Monday, February 18, 2013

Pengalaman Kayuhan BES di Klang

Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Saat ini teman berada di depan kaca monitor, menaip sambil minum milo panas secawan. Badan agak letih tetapi hati begitu puas dan riang girang tak terkata. Mengapa hati riang ria tak terkata ni? Sebabnya baru siang hari tadi berlangsung acara kayuhan basikal klasik "belia ehsan Selangor" yang telah diadakan di Klang. Acara yang berlangsung dengan jayanya sekali. Tahniah teman ucapkan kepada Port Swettenham Bicycle Classic dan Majlis Perbandaran Klang diatas usaha pengendalian yang begitu terurus lagi teratur.


Untuk laporan tidak rasmi pada kali ni, tiadalah teman ingin berjamah kata panjang lebar. Biarlah gambar-gambar yang dimuat-turunkan ini menjadi bahan bicara kepada jalan cerita yang begitu manis sekali. Ketibaan teman di lokasi disambut dengan rakan taulan yang memperagakan pelbagai gaya busana. Tenggelam teman dibuatnya dek kerana kehebatan busana mereka semua. Bahkan basikal mereka semua pun gah belaka. Teman punya basikal ni cap ayam serama jer yop. Sambutan penyertaan pada acara ni telah menambat hampir 300 peserta. Rata-rata ramai yang datang pada kali ni lebih kepada mewakili kelab dan persatuan.


Pada babak kayuhan pula. Hanya tiga perkataan yang boleh teman gambarkan. Nyaman, santai dan lancar. Nyaman dek kerana cuaca pagi yang tidak panas dengan iklim yang mendung dan sekali-sekala angin bayu meniup sepoi-sepoi bahasa. Perjalanan trafik juga dikawal selia oleh polis trafik dan para pegawai MPK menjadikan arus kayuhan kami begitu lancar dan santai. Dengan gaya busana kami yang unik beserta basikal masing-masing yang begitu klasik, menyebabkan ramai orang awam yang melihat terpegun malah ada yang tercengang serta tidak terkelip-kelip mata dibuatnya.


Selepas selesai aktiviti kayuhan, para peserta semua dikehendaki berkumpul di dalam perkarangan stadium untuk jamuan makan dan pelbagai slot aktiviti. Selesai makan bermulalah acara cabutan bertuah dan beberapa pertandingan seperti basikal tercantik, basikal terbaik, busana tercantik dan penyertaan kelab teramai. Tahniah diucapkan kepada para peserta yang berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Alhamdulillah rezeki teman juga kerana telah dipilih antara cabutan bertuah.


Al-kisah begitulah jari jemari ini menaip papan kekunci komputer, menyusun huruf-huruf, membentuk ayat-ayat yang melengkapkan laporan tidak rasmi mengenai acara kayuhan pada kali ini. Akhir kata dan semestinya harapan teman, semoga persahabatan yang terjalin yang merangkumi badan-badan kelab berbasikal klasik ini senantiasa mekar muhibbah seumpamanya juga kita melestarikan kemartaban khazanah basikal klasik itu sendiri. Syabas dan terbaik untuk semua. Semoga kita berjumpa lagi. Jangan lupa video babak aksi kayuhan akan menyusul dalam waktu terdekat. Tungguuuuuuuu.