Saturday, May 31, 2014

Video Acara Hari Muzium Antarabangsa


Video Kayuhan Hari Muzium Kebangsaan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Berbasikal klasik mencari makan,
Bergaya seperti seorang wira,
Selamat menonton teman ucapkan,
Moga diiring rasa gembira.

Itulah dia video kayuhan bagi acara Hari Muzium Antarabangsa. Video ini telah disunting sekemas mungkin yang merangkumi pelbagai adegan dan aktiviti dari awal pagi acara hinggalah hampir tamat acara disebelah petang. Tayangan yang berlangsung selama tujuh minit ini juga telah diperhalusi mutunya dengan paparan berdefinisi tinggi. Semoga terhibur dan selamat menonton.

Secara tidak langsung petikan ini juga menjadi penutup bagi edisi bulan Mei 2014. Sebagai keseluruhannya ia merupakan bulan yang boleh diklasifikasikan sebagai bulan yang aktif dengan kegiatan-kegiatan berbasikal yang berstatus acara rasmi. Satu perkembangan yang sihat kepada penggiat berbasikal klasik di luar sana. Budiman Berbasikal Klasik ingin membuat pengumuman bahawa blog ini akan berehat seketika dari segi pengisiannya untuk keseluruhan bulan Jun 2014. Ini kerana teman telah dipertanggungjawabkan dengan beberapa komitmen besar yang perlu dilaksanakan pada bulan Jun ini. Jangan bimbang wahai para pembaca yang budiman sekalian. Teman akan kembali dengan pelbagai warna warni perkongsian menarik pada bulan berikutnya iaitu Julai 2014. Semoga setia menunggu dan sabar menanti akan muat turun artikel seterusnya. Salam beristirehat.

Wednesday, May 21, 2014

Pengalaman Menyertai Acara Hari Muzium Antarabangsa

Muzium. Kali terakhir teman melawat ke muzium adalah sekitar tujuh tahun lepas. Seingat teman pada ketika itu ada pameran mengenai Khazanah Alam dan Mistik yang diadakan di Muzium Alam Shah, Shah Alam. Rasanya dalam hidup teman setakat blog ini ditulis, baru empat kali sahaja teman pernah menjejakkan kaki ke muzium. Dua kali di Muzium Negara dan dua kali di Muzium Shah Alam. Itu pun rata-ratanya melalui program rombongan sekolah. Tak tahu bilalah teman nak bertandang ke muzium jika tiada anjuran dari rombongan sekolah seperti dulu kala. Baru-baru ni pun teman telah memperolehi satu maklumat baru yang selama ni teman tak pernah tahu menahu pun. Segan juga nak beritahu. Umur dah besar panjang, baru sekarang berpeluang meraih maklumat tersebut. Tetapi itulah hakikatnya. Dalam tempoh hayat teman hingga ke saat ini, belum pernah teman mengetahui rupa-rupanya wujud sambutan Hari Muzium Antarabangsa. Jika tidak dek penyertaan bagi acara kayuhan basikal klasik sempena ulangtahun Hari Muzium Antarabangsa, maka tiadalah teman tahu akan wujudnya keraian tersebut.

Hujan. Dari dulu sampai sekarang rata-rata orang mengatakan cuaca tidak keruan. Yang sepatutnya lumrah musim panas, tiba-tiba bersilih ganti sebaliknya. Sejauh diri ini menyertai mana-mana acara rasmi berbasikal klasik dari yang terawal hingga yang terkini, rasanya baru dua kali sahaja sesuatu program tersebut terpaksa ditunda dek kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Apa lagi jika bukan hujan lebat. Program yang teman maksudkan itu adalah dari acara Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013. Dan yang terbaru menerusi acara yang teman tengah karangkan ini. Begitulah kenyataannya. Kayuhan yang sepatutnya bermula sekitar jam sembilan pagi terpaksa ditangguh akibat hujan lebat. Mujur juga hujan hanya mulai turun sekitar jam sembilan pagi kerana pada ketika itu para peserta telah pun selesai menguruskan proses pendaftaran, sarapan pagi dan susun atur formasi basikal. Jika ditakdirkan hujan turun mulai sekitar jam 8 pagi, alamatnya para peserta terpaksa berperap di dalam kenderaan masing-masing bersama basikal klasik yang dicintai hinggalah hujan reda. Alhamdulillah, yang turun membasahi akhirnya berhenti kering juga. Walaupun kami terpaksa menunggu di bawah khemah hampir selama satu jam setengah. Tapi penungguan bersama rakan taulan di sisi memang berbaloi.

Sebelum berceloteh panjang, izinkan teman mengekspresikan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan acara ini. Turut tidak ketinggalan adalah Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis Meru yang telah menjadi dalang pengantara yang menghubungkan kami semua terus kepada acara tersebut. Terima kasih daun keladi, jika boleh kami mahu lagi. Ini merupakan kali pertama Budiman Berbasikal Klasik merasai suasana kayuhan di sekitar bandaraya Shah Alam. Sudah lama teman menyimpan hajat untuk menikmati pengalaman berkayuh basikal klasik terutamanya di sekitar taman tasik Shah Alam. Sebagai maklumat tambahan, lorong laluan khas untuk berbasikal telah pun dibina dan dilaksanakan di sekitar taman tasik ini. Satu berkembangan sihat dan berita baik yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pengayuh basikal tegar. Berbalik kepada kisah kayuhan teman, jalan-jalan yang kami lalui semasa berbasikal adalah menerusi jalan di sepanjang persisiran Masjid Negeri, melewati kawasan seksyen 2 berdekatan UiTM, menyelusuri jalan di taman tema air Wet World serta bangunan PKNS, melintasi jalan berhadapan bangunan MBSA dan kembali semula ke tapak acara Muzium Alam Shah. Jarang sekali teman merasai suasana kayuhan pada waktu betul-betul usai hujan lebat. Iklim sejuk yang membawa angin dingin bagai berada di negara Amsterdam pula.

Banyak masa kami diluangkan dengan aktiviti bebas. Selesai sahaja kayuhan pada sesi pagi itu, kami menyisihkan beberapa bahagian waktu yang ada dengan pelbagai kegiatan santai. Sudah tentu rata-rata dari kami tidak melepaskan peluang berkunjung masuk ke Muzium Alam Shah. Terdapat juga pameran-pameran seperti kraftangan, barangan antik, pertunjukkan kebudayaan silam dan semasa serta pelbagai lagi demontrasi yang berkaitan dengan program Hari Muzium Antarabangsa dipertontonkan. Semua pameran tersebut ditempatkan di sekitar perkarangan Muzium Alam Shah. Teman mengambil kesempatan masa yang ada dengan menyelongkari khazanah-khazanah alam semula jadi di kawasan sekeliling Taman Tasik Shah Alam. Jika ada di antara kalian yang pernah pergi ke negara Ireland pada musim sejuk atau luruh, mungkin dapat bayangkan persamaan metafora yang cuba teman tampilkan. Syahdu saja sanubari hati ini melayan kehijauan flora dan fauna bercampur dengan suasana atmosfera selepas hujan yang sejuk. Kaget dan terpesona dibuatnya.

Acara kemuncak untuk kumpulan basikal klasik adalah pada sebelah tengah hari dimana kumpulan basikal klasik diberi penghormatan untuk berbasikal sambil mengiring ketibaan tetamu-tetamu kehormat ke pentas utama. Walaupun jarak kayuhannya tidak jauh, tapi peluang berarak bersama tetamu kehormat mencetuskan satu lagi perkembangan positif bagi persepsi dan cerapan masyarakat awam terhadap kemartabatan basikal klasik yang masih utuh dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Begitulah inspirasi yang senantiasa ingin diketengahkan oleh blog Budiman Berbasikal Klasik untuk para pengunjung semua. Program pada hari tersebut berlanjutan hingga tamat ke lewat petang dengan aktiviti bebas santai. Secara keseluruhannya ia merupakan satu lagi acara berbasikal klasik seperti acara-acara sebelum ini yang berkesudahan dengan sempurna dan tiada cacat celanya. Cukup manis untuk dijadikan kenangan indah buat diri teman dan sekurang-kurangnya memberikan teman aspirasi agar melawat muzium di masa akan datang. 

Tiadalah teman berniat ingin mencuri masa panjang dari para pembaca sekalian. Walaupun keghairahan ingin menaip lagi dan lagi itu terlalu memuncak. Pernah teman selidiki bahawa ada kajian yang merumuskan majoriti pembaca blog hanya selesa dan bertahan sebelum bosan dengan pembacaan artikel yang kurang dari empat ratus patah perkataan. Maka pertontonkanlah pula kepingan-kepinganan gambar yang dimuat-turunkan seperti berikut. Mudah-mudahan ia dapat menggantikan kaedah metode dari pembacaan pra kata kepada penceritaan menerusi ragam pola dari foto-foto tersebut. Semoga kita berjumpa lagi di waktu terdekat nanti. Ayuh teruskan kayuhanmu walau di mana jua. Berbasikal ke hulu hingga ke rumah nyonya, marilah kita lestarikan hobi ini sambil memeriahkannya. 

Menunggu dengan ghairah dan bersiap sedia sebelum pelepasan kayuhan.
Tiga sekawan yang secucuk, sepadan, seiras, serasi dan sekelas gitu.
Kak Aida, suaminya abang Azizan serta sebahagian dari anak-anak mereka memeriahkan lagi suasana.
Bersama abang Ajis dan segelintir dari keluarganya. Tahniah abang Ajis kerana menjuarai busana terbaik.
  
Wakil-wakil dari daerah Klang. Northport dan Port Swettenham Classic Bicycle.

Saudara Ikhwan dengan gaya unggulnya di atas motorsikal klasik.
Gaya-gaya yang tersendiri lagi esklusif dari rakan taulan. Merancakkan lagi suasana acara.
Kayuhan santai di pagi hari selepas hujan lebat. Kayuhan  yang sejuk, dingin, segar dan nyaman.
Apakah perkataan selfie untuk bahasa melayu? Sekali sekala teringin juga berselfie sambil mengayuh basikal.
Mengenangkannya selalu. Dalam ingatan tercipta kenangan.
 

Thursday, May 15, 2014

Kempen Menyokong Kayuhan Sempena Hari Muzium Antarabangsa


Shah Alam, bandaraya bunga anggerik. Teman bekerja mencari rezeki di Shah Alam. Teman bersolat Jumaat juga di Masjid Negeri Shah Alam. Kedai restoran kegemaran teman juga terletak di Shah Alam. Teman hantar kereta untuk servis dan penyelenggaraan pun di Shah Alam. Hatta bekas-bekas buah hati teman pun............ eh maaf kawan-kawanku, yang itu rahsia. Pokok pangkalnya serba serbi urusan harian duniawiku rata-ratanya hanya berpusar di Shah Alam sahaja. Dan ia merupakan bandaraya kegemaran teman sejak berkurun lamanya. Penulisan teman pada saat ini membuatkan teman merasa begitu teruja dan mengasyikan. Ini kerana ada pengumuman penting yang ingin teman sampaikan.

Sukacita teman ingin memaklumkan bahawa pada hari Sabtu bersamaan 17 Mei 2014 ini, akan berlangsungnya satu acara kayuhan berbasikal klasik bersempena dengan Hari Muzium Antarabangsa. Acara yang diundang sama oleh Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis ini akan diadakan di perkarangan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan khususnya kepada pemilik-pemilik basikal klasik yang dijangkakan bermula dari jam lapan pagi hinggalah jam lima petang. Oleh itu Budiman Berbasikal Klasik dengan ini menyokong sekaligus akan menyertai program Kayuhan Hari Muzium Antarabangsa. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda wahai rakan-rakanku seklian. Bersama kita bersiar dengan penuh gaya di atas basikal berestatika klasik. Jom pakat ramai-ramai kita mencari dan memetik kuntum-kuntum bunga anggerik yang wangi, segar lagi membugarkan di sekitar tasik Shah Alam yang indah permai itu.

Sunday, May 11, 2014

Video Kayuhan KL Pagi Bebas Kenderaan


Kayuhan KL Pagi Bebas Kenderaan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Budiman Berbasikal Klasik dengan santainya memperkongsikan video serba ringkas bersempena program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan edisi ke lima. Video berdurasi selama empat minit lebih ini telah disunting dengan sebaik mungkin untuk dipapar suaikan dalam tayangan berdefinisi tinggi. Rakaman yang disediakan sewajibnya khusus pada adegan-adegan semasa kayuhan dan juga aktiviti-aktiviti sampingan yang berkaitan dengannya. Sungguh besar harapan teman kiranya video-video yang dimuat-naikkan ini dapat memberikan para pelawat sekalian inspirasi agar turut serta bergiat menjalankan aktiviti sihat dengan berbasikal. Tidak kiralah walau apa jua jenis basikal sama ada moden, klasik mahupun yang kontemporari. Semoga kita bersua lagi dengan pelbagai perkongsian yang beraneka gaya dan corak demi memenuhi citarasa sahabat handaiku sekalian. Ada satu lagi acara rasmi berbasikal klasik yang agak bernilai, utama dan istimewa statusnya. Dijangkakan akan berlangsung dalam pertengahan bulan ini. Nantikan pengumumannya dalam tempoh masa yang singkat ini. Tungguuuuuu.

Tuesday, May 6, 2014

Pengalaman Menyertai KL Pagi Bebas Kenderaan

Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee. Jalan-jalan yang diutarakan ini merupakan diantara laluan tersibuk dan tersesak di bumi Malaysia yang bertuah ini. Hampir sepanjang waktu siang harinya (pada hari bekerja) laluan-laluan ini tidak pernah lekang dengan kepadatan kenderaan yang berasak-asak memenuhi ruang jalan tarnya. Kepada pengguna jalanraya yang telah biasa atau terpaksa melaluinya mungkin tahu gelaran-gelaran yang diberikan kepada jalan-jalan tersebut. Antaranya ialah jalan stress, jalan tension, jalan pening kepala, jalan merangkak, jalan ya ampun dan pelbagai lagi gelaran yang menjerumus kepada ungkapan-ungkapan negatif. Akan tetapi ketahuilah wahai pengunjung-pengunjung setiaku sekalian, ada satu hari dalam setiap bulan laluan-laluan tersebut bertukar wajah menjadi sebaliknya. Yakni satu hari yang jatuhnya pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan. Pada hari tersebut untuk tempoh dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, jalan-jalan ini dikosongkan, dilengangkan serta dikhaskan untuk aktivti-aktivti beriadah seperti berbasikal dan seangkatan dengannya. Itulah dia program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan (KL Car Free Morning).

Walau rintangan mendatang haruslah cekal,
Terkenang nostalgia bersama si dia,
Pergi riadah sambil mengayuh basikal,
Bertemu sahabat penghilang kerinduan jua.
 
Alkisah telah berlangsunglah acara ini pada 4 Mei 2014 yang lalu. Sehingga bulan Mei ini, ia merupakan edisi ke lima yang membawa maksud sudah lima kali acara ini diadakan sejak perasmian pertamanya pada bulan Januari 2014. Nama sahaja jejaka Lembah Klang. Ironiknya teman yang telah lama bermukim di Lembah Klang ini baru berpeluang untuk menyertai acara tersebut buat pertama kalinya. Tercapai juga hajat ingin berkayuh seiringan bersama sahabat handai barisan hadapan atau lebih mesra dikenali sebagai Frontliners. Mereka inilah yang senantiasa membarisi barisan hadapan pada mana-mana acara kayuhan basikal klasik. Mereka jugalah yang senantiasa menyerikan sesuatu acara itu dengan peragaan busana-busana yang hebat-hebat belaka. Kali terakhir teman bersemuka dengan mereka adalah pada 21 Disember 2013 iaitu menerusi acara Festival Antarabangsa Petaling Jaya. Terurai juga kerinduan untuk beriadah bersama mereka. 

Tengok teater sambil makan coklat,
Bersama si dia sarat dengan bakat, 
Biarpun payah mahupun lelah penat,
Basikal tetapku kayuh dengan semangat.

Seperti kelazimannya, jika program tersebut berunsurkan penyertaan bebas, maka ramailah mereka yang terdiri daripada penunggang basikal gunung serta basikal lumba. Bukan sekadar pengangkutan basikal sahaja yang memeriahkan acara ini. Terdapat pelbagai aneka pengangkutan yang berunsurkan sukan serta riadah turut tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti sihat ini. Antaranya yang teman perasan ialah kasut roda, papan luncur, papan selaju dan yang paling teman teruja ialah segolongan ahli-ahli yang menggunakan kerusi roda. Tinggi sungguh semangat mereka. Kudrat tangan mereka menolak kerusi roda itu sejauh beberapa kilometer memberi tamparan hebat buat diri teman yang hanya berlonglai mengayuh pedal basikal. Tak tahu mengapa, teman rasa segan pula bila berselisih apatah lagi bila ingin memintas mereka. Tersipu dibuatnya. Scara keseluruhannya, ia merupakan aktiviti santai yang diwarnai dengan pelbagai kegiatan bersuasanakan bangunan-bangunan pencakar langit. Jika anda ingin melepaskan kegeraman anda dalam menghadapi kesesakan lalu lintas sepanjang lima hari bekerja dalam seminggu, maka aktiviti seperti ini amat sesuai untuk diikuti. Sekurang-kurangnya kegiatan santai ini dapat mengecaskan semula diri anda dengan aura-aura positif. Bekalan yang amat diperlukan bagi sesiapa yang sering mengharungi hari-hari mendatangnya dengan pelbagai ragam kesibukan Kuala Lumpur.  Setakat itulah sahaja yang terdaya teman coretkan buat masa ini. Masa untuk beradu bermimpikan puteri impian. Pelbagai petikan menarik akan teman kongsikan lagi dalam masa terdekat nanti. Selamat bercengkarama.


Pakaian kapas menjadi hiasan,
Sedap dipakai mendamaikan jiwa,
Aktiviti riadah pencetus wawasan,
Pastinya lahir insan berwibawa.


Friday, May 2, 2014

Kempen Menyokong Penyertaan KL Pagi Bebas Kenderaan


Kayuhan Le Tour de UPM baru saja selesa kurang dari seminggu. Belum sempat anggota tubuh badan ini dihantar untuk penyelenggaraan, diri ini terpanggil untuk menyahut satu lagi undangan program kayuhan. Aktiviti yang dimaksudkan ini adalah acara kayuhan Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan Edisi ke 5 yang akan berlangsung di sekitar bangunan KLCC pada hari Ahad bersamaan 5 Mei 2014. Tidak sabar rasanya hendak berjumpa dengan rakan-rakan barisan hadapan (Frontliners) yang begitu lama tidak ketemu. Maka nantikanlah celoteh laporan santainya dalam masa terdekat nanti. Ayuh rakan taulan, marilah sertai teman bersiar sambil berkayuh dengan Budiman Berbasikal Klasik. Jangan lupa gilap dan kilatkan basikal klasik anda. Bersama kita kayuh dengan penuh gaya di atas basikal berestatika klasik.

Oleh itu, artikel ini secara tidak langsungnya akan menjadi mukadimah bagi edisi bulan Mei 2014. Pengisian bagi bulan lima ini akan dijangkakan lebih rancak dengan perkongsian-perkongsian tentang aktiviti riadah berbasikal. Justeru teruskan kesetiaan anda bersama entiti Budiman Berbasikal Klasik. Rakan celoteh santai anda dalam hobi riadah basikal klasik. Sekian.