Saturday, September 14, 2013

Pengalaman Kayuhan NST-Cyberjaya Green Ride 2013

Buat dua minggu berturut-turut, aktiviti mingguan Budiman Berbasikal Klasik diisi dengan program kayuhan basikal. Kedua-duanya merupakan acara rasmi yang mendapat liputan meluas dari pihak media massa. Bagi program minggu ini pula telah berlangsungnya kayuhan basikal NST-Cyberjaya Green Ride 2013. Acara ini terbuka kepada semua jenis basikal tidak kira basikal lumba, mountain bike mahupun basikal klasik. Tujuan kayuhan ini diadakan adalah untuk memupuk masyarakat agar mengamalkan cara hidup sihat dengan berbasikal disamping mempromosikan pusat multimedia Cyberjaya.


Bagi teman inilah acara kayuhan yang paling mencabar pernah disertai. Kejang dan lenguh kaki dibuatnya. Ingin tahu sebabnya? Kenalah baca coretan ini sampai habis. Seramai hampir 20 sahabat berbasikal klasik telah hadir dalam acara ini. Kebanyakan yang hadir menetap di sekitar Lembah Klang. Tidak ketinggalan sahabt-sahabat yang datang jauh dari selatan negeri bersejarah mewakili Kelab Sepeda Tua Melaka. Kehadiran kami di sana dikerumuni oleh ratusan peserta berbasikal jenis lain yang majoritinya berbasikal mountain bike. Kumpulan kamilah yang menjadi tumpuan orang ramai tidak kira peserta mahupun wakil media. Ada yang ingin bergambar. Ada juga yang sekadar ingin membelek-belek basikal.


Kumpulan basikal klasik juga diberi pengiktirafan untuk memulakan kayuhan dari barisan hadapan sekali menjangkaui hampir seribu peserta lain. Setelah isyarat pelepasan berbunyi, maka bergeraklah kami mengepalai rombongan seribu pengayuh basikal menyusuri jalan di Cyberjaya. Walaupun jarak kayuhan rasmi adalah 20 kilometer, kumpulan kami diberi pilihan untuk mengayuh sekitar 5 kilometer melewati laluan bagi ketegori fun ride. Pun begitu di awal peringkat kayuhan, stamina kami begitu diuji bilamana perlu mengharungi laluan mendaki sejauh lebih kurang 600 meter. Tetapi dengan suasana kayuhan yang diselangi jenaka serta berseloka, kumpulan basikal klasik berjaya melepasi pendakian tersebut dengan penuh gaya dan santainya. Setibanya ke garisan penamat, tempat pertama yang kami tuju tidak lain dan tidak bukan semestinya sumber air. Lagi bertepatan air yang disediakan pula adalah air milo. Lagi memuaskan hati kami apabila air milo itu diberikan secara percuma tanpa had. Hilang penat dan dahaga. Tetapi perut belum kenyang lagi. Justeru kami pun serbu ke lori Along yang kebetulan membuat jualan nasi lemak kayu apinya di sana. Terbaik. Setelah bergambar, sesi bebas bersiar-siar dan berbual akhirnya kami masing-masing pun pulang.


Begitulah sedikit sebanyak luahan yang boleh dikongsikan bersama. Walaupun badan penat terutamanya pada bahagian kaki, hati ini merasa puas kerana tercapainya hasrat teman untuk berkongsi pengalaman dengan merapatkan masyarakt berbasikal tentang keunikan basikal klasik. Bayangkan hanya kurang dari dua jam sahaja teman bersama pencinta basikal kategori lain ini. Seramai belasan orang daripada mereka telah mengintegorasi teman tentang bagaimana memperolehi basikal klasik lantas ingin menceburi dan menyertai komuniti berbasikal klasik. Hebat bukan? Begitulah aura basikal klasik. Mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Nantikan videonya. Tungguuuuu.

No comments:

Post a Comment