Saturday, April 27, 2013

Penyuluh Di Waktu Malam

Apa khabar para pelawat sekalian? Semoga sihat selalu dan sejahtera hendaknya. Biasakah para pembaca sekalian melakukan aktiviti kayuhan basikal pada waktu malam? Agak jarang rasanya. Selalunya waktu malam diluangkan masa bersama seisi rumah atau ahli keluarga. Apatah lagi pada hari-hari bekerja bilamana waktu malamlah tempoh yang diperlukan untuk berehat sebelum menyambung tugasan mencari rezeki pada keesokan harinya.

Bagi sesetengah individu, kayuhan pada waktu malam boleh dijadikan sebagai aktiviti yang kerap dengan pelbagai tujuan. Ada yang kayuh ke lorong depan taman untuk membeli burger. Ada pula yang kayuh ke kedai runcit berhampiran untuk membeli sebuku roti sebagai hidangan sarapan esok hari. Ada yang kayuh santai sekadar untuk mengambil angin malam. Jiran teman sebagai contohnya, menggunakan medium berbasikal untuk menghantar anaknya pergi ke pusat tusyen yang berdekatan pada waktu malam. Teman pula seperti kebanyakan jiran-jiran setempat yang lain menggunakan basikal untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib dan Isya.

Rata-rata dalam pemerhatian teman hampir 90% kegunaan basikal pada waktu malam tidak memasang atau menggunakan lampu. Paling tidaknya hanya pemantul cahaya (reflector) yang sekadar memberi sedikit pancaran cahaya apabila dipantulkan pada lampu. Sama jugalah pada basikal klasik teman ini yang menggunakan lampu berkuasa dynamo biasa. Dari segi keselamatan, pencahayaannya tidak begitu praktikal kerana cahaya hanya akan terhasil apabila basikal dikayuh. Jika dikayuh secara perlahan maka malaplah penjanaan cahaya lampunya. 

Oleh itu teman telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan sebuah lampu basikal yang berkuasa bateri. Masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk dinamo klasik tetapi kelebihannya adalah menggunakan lampu LED. Lampu baru tersebut sudah pun dipasang pada salah sebuah basikal klasik teman. Memang begitu terang benderang apabila dinyalakan ketika waktu gelap.  Maka kayuhan di waktu malam selepas ini akan memberi lebih keyakinan dan keselesaan. Terang pemandangan, menajamkan pengamatan. Demi keselamatan.



No comments:

Post a Comment