Showing posts with label Projek Restorasi. Show all posts
Showing posts with label Projek Restorasi. Show all posts
Monday, April 7, 2014
Memburu Aksesori Basikal Klasik
Pernah tonton Jalan-jalan Cari Makan? Ada masa meleleh air liur melihatkan kenikmatan juadah yang dijamahnya. Ada masa dalam keadaan perut kita sudah kenyang, mendengar lagu tema rancangan tersebut pun boleh buatkan rasa pening lalat. Apa pula kaitannya dengan porkongsian pada kali ini? Tiada kaitan sebenarnya. Saja tangan ini menukilkan apa yang terdetik di buah fikiran. Yang hendak dikongsikan adalah kisah barang atau aksesori basikal klasik yang diburu akhirnya dapat dijerat. Para pembaca sekalian umum ketahui yang kebiasaannya barang-barang yang teman perolehi kebanyakkannya dibeli dari laman Ebay. Tetapi berbeza pula pendekatan yang diusahakan pada kali ini. Semacam ingin menjadi watak Indiana Jones pula. Ingin menjelajah sikit melihat sana sini bagai memburu harta karun purba. Tapi tak ke mana pun kesudahannya. Baru saja ingin melangkah kaki kanan, teman sudah pun menerima sumber maklumat bahawa salah seorang dari sahabat teman ada barang tersebut dan ingin menjualkannya.
Barang tersebut merupakan sebuah tempat duduk belakang "carrier" untuk basikal klasik. Terdapat sedikit keunikan tentang aksesori ini kerana ia mempunyai ciri tambahan iaitu besi lipat yang boleh menutupi lapisan permukaan tempat duduk. Jika ingin meletakkan bakul atau barang, maka dibukakan lipatan besi sisinya agar permukaannya menjadi lebih lebar. Begitulah sekiranya ada penumpang lalu dilipat semula besi tersebut agar saiz permukaannya lebih sesuai dan selesa untuk diduduki. Agak susah hendak diterangkan ciri praktikalnya. Harap gambar yang dimuat-turunkan dapat menjelaskan fungsinya. Itulah dia pembelian sebuah tempat duduk belakang bagi basikal klasik teman yang bersaiz 26. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dari segi pencariannya hinggalah urusan jual belinya. Terima kasih sahabatku. Ternyata barang yang ditawarkan ini cukup tinggi nilai estatikanya sepadan dengan tali ukhuwah yang kita anyamkan. Semoga diberkati selalu.
![]() |
| Akad jual beli insyaAllah 100% menepati dan patuh syariah. Syukran wahai sahabat. |
![]() |
| Selesai sudah memasangnya dengan bentuk besi lipatannya dibuka luas. Sesuai untuk meletakkan barang. |
![]() |
| Ini pula dengan rupa cara besi sisinya dilipat ke dalam sesuai untuk diduduk dan membawa penumpang. |
![]() |
|
Berseri
teramat sinaran mentari,
Sinaran melantun
membawa nikmat,
Basikal
klasik senantiasa dilestari,
Hidup
bersyukur memohon rahmat.
|
Saturday, January 11, 2014
Episod Jejak Kasih: Penutup Separa Rantai Basikal
Alhamdulillah. Inilah rezeki pertama pada awal tahun
2014. Yang kian lama terpisah, akhirnya bertemu juga. Itulah dia penutup
separa rantai basikal untuk Raleigh Chrome teman yang kebelakangan ni
tidak keruan dek kerana aurat rantainya yang selama ni
terdedah dan tidak diliputi. Satu episod jejak kasih yang sebak apatah
lagi penutup rantai tersebut berkondisi baru tapi tersimpan lama (NOS) yang datang jauh
melangkaui lautan pasifik. Hakikatnya memang barang ini sudah lama dicari. (Teman mungkin silap) Tetapi berani teman katakan penutup separa rantai Raleigh Chromium yang berkeadaan NOS ini mungkin hanya tinggal kurang dari 10 unit sahaja di serata dunia ini. Hampir seluruh lubuk carian laman EBAY di serata pelusuk dunia teman selongkar tetapi begitu sukar untuk ditemui. Penat jerih mencari selama empat bulan lebih akhirnya membuahkan hasil apabila terserempak dengan seorang penjual yang selindung nun jauh di hulu benua pasifik. Walaupun harganya dapat diistilahkan "boleh tahan juga". Tetapi apabila penawaran bertemu tepat dengan kehendak, maka itulah dinamakan titik ekonomi sehaluan lagi sepakat. Lantaran itu hampir sempurnalah derajat keayuan Raleigh Boss Bike Chromium teman dengan auratnya dapat diliputi sedikit. Begitulah al kisahnya. Jom kawan-kawan, kita kayuh menuju kejesahteraan. Sekian. ;)
Tuesday, November 26, 2013
"Jajan" Aksesori Basikal Di Sana Sini
Pada kebelakangan ini, teman ada melakukan sedikit pembelian aksesori basikal klasik. Akan tetapi teman tidak kesempatan untuk menceritakannya di dalam blog ini. Seperti yang dipaparkan pada gambar di atas, aksesori tersebut merupakan sebuah beg Brooks, loceng Raleigh, pam tangan dan pelekat jenama Raleigh. Kesemua aksesori ini telah diperolehi menerusi dari laman niaga Ebay. Teman akan coretkan secara ringkas akan perihal barang-barang ini sekadar perkongsian kita bersama.
Beg Brooks ini merupakan pembelian yang paling bernilai sekali jika dibandingkan dengan pembelian yang lain. Sekian lama mengidam akhirnya diperolehi juga. Saiz muatannya yang memenuhi citarasa teman untuk digunakan ketika aktiviti berbasikal klasik. Sekadar mengisi keperluan gajet media seperti kamera digital, lensa, bateri sampingan, telefon bimbit dan sebagainya lebih-lebih lagi ketika acara kayuhan rasmi.
Loceng Raleigh Industries pula merupakan pembelian yang paling "rare" atau sukar didapati diantara pembelian yang lain. Nasib menyebelahi teman kerana terserempak dengan iklan loceng ini pada minit-minit terakhir sebelum bidaannya tamat tempoh. Dengan adanya loceng ini dapat juga menyempurnakan aksesori tambahan untuk spesifikasi basikal All Chrome Raleigh teman. Secara tidak langsung melengkapkan lagi ciri-ciri ketulenan pada basikal tersebut.
Pam tangan dan pelekat basikal jenama Raleigh merupakan pembelian yang terkini dan termurah jika dibandingkan dengan kedua-dua aksesori di atas. Memang telah lama teman impikan pam tangan berwarna krom dan berukuran pendek. Geledah punya geledah, hasilnya berbaloi juga pencarian di laman Ebay kerana dapat jumpa pam ini yang masih dalam keadaan baru tetapi stok lama "new old stock". Manakala pelekat basikal pula adalah untuk projek sampingan. Ia sekadar projek pemulihan basikal secara kecilan sahaja. Jangan khuatir. Projek ini akan didedahkan kisahnya tidak lama lagi. Tungguuuuu.
Monday, October 7, 2013
Koleksi Terbaru - Raleigh Superbe All Chrome "Boss Bike"
Pada bulan Oktober 2013 terciptanya satu sejarah yang istimewa bagi diri teman ini yang mewakili blog Budiman Berbasikal Klasik. Setelah sekian lama diri ini menceburi hobi berbasikal klasik, baru sekarang diberi ruang dan peluang untuk memperolehi sekaligus memiliki sebuah sepeda klasik yang paling lengkap, asli, tulen dan sesempurna yang belum pernah diraih sebelum ini. Alhamdulillah, rezeki hasil simpanan yang dikumpul dari tahun lepas akhirnya mencukupi untuk menampung pembelian sebuah sepeda klasik serta kos pos penghantarannya dari negara England. Baiklah cukup sekadar itu untuk bunga-bunga pendahuluan. Mari kita melangkah ke perenggan kedua dalam membicarakan tentang sinopsis profil basikal tersebut.
Ia merupakan sebuah basikal klasik tahun 1950an yang telah direstorasi oleh pemilik asalnya dari England. Basikal ini berjenama Raleigh versi Superbe, keluaran edisi khas iaitu Chromium "Boss Bike" atau All Chrome "Boss Bike". Untuk pengetahuan lanjut tentang edisi ini boleh dapatkan maklumatnya dicarian google dengan menaip "Raleigh Boss Bike". Bagi merangkumkan specifikasi basikal ini, teman catatkan butirannya secara senarai ringkas agar mudah dibaca seperti di bawah:-
- Saiz kerangka badan 23" lengkap dengan fork kekunci
- Rim Raleigh stainless steel 26 x 1 3/8" westrick
- Sturmey Archer gear 4 kelajuan
- Sturmey Archer dyno rear hub
- Sturmey Archer lampu dan mentol
- Tempat duduk Brooks B83
- Tongkat diri Raleigh
Begitulah sedikit sebanyak tentang butiran yang merangkumi spesifikasinya. Pencarian basikal klasik ini tidak lain dan tidak bukan sudah pasti dilakukan menerusi laman Ebay. Hasil dari sedikit kajian dan tinjauan yang dibuat, akhirnya teman terjumpa dengan satu iklan yang menawarkan basikal ini. Apa yang begitu menambat hati teman adalah kelainan dari segi warnanya yang jauh beza dari kelaziman basikal klasik berwarna hitam, perang atau hijau. Pada awalnya teman merasakan tidak berpeluang untuk memperolehinya kerana basikal tersebut ditawarkan secara belian bida. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada pembida tunggal yang mewakili negara Malaysia ini kerana dapat bidaan yang tertinggi dalam saat-saat terakhir sebelum tamatnya tempoh bidaan. Ramai yang bertanya tentang prosedur dan jenis kemudahan penghantaran yang digunakan. Maka pada perenggan berikut teman nukilkan.
Pertama sekali, kaedah kemudahan yang digunakan adalah melalui kapal terbang. Menerusi kapal terbang pula terdapat beberapa pilihan perkhidmatan yang disediakan seperti priority, first class, standard, international dan sebagainya. Oleh kerana teman tidak pernah memiliki pengalaman dalam urusan pengeposan basikal dari luar negara, penjual basikal tersebut mencadangkan perkhidmatan jenis priority menerusi syarikat Fadex. Ia merupakan diantara pilihan yang agak tinggi kosnya kerana pos jenis ini diberi keutamaan dan dijamin sampai terus ke depan pintu dalam kurang 14 hari. Memang tidak disangkal lagi kerana basikal ini selamat sampai ke pangkuan teman dalam tempoh 9 hari sahaja tanpa ada sebarang kos tambahan seperti cukai, duti kastam dan sebagainya.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Begitulah peribahasa yang membawa maksud jika pengetahuan itu sedikit, jangan berani buat sesuatu yang besar. Peribahasa ini ditujukan khas buat diri teman sendiri yang belum cukup mahir dalam kemahiran memasang basikal. Apatah lagi basikal klasik yang mempunyai gear dan hub. Mujur teman mengenali seorang pakcik yang mengusahakan sebuah kedai basikal yang bercirikan antik di Bukit Naga, Shah Alam. Pakcik ini atau lebih serasi dipanggil Uncle Ng merupakan seorang pengusaha yang cukup luas pengetahuannya tentang serba-serbi basikal klasik. Ini terbukti bilamana pemasangan basikal Raleigh Boss Bike dipasang dengan begitu tertib dan terkendali. Katanya sudah hampir 6 tahun beliau tidak bertemu atau berpeluang untuk mengelolakan sebuah basikal klasik Raleigh yang lengkap. Satu penghargaan bagi teman serta seribu imbalan penghormatan buat Uncle Ng. Thank you uncle.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Begitulah peribahasa yang membawa maksud jika pengetahuan itu sedikit, jangan berani buat sesuatu yang besar. Peribahasa ini ditujukan khas buat diri teman sendiri yang belum cukup mahir dalam kemahiran memasang basikal. Apatah lagi basikal klasik yang mempunyai gear dan hub. Mujur teman mengenali seorang pakcik yang mengusahakan sebuah kedai basikal yang bercirikan antik di Bukit Naga, Shah Alam. Pakcik ini atau lebih serasi dipanggil Uncle Ng merupakan seorang pengusaha yang cukup luas pengetahuannya tentang serba-serbi basikal klasik. Ini terbukti bilamana pemasangan basikal Raleigh Boss Bike dipasang dengan begitu tertib dan terkendali. Katanya sudah hampir 6 tahun beliau tidak bertemu atau berpeluang untuk mengelolakan sebuah basikal klasik Raleigh yang lengkap. Satu penghargaan bagi teman serta seribu imbalan penghormatan buat Uncle Ng. Thank you uncle.
Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang boleh dikongsikan mengenai ceritera Raleigh Superbe Boss Bike ini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak menjawab persoalan yang dilontarkan kepada teman oleh sahabat-handai seperjuangan tentang koleksi terbaru ini. Sekadar yang termampu demi minat dan hobi. Alah membeli, menang memakai. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Salam bulan Zulhijjah dan selamat menyambut Aidul Adha. Dengan rasa rendah dirinya, berikut diperkongsikan gambar-gambar koleksi basikal klasik terkini Budiman Berbasikal Klasik - Raleigh Superbe All Chrome Boss Bike. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih besar dan jelas. Selamat menjamu mata. ;)
Saturday, July 20, 2013
Barang Baik Sudah Tiba
Barang baik apakah yang dimaksudkan? Barang baik yang dimaksudkan itu merupakan sebuah replika hiasan basikal klasik yang diperbuat daripada tembaga. Besar juga ukurannya dengan panjang 19 inchi dan tinggi 11 inchi. Sepanjang pembelian dari Ebay UK, inilah barang yang memakan tempoh masa paling lama untuk sampai ke pangkuan teman. Ingatkan ditipu atau silap pos. Hampir sebulan lebih menunggu akhirnya mendarat juga ke bumi Malaysia. Sekadar untuk menceriakan hiasan di ruang tamu sempena menyambut raya nanti. Nak letak koleksi basikal yang betul di ruang tamu dikhuatiri tak muat pula. Maka yang mini replika pun jadilah. ;)
Saturday, April 27, 2013
Penyuluh Di Waktu Malam
Apa khabar para pelawat sekalian? Semoga sihat selalu dan sejahtera hendaknya. Biasakah para pembaca sekalian melakukan aktiviti kayuhan basikal pada waktu malam? Agak jarang rasanya. Selalunya waktu malam diluangkan masa bersama seisi rumah atau ahli keluarga. Apatah lagi pada hari-hari bekerja bilamana waktu malamlah tempoh yang diperlukan untuk berehat sebelum menyambung tugasan mencari rezeki pada keesokan harinya.
Bagi sesetengah individu, kayuhan pada waktu malam boleh dijadikan sebagai aktiviti yang kerap dengan pelbagai tujuan. Ada yang kayuh ke lorong depan taman untuk membeli burger. Ada pula yang kayuh ke kedai runcit berhampiran untuk membeli sebuku roti sebagai hidangan sarapan esok hari. Ada yang kayuh santai sekadar untuk mengambil angin malam. Jiran teman sebagai contohnya, menggunakan medium berbasikal untuk menghantar anaknya pergi ke pusat tusyen yang berdekatan pada waktu malam. Teman pula seperti kebanyakan jiran-jiran setempat yang lain menggunakan basikal untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib dan Isya.
Rata-rata dalam pemerhatian teman hampir 90% kegunaan basikal pada waktu malam tidak memasang atau menggunakan lampu. Paling tidaknya hanya pemantul cahaya (reflector) yang sekadar memberi sedikit pancaran cahaya apabila dipantulkan pada lampu. Sama jugalah pada basikal klasik teman ini yang menggunakan lampu berkuasa dynamo biasa. Dari segi keselamatan, pencahayaannya tidak begitu praktikal kerana cahaya hanya akan terhasil apabila basikal dikayuh. Jika dikayuh secara perlahan maka malaplah penjanaan cahaya lampunya.
Oleh itu teman telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan sebuah lampu basikal yang berkuasa bateri. Masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk dinamo klasik tetapi kelebihannya adalah menggunakan lampu LED. Lampu baru tersebut sudah pun dipasang pada salah sebuah basikal klasik teman. Memang begitu terang benderang apabila dinyalakan ketika waktu gelap. Maka kayuhan di waktu malam selepas ini akan memberi lebih keyakinan dan keselesaan. Terang pemandangan, menajamkan pengamatan. Demi keselamatan.
Oleh itu teman telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan sebuah lampu basikal yang berkuasa bateri. Masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk dinamo klasik tetapi kelebihannya adalah menggunakan lampu LED. Lampu baru tersebut sudah pun dipasang pada salah sebuah basikal klasik teman. Memang begitu terang benderang apabila dinyalakan ketika waktu gelap. Maka kayuhan di waktu malam selepas ini akan memberi lebih keyakinan dan keselesaan. Terang pemandangan, menajamkan pengamatan. Demi keselamatan.
Sunday, April 7, 2013
Pelekat Robin Hood
Pada hujung minggu ini, sedikit sesi restorasi atau baik pulih telah dilakukan pada basikal klasik teman. Seperti paparan gambar di atas, satu bungkusan yang mengandungi set sempurna pelekat Robin Hood telah sampai ke pangkuan teman. Pembelian dari laman maya ini bertujuan untuk melengkapkan label-label pelekat basikal yang kekosongan pada basikal teman yang satu ini. Lantaran itu penampalan pelekatnya dilaksanakan dengan penuh teliti lagi perinci berdasarkan ciri-ciri asli lokasi label jenama basikal tersebut. Maka bertambah anggunlah hendaknya pengangkutan teman ini. Bagaimana pula anda meluangkan masa di hujung minggu bersama basikal anda? Sekali sekala kena dibelai juga. Jika tidak takut merajuk pula nanti. Sekadar perkongisan di hujung minggu. Sekian.
Wednesday, November 28, 2012
Rintihan Dan Keluhan Basikal Tuaku Di Musim Hujan
Di musim hujan ni, cuaca kerap kali sejuk, nyaman dan dingin. Ikim persekitaran pun sekali-sekala lembab, basah dan lenjun. Dalam suasana atmosfera sebegini, ada waktu tertentu kadang kala menggigil dan menggeletar juga dibuatnya. Oleh itu, selubungkanlah, selaputkanlah, balutkanlah serta selimutkanlah daku ini wahai tuan empunya basikal klasik.
Monday, November 12, 2012
Terserempak Dengan Entiti Yang Luar Biasa
Menyusuri perjalanan pulang dari pejabat teman di Shah Alam. Jam menunjukkan hampir pukul enam petang. Cuaca sejuk, nyaman bersulam dengan angin dingin sepui bahasa. Maklumlah baru lepas usai hujan lebat. Di suatu selekoh dalam pemanduan pulang ke rumah itu, tumpuan mata teman dicuri oleh suatu entiti yang juga menyusuri di jalan yang sama. Begitu pegun dan terpesona teman dibuatnya. Mana taknya, bukan selalu boleh terserempak dengan entiti tersebut. Lebih-lebih lagi di tengah bandar metropolitan yang serba moden ini.
Terpesonanya teman hinggakan berusaha sedaya upaya sambil memandu untuk menangkap foto entiti tersebut. Berkat ketenangan dan tidak gopoh-gapah, akhirnya berjaya juga dalam tempoh detik berselisih yang singkat itu, menangkap gambar entiti tersebut untuk dikongsikan bersama dalam blog ini. Maka di bawah inilah gambarnya yang teman maksudkan sebagai entiti itu. Apa lagi teman boleh katakan; orang biasa, tegah biasa. Kudrat biasa, basikal tua luar biasa.
Terpesonanya teman hinggakan berusaha sedaya upaya sambil memandu untuk menangkap foto entiti tersebut. Berkat ketenangan dan tidak gopoh-gapah, akhirnya berjaya juga dalam tempoh detik berselisih yang singkat itu, menangkap gambar entiti tersebut untuk dikongsikan bersama dalam blog ini. Maka di bawah inilah gambarnya yang teman maksudkan sebagai entiti itu. Apa lagi teman boleh katakan; orang biasa, tegah biasa. Kudrat biasa, basikal tua luar biasa.
Thursday, November 1, 2012
Foto Basikal Klasik Ku Edisi November 2012
Teman mulakan pengisian pertama dalam bulan November ini dengan perkongsian gambar-gambar terkini basikal klasik teman. Walaupun bulan ini dijangka dan diramalkan lebih banyak penurunan hujan akan berlaku berbanding bulan lepas, semoga blog ini teman mampu mengarang pengisian artikel-artikel yang bermanfaat tentang segala serba-serbi hobi berbasikal klasik. Mudah-mudahan terhiburlah hendaknya para pembaca serta pengunjung yang budiman sekalian. Buat sementara waktu ini marilah sama-sama kita menjamu mata dengan paparan gambar basikal klasik teman yang terkini.

Wednesday, October 3, 2012
Tempat Duduk Basikal Tua Dari India
Pengisian artikel pertama di bulan Oktober ini teman ingin kisahkan tentang penggantian kepada tempat duduk basikal tua yang baru. Diperolehi menerusi pembelian di laman internet seperti biasa. Tempat duduk ini telah lama teman idamkan kerana ia mempunyai besi lingkaran spring yang besar. Bahkan yang terbesar diantara semua jenis tempat duduk basikal tua yang ada di pasaran. Diperbuat khas dari negara India. Begitu padan serta tampak gah apabila dipasangkan pada basikal tua teman yang sememangnya besar bersaiz 28. Tempat duduk yang lama pun teman sudah jual pada rakan seperjuangan. Lepas ni boleh kayuh lebih jauh lagi memandangkan ada penambahan dari segi keselesaan.
Friday, September 21, 2012
Plat Nombor Lesen Basikal Tua
Sekadar berkongsi cerita dan mengemaskini blog. Sebelum berlangsungnya acara himpunan basikal tua terbesar MBoR di Melaka pada 16 September 2012 yang lalu, teman masih ada menerima beberapa barang aksesori basikal tua yang dibeli dari beberapa rangkaian pengiklanan di laman web. Semua aksesori tersebut juga bertujuan untuk menggilap dan melengkapkan lagi kesempurnaan basikal teman sempena acara MBoR yang lalu.
Teman telah terima satu lagi bungkusan yang seperti biasa datang jauh dari negara England. Agak sukar dan susah juga untuk dapatkan barang tersebut kerana ramai dari pelusuk negara yang inginkannya juga. Maka terpaksalah barang tersebut dibida. Alhamdulillah, rezeki teman untuk memperolehinya kerana berjaya mendapat bidaan yang tertinggi pada saat terakhir.
Maka inilah aksesori tersebut iaitu merupakan tag plat lesen basikal yang tertera perkataan "Bicycle Garden City 6669". Bukan setakat plat lesen itu yang teman inginkan, malah menyangkut klipnya juga merupakan barang yang diburui ramai peminat tegar basikal tua kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Malah boleh dikatakan hampir tiada dijual di mana-mana ceruk pasaran. Platnya pun teman dah pasangkan di bahagian hadapan basikal seperti yang terdapat pada gambar di atas. Lepas ni nak bawa siar-siar di kawasan taman perumahan pula. Hingga kita bersua lagi.
Thursday, September 13, 2012
Lampu Ala Dynamo Dengan Kuasa Bateri
Inilah dia lampu yang seiras dengan lampu dynamo basikal tua. Bezanya lampu ini hanya menggunakan dua biji bateri saiz 9v. Seperti yang tertera pada gambar di atas, lampu ini teman perolehi melalui laman ebay dan jualannya datang jauh dari negara England. Apa yang unik pada lampu ini adalah ia mempunyai tiga gaya nyalaan lampu. Berserta dengan tiga petikan suis untuk nyalaan kecil, besar atau kedua-duanya sekali. Maka dengan ini basikal tua teman sudah mempunyai dua jenis lampu yang dipasang pada bahagian hadapan. Lepas ni kena lebih kerap berkayuh malam nampak gayanya.
Wednesday, September 12, 2012
Tempat Letak Cukai Jalan / Lesen Pada Basikal Tua
Terdapat penambahan aksesori pada basikal tua teman. Iaitu tempat letak cukai jalan atau lesen pada basikal tua. Lebih mesra dikenali dengan roadtax holder. Teman baru je dapat semalam melalui sahabat teman dari Klang dengan harga yang teramat berpatutan. Ternyata bukan mudah nak cari roadtax holder untuk basikal pada ketika ini. Terdapat beberapa spot atau tempat yang boleh dijangkukkan pemegangnya pada basikal tua seperti pada skru rim tayar, skru antara palang badan basikal dengan handle depan dan pada skru di bawah tempat duduk.
Rata-rata kebanyakkan yang teman perhatikan lazimnya diletakkan pada skru di bawah bahagian tempat duduk seperti pada gambar basikal teman yang baru sahaja diletakkan. Cuma sekarang ni belum ada tertera apa-apa tajuk pada slotnya. Kalau-kalau ada pembaca yang bermurah hati ingin mendermakan kepingan kad yang bersesuai untuk diletakkan pada holder tersebut, luas tapak tangan teman hulurkan. =P
Monday, September 10, 2012
Pendedahan Basikal Tuaku Yang Terkini
Detik yang dinantikan selama ini akhirnya telah tiba. Pendedahan basikal tua teman yang selama ini disebut-sebut sudah pun dipaparkan dalam ruangan ini seperti gambar-gambar dibawah. Inilah basikal tua bersaiz 28 teman yang melalui beberapa fasa restorasi seperti yang telah teman ceritakan pada artikel-artikel yang lalu.
Sememangnya kita perlu tekun, berfikiran kreatif dan tidak mudah putus asa dalam usaha mencari serta membaik tambah benda-benda yang berkhazanah antik seperti basikal tua. Maka kesannya sungguh berbaloi dan berpuas hati. Biarlah gambar-gambar tersebut menceritakan segalanya tentang projek restorasi yang boleh dikatakan 90% hampir lengkap. Bagi paparan yang lebih besar sila klik pada gambar tersebut. Selamat menjamu mata.
Saturday, September 8, 2012
Emblem & Decal BSA Sudah Diterima
Penantian
lebih kurang 40 hari akhirnya berbaloi jua. Maka telah diketuk pintu
pejabat ku dengan kedatangan seorang posto menghantar barang yang
bernilai serta tidak dapat ditemui di Malaysia. Dua barang inilah
penyumbang terbesar dalam melengkapkan projek restorasi basikal tua
teman yang terbaru. Seperti tertera pada gambar di atas barang tersebut
adalah emblem BSA dan pelekat decal BSA. Sememangnya terbaik. Jangan
lupa saksikan pendedahan basikal tua teman yang terkini tidak lama lagi.
Tungggguuuuu.
Sunday, August 26, 2012
Lampu Antik Basikal Tua Telah Sampai
Satu lagi barang untuk aksesori basikal tua teman telah sampai. Datangnya jauh dari hujung utara sana. Mana lagi kalau tak diketemukan melalui laman iklan Mudah. Inilah dia lampu antik bersuis yang menggunakan bateri. Lampu ini akan digantikan dengan lampu dynamo sedia ada yang agak uzur dan hampir rosak, Lagi pun lampu bateri ni jauh lebih terang berbanding lampu dynamo tersebut. Dari segi kelebihannya lampu ni boleh dipasang mengikut kesuaian suasana dan tak perlu menggunakan tenaga kayuhan bagi menyalakan lampunya seperti lampu dynamo. Lagi pun teman suka dengan reka bentuknya yang berempat segi serta tampak unik berbanding lampu dynamo yang begitu umum sekali reka bentuknya. Ternyata ini semua mengikut cita rasa masing-masing. Nantikan gambar basikal tua teman tidak lama lagi. Sekarang masih menunggu beberapa barang aksesori bagi melengkapkan lagi ketampanan basikal tua teman. Tungguuuuu.
Friday, August 24, 2012
Pam Tangan Putih Sudah Sampai
Barang yang dipesan dan dibeli dari laman Mudah telah sampai ke pangkuan teman. Pam tangan antik untuk basikal tua telah lama teman buru. Memang banyak dan senang untuk ditemui lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan pengiklanan di laman web. Tapi jenis yang teman idamkan adalah pam tangan yang berwarna putih. Setelah lama bertungkus-lumus memburu di beberapa laman carian, akhirnya sasaran diketemukan jua. Diatas adalah tangkapan gambar pam tersebut yang baru saja sampai. Nantikan episod seterusnya dimana banyak lagi pencarian aksesori untuk dilengkapkan pada basikal tua teman. Setelah lengkap atau setidaknya hampir lengkap nanti, teman akan siarkan basikal tua teman. Tungguuuu.
Subscribe to:
Posts (Atom)
























