Monday, April 7, 2014

Memburu Aksesori Basikal Klasik

Pernah tonton Jalan-jalan Cari Makan? Ada masa meleleh air liur melihatkan kenikmatan juadah yang dijamahnya. Ada masa dalam keadaan perut kita sudah kenyang, mendengar lagu tema rancangan tersebut pun boleh buatkan rasa pening lalat. Apa pula kaitannya dengan porkongsian pada kali ini? Tiada kaitan sebenarnya. Saja tangan ini menukilkan apa yang terdetik di buah fikiran. Yang hendak dikongsikan adalah kisah barang atau aksesori basikal klasik yang diburu akhirnya dapat dijerat. Para pembaca sekalian umum ketahui yang kebiasaannya barang-barang yang teman perolehi kebanyakkannya dibeli dari laman Ebay. Tetapi berbeza pula pendekatan yang diusahakan pada kali ini. Semacam ingin menjadi watak Indiana Jones pula. Ingin menjelajah sikit melihat sana sini bagai memburu harta karun purba. Tapi tak ke mana pun kesudahannya. Baru saja ingin melangkah kaki kanan, teman sudah pun menerima sumber maklumat bahawa salah seorang dari sahabat teman ada barang tersebut dan ingin menjualkannya. 

Barang tersebut merupakan sebuah tempat duduk belakang "carrier" untuk basikal klasik. Terdapat sedikit keunikan tentang aksesori ini kerana ia mempunyai ciri tambahan iaitu besi lipat yang boleh menutupi lapisan permukaan tempat duduk. Jika ingin meletakkan bakul atau barang, maka dibukakan lipatan besi sisinya agar permukaannya menjadi lebih lebar. Begitulah sekiranya ada penumpang lalu dilipat semula besi tersebut agar saiz permukaannya lebih sesuai dan selesa untuk diduduki. Agak susah hendak diterangkan ciri praktikalnya. Harap gambar yang dimuat-turunkan dapat menjelaskan fungsinya. Itulah dia pembelian sebuah tempat duduk belakang bagi basikal klasik teman yang bersaiz 26. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dari segi pencariannya hinggalah urusan jual belinya. Terima kasih sahabatku. Ternyata barang yang ditawarkan ini cukup tinggi nilai estatikanya sepadan dengan tali ukhuwah yang kita anyamkan. Semoga diberkati selalu. 

Akad jual beli insyaAllah 100% menepati dan patuh syariah. Syukran wahai sahabat.
Selesai sudah memasangnya dengan bentuk besi lipatannya dibuka luas. Sesuai untuk meletakkan barang.
Ini pula dengan rupa cara besi sisinya dilipat ke dalam sesuai untuk diduduk dan membawa penumpang.


Berseri teramat sinaran mentari,

Sinaran melantun membawa nikmat,

Basikal klasik senantiasa dilestari,

Hidup bersyukur memohon rahmat.