Showing posts with label Foto Pilihan Bulanan. Show all posts
Showing posts with label Foto Pilihan Bulanan. Show all posts

Wednesday, July 30, 2014

Foto Pilihan Bulan Julai 2014


Inilah dia gambar pilihan Budiman Berbasikal Klasik bagi bulan Julai 2014. Memandangkan kita sekarang berada di musim perayaan Aidilfitri, maka kilauan cahaya api pelita amat sesuai dijadikan sisipan fokus dalam mewarnai panorama pilihan gambar tersebut. Sememangnya begitu menambat hati apatah lagi dikerumuni suasana tumbuhan hijau yang damai serta sebuah basikal klasik yang mudah membawa kisah nostalgia di kampung pedalaman. Menggamit kenangan silam. Dengan ini berakhirlah sudah perkongsian ceritera seorang budiman dalam menyelusuri edisi bulan Julai 2014. Semoga terhibur dan nantikan edisi untuk bulan seterusnya tidak lama lagi.

Wednesday, April 30, 2014

Foto Pilihan Bagi Bulan April 2014


Berikut adalah gambar yang menjadi pilihan inspirasi hatiku bagi mengisi anugerah gambar terbaik edisi bulan April 2014. Tiada hebat mana pun gambar yang dipilih ini. Akan tetapi ada sesuatu perihal yang membuatkan gambar ini terhangat dan teristimewa. Bukannya selalu diri ini berpeluang untuk bergambar di persekitaran institusi pengajian tinggi awam. Lebih-lebih lagi jika lokasi gambar itu ditangkap berlatarbelakangkan tempat ikonik kepada institusi pengajian tersebut. Inilah dia gambar semasa acara kayuhan Le Tour de UPM. Satu-satunya acara riadah berbasikal yang dapat teman giatkan dan ceburi disepanjang bulan April 2014. Lokasi gambar adalah dataran kecil dengan monumen huruf UPM. Terkenang gemerlapan. 

Secara tidak langsung berakhirlah sudah ceritera teman bagi keseluruhan artikel-artikel pada bulan April 2014 ini. Salah dan silap, kurang atau sedikit, diharapkan dapatlah kiranya menerima kemaafan dari teman ini yang seba serbi terbatas kemampuannya. Nantikan pembukaan tabir bagi edisi bulan lima tidak lama lagi. Selamat beriadah sambil berbasikal. UPM akan senantiasa di ingatan. Sekian.

Thursday, February 27, 2014

Foto Pilihan Bulan Februari 2014


Agak sukar dan rumit rasanya untuk memilih gambar terbaik bagi bulan Februari 2014. Gambar yang dipilih untuk bulan Februari adalah sudah pasti berdasarkan aktivti pada bulan tersebut. Seperti para pengunjung ketahui, koleksi gambar untuk bulan ini adalah dari acara berbasikal sempena Hari Wilayah yang telah diadakan di Putrajaya. Memandangkan panorama di sekitar Putrajaya sungguh indah dan cantik-cantik belaka, maka rata-rata koleksi gambar yang ditangkapkan juga sama padan cantiknya. Setelah lama belek-membelek, akhirnya gambar seperti paparan di atas telah dipilih sekaligus dinobatkan sebagai gambar terbaik bagi bulan Februari 2014. Oleh itu berakhirlah sudah sinopsis blog ini bagi edisi bulan Februari 2014. Nantikan paparan terkini lagi segar untuk bulan Mac 2014 tidak lama lagi. Sekian dan selamat beriadah bersama basikal tercinta.

Wednesday, January 29, 2014

Foto Pilihan Bulan Januari 2014


Berikut adalah pilihan gambar yang terulung bagi bulan Januari 2014. Gambar yang dipilih ini bersempena dengan acara kayuhan dan perarakan majlis sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah di Putrajaya yang telah diadakan pada tempoh hari yang lalu. Lokasi gambar ini diambil berlatarbelakangkan bangunan Perbadanan Putrajaya bersama halaman persekitarannya di atas hamparan rumput karpet yang empuk, lembut, subur lagi gembur tanahnya. Kalau ikutkan hati, hendak saja teman berbaring sambil bergolek-golek di atas bentangan rumput yang lembut itu ibarat filem romantik hindustan. Tapi pasangannya tidak ada pada ketika itu. Jadi berlunjur kaki sahajalah jawabnya. Begitulah artikel untuk kali ini yang secara langsung menutup tirai bagi edisi bulan Januari 2014. Semoga kita bersua kembali untuk edisi bulan Februari 2014 tidak lama lagi. Selamat berbasikal. 

Friday, November 29, 2013

Foto Pilihan Bulan November 2013



Sudah lama rasanya blog Budiman Berbasikal Klasik tidak menyiarkan edisi pilihan gambar bulanan. Kali terakhir gambar pilihan disiarkan adalah pada bulan April 2013. Sekadar mengimbau kembali tujuan segmen ini diwujudkan adalah untuk memilih gambar yang unik dan terbaik dari aktiviti yang dijalankan pada bulan tersebut. Oleh itu teman persembahkan kembali segmen ini untuk tatapan umum. Memandangkan sekarang ini telah masuk bulan November 2013, maka gambar di atas dipilih untuk dijadikan gambar pilihan bagi bulan November 2013. Gambar tersebut memaparkan panorama berlatar-belakangkan istana Melaka semasa acara Kayuhan Gabungan 5 Negeri (KG5). Secara tidak langsung berakhirlah sudah karya-karya bagi edisi bulan November 2013. Diharap segala pengisian secara santai ini sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi agar terus aktif dengan hobi berbasikal ini. Semoga bersua kembali di bulan Disember 2013 yang akan memaparkan pelbagai kisah merangkumi acara-acara rasmi kayuhan basikal klasik. Tungguuuu.

Tuesday, April 30, 2013

Foto Pilihan Bulan April 2013


Untuk mengakhiri karya bulan ini, teman persembahkan foto berikut sebagai foto pilihan bulan April 2013. Sepeda ini telah banyak berjasa kepada tuannya. Tidak banyak kerenah. Tidak pula meragam. Tidak pernah menghampakan tuannya dalam setiap acara rasmi berbasikal yang disertainya sebelum ini. Cuma beratnya saja yang boleh diistilahkan ketegorinya sebagai "obesiti". Kerana ternyata memang berat bagi basikal bersaiz 28 untuk diangkut ke hulu hilir lebih-lebih lagi menuju lokasi acara yang jauh. :)

Sunday, March 31, 2013

Foto Pilihan Bulan Mac 2013


Inilah foto yang menjadi pilihan hati untuk bulan Mac 2013. Ditangkap sewaktu aktiviti kayuhan ke Ipoh Station Antique Cafe untuk menyaksikan pertunjukan "Toys Vintage Exhibition". Ini juga merupakan kali pertama basikal klasik teman yang bersaiz 26 beraksi seterusnya dipilih untuk dinobatkan sebagai foto pilihan pada bulan ini. Lokasi gambar ini pula diambil perdekatan perkarangan TESCO Bukit Puchong dengan ditemani deretan basikal klasik yang hebat-hebat belaka kepunyaan rakan taulan. Maka coretan ini menjadi penyudah bagi edisi bulan Mac 2013. Diharap segala pengisian yang dikongsikan menjadi faktor aspirasi kepada para peminat basikal klasik agar terus tegar dan aktif melestarikan aktiviti riadah berbasikal klasik. Jumpa anda untuk edisi bulan April 2013 tidak lama lagi. Sekian.

Thursday, February 28, 2013

Foto Pilihan Bulan Februari 2013

February 2013 photo of the month
Foto pilihan bulan februari 2013
Inilah gambar yang menjadi pilihan untuk edisi bulan Februari 2013. Diambil selang beberapa hari selepas tamatnya acara Kayuhan Belia Ehsan Selangor di Klang. Gambar ini ditangkap pada waktu malam bagi mewujudkan sedikit keunikan kepada pencahayaan gambar. Manakala fokus gambar pula diberi penumpuan terhadap tag-tag acara kayuhan rasmi yang telah disertai. Maka penulisan karangan ni menjadi penutup bagi edisi bulan Februari 2013. Mudah-mudahan masa luang yang para pembaca sekalian korbankan ke blog ini berbaloi dengan mendapat manfaat maklumatnya serta terhibur dengan asam garam penceritaannya. Akhir kalam, selamat berkayuh semua tidak kira apa jua jenis basikal sama ada moden, terkini mahupun yang klasik.

Tuesday, January 29, 2013

Foto Pilihan Bulan Januari 2013

January 2013 photo of the month
Photo pilihan bulan Januari 2013
Inilah gambar yang menjadi pilihan untuk bulan Januari 2013. Diambil semasa acara kayuhan sempena Maulidul Rasul S.A.W di Putrajaya pada 24 Januari 2013. Lokasi penangkapan gambar ini adalah di persisiran tasik Masjid Mizan yang berlatar-belakangkan jambatan kedua Putrajaya. Oleh yang demikian artikel ini menjadi penyudah atau penutup untuk edisi bulan Januari 2013. Semoga para pembaca dan pengunjung sekalian akan senantiasa turut setia, teguh, patuh serta taat bertandang ke blog ini dibulan hadapan dengan pelbagai perkongsian menarik. Akhir kata, selamat berbasikal semua.