Wednesday, January 20, 2016

Sepetang Yang Sekian Lama

Roda itu bulat. Itu roda bulat. Bulat roda itu. Tiga kenyataan yang lain komposisi tetapi membawa erti yang sama. Pun begitu roda yang bulat itu barangkali boleh dicerap kepada pelbagai sinonim. Ia agak subjektif kepada pendedahan roda itu dalam sirah kehidupan seseorang itu. Mungkin perkataan roda itu boleh mengimbau kembali kepada sebuah rancangan hiburan yang begitu terkenal pada era 90an iaitu Roda Impian. Secara peribadi sudah tentu aku akan mengaitkan roda yang bulat itu kepada hobi berbasikal klasik. Sungguhpun berkurun lamanya daku tidak menceburi mana-mana acara berbasikal klasik tapi citarasa ku terhadap hobi ini tidak pernah luntur. Ibarat tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.



Sesekali bersiar mengayuh basikal klasik di kala waktu petang. Tidak jauh jelajahnya. Sekadar menyelusuri di taman tasik bertahtakan tumbuhan flora fauna yang rimbun. Suatu suasana yang nikmat taktala angin sepui-sepui bahasa melewati diriku. Tambahan pula dengan gaya rambut yang hampir mencecah ke bahu ini. Sekali sekala mengurai-mengurai ke belakang mengikuti rentak hembusan angin yang kadang kala kuat. Seolah-olah berada dalam petikan babak filem Titanic.



Pusingan roda basikal ku bersahaja gayanya. Tiada tekanan. Tiada apa yang ingin dikejarkan di hadapan mahupun tiada apa yang mendesak ku dari belakang. Terasa seolah-olah masa berhenti seketika. Teringat kembali daku kepada zaman kerancakan ku dalam dunia basikal klasik ini sekitar tahun 2012 hingga 2014. Sedar tak sedar sudah empat tahun berlalu. Kini hanya tinggal kurang dari empat tahun lagi untuk kita melangkah ke tahun 2020. Beginilah penangan akhir zaman yang kian di penghujung garisan tamat. Antara tandanya adalah masa berlalu dengan begitu pantas. Terlalu pantas. Dua pilihan yang bakal kita kecapi di zaman yang boleh diklasifikasikan sebagai carca merba ini. Iaitu sama ada malang atau untung.

Maka bertabahlah wahai warga yang telah diwartakan sebagai umat akhir zaman ini. Semoga kita cekal dan dapat bertahan dari tersungkur ibarat sepertinya aku mengayuh basikal klasik ini. Jika dikemudi dengan cermat dan berwaspada nescaya selamatlah ia dari terjatuh. Ya hakikatnya tidak selalu kita berada di puncak yang sejahtera kerana kondisi berbolak-balik itu pasti menerjah ke sanubari hati. Justeru berdoalah. Carilah ladang beramal soleh. Mulailah yang sedikit, tapi berterusan dikerjakan. Tuai dan semaikanlah yang kecil, tapi beristiqomah mengamalkannya. Mudah-mudahan ia meneguhkan kita.



Terkerdip mataku seketika apabila sinaran matahari menyuluh tepat ke arah wajah ku dari arah barat. Bentuk bulat yang sempurna matahari itu tidak kelihatan lagi. Hanya tinggal suku dari bulatan matahari itu yang terpampang gah. Selebihnya sudah terbenam di bawah garisan ufuk cakerawala yang terbentang luas menandakan waktu maghrib akan membuka tirainya tidak lama lagi. Alhamdulillah. Lepas jua rindu sepetang bersama si roda klasik.