buah-buahan. Nasib baik kebanyakkannya masih tengah berbunga. Jika dah berbuah, alamatnya beg brooks teman dah lama diisi dengan buah-buahan.

Selain dari sesi kayuhan, kami juga diberi peluang untuk bersama-sama memeriahkan aktiviti sampingan kecil seperti cabutan bertuah. Kumpulan berbasikal klasik juga diberi penghormatan untuk membuat sedikit kata-kata aluwan sempena acara ini. Maka tiadalah yang lebih mahir dan berbakat untuk memberi ucapan selain dari puan Aida iaitu isteri kepada encik Azizan. Seorang yang berpengalaman lebih 3 tahun dalam bidang perguruan. Ucapan yang diberikan begitu bernas, mengagumkan dan mempesonakan telinga-telinga yang mendengarnya. Ternyata memang ada potensi untuk menjadi dekan di institusi tersebut. InsyaAllah satu hari nanti kak Aida. Teman ni pula tidaklah seberapa petah untuk memberi ucapan di atas pentas. Tapi jika diberi peluang untuk berbicara dengan menggunakan medium mata peta atau papan kekunci komputer, insyaAllah teman mampu menukilkan pelbagai hasil karya, petikan mahupun gubahan yang berjela-jela panjangnya. Dah sebegitu kecenderongan minat dan hobinya.

Begitulah sedikat sebanyak penyudahan cerita yang berkisarkan pengalaman menyertai kayuhan Le Tour de UPM ini. Salah satu aktiviti riadah berbasikal yang paling teman minati. Tiba-tiba teringin pula nak mendaftarkan diri sebagai penuntut di institusi pengajian UPM. Nampak gayanya kena mengamalkan makan makanan ulam. Bersesuaian dengan pepatah melayu yang membawa erti dapat memperoleh sesuatu yang dihajati iaitu "pucuk dicita ulam mendatang". Akhir pena, semoga bertemu lagi di lain acara. Sekian. 

Sinaran mentari di awal pagi. Membuka ruang pintu rezeki masuk.
Seiringan berkayuh bersama para penuntut UPM. Begitu ceria dan semangat.
Kak Aida dan suami kesayangannya abang Azizan. Perfect couple.
Lokasi beristirehat di Bukit Ekspo. Barisan berbasikal klasik yang mapan dan kukuh.
Bersatu hati mengakrabkan tautan ukhuwah bersama hobi yang dicintai.
Bersama warga pelajar UPM. Meriah, ceria dan puas. Impian terlaksana.
Babak akhir acara kayuhan. Kenangan manis dan ingatan indah kekal abadi selamanya.
Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi