Monday, September 9, 2013

Pengalaman Kayuhan Merdeka basikal Tua Negeri Sembilan

Sudah sekian lama rasanya Budiman Berbasikal Klasik tidak menyertai mana-mana acara rasmi berbasikal klasik. Sekiranya para pengunjung sekalian setia mengikuti blog ini, kali terakhir penyertaan yang disertainya adalah pada bulan Mac 2013 iaitu acara kayuhan di bandar Klang. Masa berlalu dengan begitu pantas. Bulan puasa, hari raya, merdeka, semuanya telah berlalu bagai kerdipan cahaya kilat.


Pada 8 September 2013 telah berlangsungnya satu acara kayuhan basikal klasik di Negeri Sembilan. Kali ini teman tidak melepaskan peluang untuk sertai. Acara ini berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti , Kuala Pilah dan dianjurkan oleh Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan. Terlebih dahulu teman ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kelab pihak penganjur (diantara wakilnya atuk Anuar Abu, saudara Ujang Apit dan saudara Amran Yahya) kerana telah mengelolakan aktiviti ini dengan begitu sempurna, begitu santai, begitu tersusun, begitu menghiburkan para pesertanya. Walaupun teman diberitahu bahawa acara ini hanya dirancangkan kurang seminggu, tetapi kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli KBTN9 begitu mengujakan dan harus dicontohi. 


Perjalanan dari Puchong ke Kuala Pilah mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit. Sejuk mata memandang. Itu saja ungkapan sepanjang perjalanan terutamanya di daerah Kuala Pilah kerana persekitaran kampung dan tamannya begitu damai dan indah sekali. Setibanya di lokasi acara, lebih dari separuh para peserta telah berada di situ dengan persiapan basikal dan busana yang hebat-hebat belaka. Busana unit uniform ketenteraan adalah satu kemestian bagi sesetengah para peserta lebih-lebih lagi dengan tema kemerdekaaan yang dibawakan oleh pihak penganjur. Busana teman macam biasalah santai-santai sempoi gitu.


Sebelum kayuhan dimulakan, para wartawan dari pelbagai wakil (TV3, TV9, Bernama) memulakan tugasan mereka dengan merakam serta menemubual sebahagian dari para peserta. Teman juga tidak ketinggalan ditemuramah. Terketar-ketar dan tergagap-gagap juga dibuatnya. Maklumlah pertama kali. Perjalanan kayuhan adalah dari tapak pasar Tanjung Ipoh menuju ke Bandar Diraja Seri Menanti. Jarak perjalanan pula lebih kurang 9 km dimana 2 km pertama merupakan laluan jalan besar dan 7 km bakinya laluan kampung. Sepanjang acara-acara kayuhan rasmi yang teman telah ikuti, inilah merupakan kayuhan yang paling tenteram dan damai sekali. Bayangkan kayuhan pada pukul 10 ke 11 pagi tetapi suasana dan iklimnya pula bagaikan baru pukul 8 pagi. Sejuk. Rumah-rumah kampung berbentuk tradisional tersergam indah di sepanjang perjalanan. Terasa macam nak hijrah ke sana dibuatnya.


Istana lama Seri Menanti adalah destinasi penghujung kayuhan. Tak terkata melihat seni binanya. Besar tersergam indah. Pembinaan kayu-kayu yang tidak dipaku. Hanya pasak diantara satu sama lain. Di sini kami meluangkan masa bergambar dan sedikit aktiviti kecil penyampaian hadiah serta penghargaan kepada peserta-peserta yang terpilih. Kemudian disusuli dengan jamuan makan yang disediakan oleh pihak penganjur. Selepas makan dan berbual panjang maka masing-masing pun berangkat pulang ke rumah.  Al-kisah berakhirlah laporan dari sanubari teman yang tidak seberapa ini mengenai acara tersebut. Begitu banyak kenangan manis. Sungguh lumayan harganya jalinan persahabatan baru. Sungguh tinggi nilainya ukhuwah persahabatan lama. Semuanya diperolehi dalam acara tersebut. Semoga berkekalan hendaknya disamping basikal-basikal klasik tersayang. Nantikan videonya pula pada esok hari. Tungguuuuuuuu.