Showing posts with label Video Acara Kayuhan. Show all posts
Showing posts with label Video Acara Kayuhan. Show all posts

Saturday, May 31, 2014

Video Acara Hari Muzium Antarabangsa


Video Kayuhan Hari Muzium Kebangsaan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Berbasikal klasik mencari makan,
Bergaya seperti seorang wira,
Selamat menonton teman ucapkan,
Moga diiring rasa gembira.

Itulah dia video kayuhan bagi acara Hari Muzium Antarabangsa. Video ini telah disunting sekemas mungkin yang merangkumi pelbagai adegan dan aktiviti dari awal pagi acara hinggalah hampir tamat acara disebelah petang. Tayangan yang berlangsung selama tujuh minit ini juga telah diperhalusi mutunya dengan paparan berdefinisi tinggi. Semoga terhibur dan selamat menonton.

Secara tidak langsung petikan ini juga menjadi penutup bagi edisi bulan Mei 2014. Sebagai keseluruhannya ia merupakan bulan yang boleh diklasifikasikan sebagai bulan yang aktif dengan kegiatan-kegiatan berbasikal yang berstatus acara rasmi. Satu perkembangan yang sihat kepada penggiat berbasikal klasik di luar sana. Budiman Berbasikal Klasik ingin membuat pengumuman bahawa blog ini akan berehat seketika dari segi pengisiannya untuk keseluruhan bulan Jun 2014. Ini kerana teman telah dipertanggungjawabkan dengan beberapa komitmen besar yang perlu dilaksanakan pada bulan Jun ini. Jangan bimbang wahai para pembaca yang budiman sekalian. Teman akan kembali dengan pelbagai warna warni perkongsian menarik pada bulan berikutnya iaitu Julai 2014. Semoga setia menunggu dan sabar menanti akan muat turun artikel seterusnya. Salam beristirehat.

Sunday, May 11, 2014

Video Kayuhan KL Pagi Bebas Kenderaan


Kayuhan KL Pagi Bebas Kenderaan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Budiman Berbasikal Klasik dengan santainya memperkongsikan video serba ringkas bersempena program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan edisi ke lima. Video berdurasi selama empat minit lebih ini telah disunting dengan sebaik mungkin untuk dipapar suaikan dalam tayangan berdefinisi tinggi. Rakaman yang disediakan sewajibnya khusus pada adegan-adegan semasa kayuhan dan juga aktiviti-aktiviti sampingan yang berkaitan dengannya. Sungguh besar harapan teman kiranya video-video yang dimuat-naikkan ini dapat memberikan para pelawat sekalian inspirasi agar turut serta bergiat menjalankan aktiviti sihat dengan berbasikal. Tidak kiralah walau apa jua jenis basikal sama ada moden, klasik mahupun yang kontemporari. Semoga kita bersua lagi dengan pelbagai perkongsian yang beraneka gaya dan corak demi memenuhi citarasa sahabat handaiku sekalian. Ada satu lagi acara rasmi berbasikal klasik yang agak bernilai, utama dan istimewa statusnya. Dijangkakan akan berlangsung dalam pertengahan bulan ini. Nantikan pengumumannya dalam tempoh masa yang singkat ini. Tungguuuuuu.

Tuesday, April 29, 2014

Video Kayuhan Le Tour de UPM


Kayuhan Le Tour de UPM HD. from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Seperti kelazimannya bila mana nukilan sesuatu acara dikarangkan, lantas akan disusuli pula dengan muat-turun artikel mengenai video acara tersebut. Justeru tercapailah hajat teman untuk melengkapi keseluruhan laporan tidak rasmi yang merangkumi bingkisan ulasan laporan serta paparan penggambaran video untuk aktiviti Le Tour de UPM. Sudah lama rasanya daya kretiviti otak ini tidak diuji dengan cabaran-cabaran mengolah serta menyunting video rakaman menggunakan aplikasi suntingan dari perisian komputer. Tiga bulan lamanya. Terasa kekok dan ganjil pula bila ingin memulakan semula. Godek punya godek akhirnya dapat juga mengembalikan rentak kemahirannya seperti sedia ada. Alah bisa tegal biasa. Jika diberi perhatian dengan teliti untuk tayangan video ini, anda akan mendapati ada sedikit lonjakkan mutu terhadap visualisasinya. Ini kerana teman telah menemui aplikasi suntingan video terbaru yang lebih menyeluruh dan komprehensif. Tiada banyak butang-butang yang rumit pada papan mukanya (interface) menjadi aplikasi ini lebih mudah dan mesra pengguna.

Oleh itu dipersilakanlah menyaksikan tayangan video yang tidak seberapa ini. Panjangnya lebih kurang lima minit lebih. Paparannya pula berkisarkan adegan-adegan kayuhan dari awal hinggalah ke penghujung acara. Selamat menonton. Sekadar hiburan sampingan demi mengisi masa-masa terluang bersama rakan taulan yang dekat mahupun yang jauh. Mudah-mudahan medium atau perantaraan yang disediakan ini akan menjalinkan ukhwah persahabatan sesama insan tidak kira yang baru mahupun yang lama. Semoga tautan yang  dianyamkan ini akan kekal seraya dangan memartabatkan hobi basikal klasik ini. Sekian.

Saturday, February 15, 2014

Video Kayuhan Hari Wilayah


Video kayuhan hari wilayah from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Video bagi acara kayuhan Hari Wilayah 2014 sudah siap sepenuhnya untuk dipertontonkan. Video ini mengambil tempoh masa yang agak lama untuk disiapkan kerana pertama kali diberi suntingan khas untuk paparan definisi tinggi (high definition). Lagi tinggi definisinya maka lagi besar saiz failnya. Maka apabila failnya besar, makin panjang tempoh durasi muat turunnya. Seperti biasa, rakaman yang dihasilkan selama lima minit lebih ini sudah semestinya banyak kepada aksi-aksi semasa mengayuh basikal. Selamat menonton dan teruskan aktiviti sihat anda dengan berbasikal.

Monday, January 20, 2014

Video Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H


Video Acara Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.
Harumnya cintaku bak bunga dahlia
matanya cantik ibarat cahaya pelita
paparan video sudah siap tersedia
marilah tetamuku dipersilakan menjamu mata

Video yang dimaksudkan itu adalah majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah yang berlangsung di Putrajaya pada tempoh hari yang lalu. Paparan rakaman ini berlangsung sekitar lapan minit lebih. Seperti kebanyakan video Budiman Berbasikal Klasik yang lain, adegan yang disiarkan semestinya merangkumi persiapan sebelum acara kayuhan, paparan semasa perarakan hinggalah selesai acara majlis. Buat kali pertamanya, ini juga merupakan video yang akan diwujudkan tarif jilid iaitu video siri kedua memandangkan video acara ini telah pun disertai dan direncanakan juga pada tahun lepas 2013 dimana video tersebut akan dilabelkan sebagai siri satu. Begitulah seterusnya. Oleh itu selamat menonton dengan paparan ala kadar dari seorang penyunting video yang ringkas seadanya. Jumpa lagi diwaktu terdekat kelak. Sekian.

Tuesday, December 31, 2013

Video Acara Kayuhan Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013


Video Kayuhan MBPJ from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Berikut adalah perkongsian video bagi acara Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013. Video ini berdurasi 13 minit lebih dan merupakan suntingan paling lama pernah dipaparkan. Video ini memaparkan serba serbi aktiviti disepanjang aturcara pada hari pertama festival berikut. Diantara babak-babak yang dipertontonkan adalah aktiviti santai sebelum program bermula, adegan sepanjang kayuhan dan diakhiri dengan kegiatan aturcara pada malam harinya. Semoga terhibur.

Sehubungan itu, artikel ini akan menjadi risalah yang terakhir atau penutup bagi edisi keseluruhan tahun 2013. Diharapkan para pembaca berpuas hati dengan segala pengisian yang dikongsikan. Sungguh besar harapan teman agar blog ini dapat memberikan para pengunjung sekalian inspirasi. Mudah-mudahan minat kita terhadap basikal klasik akan sentiasa mekar lagi segar ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Teman sebagai penulis untuk blog Budiman Berbasikal Klasik ingin memohon maaf seandainya terdapat sebarang kekurangan dan kesilapan. Sekiranya terdapat sebarang komen, nasihat, cadangan mahupun tunjuk ajar bolehlah diajukan di ruangan komen pada bahagian bawah artikel ini atau terus ke ruangan laman facebook Budiman Berbasikal Klasik. Sekian dan selamat menyambut tahun baru 2014.

Wednesday, December 11, 2013

Video Acara Kayuhan Di Pantai Morib


Video Kayuhan Pantai Morib from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Selesai sudah nukilan mengenai pengalaman menyertai acara di Pantai Morib. Seperti biasa kelangsungan daripada itu maka terbitlah pula tayangan video kepada acara tersebut. Video berdurasi hampir lapan minit ini memaparkan hampir keseluruhan aturcara program iaitu pada malam sebelum acara dan semestinya pada hari acara tersebut. Terserlah pada wajah-wajah rakan sekalian yang cukup gembira dan ceria semasa mengikuti acara ini. Sekali lagi jutaan terima kasih diucapkan kepada Majlis Daerah Kuala Langat dan Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang diatas penganjuran program yang sempurna, eksklusif dan teristimewa. Syabas dan tahniah.

Oh ya, ada juga rakan-rakan pengunjung teman yang bertanyakan bagaimana untuk mengurangkan atau menutup suara berlatar-belakangkan burung-burung yang berkumandang dalam blog ini. Mungkin terdapat kontradiksi atau konflik untuk mendengarkan rakaman suara dari video-video yang dimainkan. Mudah sahaja. Anda hanya perlu mengemudikan tetikus ke bahagian bawah blog ini. Pada sudut belah kiri bawah sekali terdapat palang interaksi berwarna kehitaman yang mempunyai simbol Youtube. Maka klik sahaja butang di situ untuk mematikan atau memperlahankan bunyinya. Semoga terhibur dengan paparan yang tidak seberapa ini. Sekian.

Thursday, October 31, 2013

Video Meraikan Majlis Persandingan Anak Master Raleigh


Video Kayuhan Mengiring Mempelai Puteri Master Raleigh from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Mengakhiri edisi bulan Oktober 2013, Budiman Berbasikal Klasik dengan santainya memperkongsikan video serba ringkas sepanjang kunjungan ke majlis perkahwinan raja sehari puteri kesayangan  Master Raleigh (Aznor Hasan). Video yang berlangsung sekitar lima minit ini memaparkan adegan-adegan sebelum, semasa hinggalah selesai kami meraikan majlis tersebut. Oleh itu khatamlah sudah aktiviti dan kegiatan Budiman Berbasikal Klasik bagi sepanjang tempoh bulan Oktober 2013. Semoga kita bersua pula dengan pelbagai lagi perkongsian yang beraneka gaya dan corak pada edisi bulan November 2013 tidak lama lagi. Bersamalah kita mengamalkan cara hidup yang sihat diantaranya dengan melakukan aktiviti berbasikal. Sekurang-kurangnya masa dan tenaga kita dapat diluangkan secara bermanfaat demi hobi, rekreasi serta persaudaraan. Sekian.

Wednesday, October 16, 2013

Video Acara KG5


Video Kayuhan KG5 Melaka from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Berikut merupakan rakaman video acara KG5 yang telah berjaya disunting untuk dikongsikan bersama.  Video yang berlangsung hampir 10 minit ini menayangkan babak sebelum pelepasan hinggalah ke akhir aturcara program. Semoga terhibur dan nantikan kepelbagaian agenda kayuhan menarik yang akan menyusul dari masa ke semasa.

Berkayuh basikal di taman kemboja,
Kenangan KG5 indah tersemat,
Video dihasilkan sekadar termampu sahaja,
Selamat menonton sehingga tamat.

Tuesday, October 8, 2013

Video Yang Hilang Dan Baru Dijumpai Dari Jurnal Bernama



Pernahkan anda menonton Lost Tapes di saluran Discovery Channel? Dokumentasi hanya lakonan semata-mata yang memaparkan penemuan pita-pita video berdasarkan rakaman misteri dan mistik. Maka begitulah boleh diumpamakan video di atas sebagai video yang hilang dimana ramai tidak mengetahui akan kewujudannya setelah sekian lama. 

Masihkah anda ingat kayuhan basikal klasik (BES) jelajah Selangor yang telah diadakan di Bandar DiRaja Klang pada bulan February 2013 yang lepas? Video di atas sebenarnya merupakan rakaman yang diterbitkan oleh wartawan Bernama menerusi rancangan Jurnal Bernama yang merencanakan program acara tersebut. Besar kemungkinan ramai peserta yang mengikuti acara ini terlepas peluang untuk menontonnya. Justeru tontonilah video ini yang menggamit memori kenangan manis. Terima kasih diucapkan kepada Along dari Port Swettenham Classic Bicycle diatas perkongsian video tersebut.

Tuesday, September 17, 2013

Video Kayuhan NST-Cyberjaya Green Ride 2013


Video kayuhan cyber3 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Berikut merupakan video bagi acara kayuhan basikal NST-Cyberjaya Green Ride 2013. Rakaman yang telah disunting selama lapan minit ini memaparkan babak serba-serbi daripada persiapan sebelum bermulanya kayuhan hinggalah ke babak penyudah kayuhan. Inilah paparan yang membawa sedikit kelainan berbanding video yang lain kerana program ini merupakan himpunan pelbagai jenis basikal. Selamat menonton dan teruskan semarak anda mengabadikan basikal klasik.

Wednesday, September 11, 2013

Video Kayuhan di Negeri Sembilan Dari Berita TV9


Video kayuhan n9 tv9 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Kepada sahbat-sahabatku yang terlepas peluang menonton rakaman dari mana-mana liputan berita tentang kayuhan merdeka basikal tua di Negeri Sembilan, maka inilah diantara videonya. Petikan video ini dirakam dari paparan berita jam 8 malam, TV9. Satu-satunya rencana dari pihak wartawan tv yang sempat teman rekodkan. Walaupun hanya sekadar seminit lebih sahaja yang dipertontonkan tetapi cukup puas untuk menggamit memori yang indah. Selamat menonton. 

Tuesday, September 10, 2013

Video Kayuhan Merdeka Basikal Tua di Negeri Sembilan


Acara Kayuhan Merdeka Basikal Tua Negeri Sembilan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Rasanya macam tak sabar saja nak menunggu video dimuat turun esok. Apa kata kita pertontonkan hari ini juga. Jadi inilah videonya. Sekadar video amatur Kayuhan Merdeka Basikal Tua di Negeri Sembilan. Video yang berlangsung hampir enam minit ini memaparkan sebahagian babak sebelum kayuhan dimulakan dan selebihnya babak-babak aksi kayuhan sehingga ke destinasi Seri Menanti. Harap terhibur dengan paparan yang tidak seberapa. Ini sahaja yang teman mampu untuk kenangan kita bersama. Ayuh terus maju ke hadapan wahai sahabat-sahabatku sekalian bersama basikal klasik yang dicintai. Kita berjumpa di lain acara pula. InsyaAllah.
 

Thursday, April 4, 2013

Video Kayuhan Basikal Klasik Ipoh Station Siri 2

Video kayuhan puchong edited from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.


Apa khabar para pengunjung sekalian? Harap semuanya sihat belaka. Diharapkan juga kandungan pengisian untuk bulan lepas tidak membosankan atau menghampakan para pembaca semua. Blog Budiman Berbasikal Klasik akan senantiasa mencari ruang dan peluang yang inovatif bagi memastikan rakan-rakan sekalian senantiasa terhibur dengan segala input-input yang dikongsikan. Umum diketahui, parlimen di negara kita telah pun dibubarkan. Maka sebarang anjuran rasmi untuk aktiviti berbasikal dijangkakan atau diramalkan akan tangguh sehingga selesai pilihan raya umum nanti. Dengan itu pengisian untuk edisi bulan ini teman akan mengetengahkan topik-topik yang berkaitan dengan penjagaan / pembaikan basikal berbanding perkongsian aktiviti. 

Lantaran itu, untuk artikel sulung bagi edisi bulan April 2013 ini, teman ingin berkongsikan video yang memaparkan aktiviti berbasikal klasik secara kecilan ke Ipoh Station yang telah diadakan pada 30 Mac 2013. Video yang berlangsung sekitar lapan minit lebih ini berkisar tentang perjalanan kayuhan ke Ipoh Station serta paparan serba sedikit sekitar pertunjukan "Vintage Toys Exhibition". Selamat menonton dan jika ada sebarang komentar, sudi-sudikanlah coret pada ruangan komentar di bawah ini. Sekian.
 

Tuesday, February 19, 2013

Video Kayuhan Bes Jelajah Selangor

Video kayuhan basikal klasik BES jelajah Selangor 2013 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.



Teman tahu ramai yang begitu teruja dan telah mencapai tahap kesabaran yang kronik demi menunggu penghasilan video kayuhan berbasikal klasik sempena BES jelajah Selangor. Termasuklah juga diri yang menaip ini. Maka penantian anda semua tamat pada saat ini dengan terhasilnya video berkenanan seperti yang telah dimuat-turunkan di atas. Video yang panjangnya sekitar lapan minit lebih ini dimulai dengan aksi kayuhan dari Stadium Padang Sultan Sulaiman Klang, termasuk juga babak perhentian di Istana Alam Shah dan persinggahan di perkarangan Masjid DiRaja Sultan Sulaiman. Selamat menonton untuk kenangan manis kita semua. Teruskan semarak anda melestarikan hobi berbasikal klasik. Tanpa sokongan anda pembaca budiman budiwati sekalian, maka tiadalah wujudnya entiti Budiman Berbasikal Klasik. Terima kasih teman ucapkan. Sekian.

Friday, January 25, 2013

Video Kayuhan Sempena Maulidul Rasul S.A.W


Seperti yang dijanjikan, video babak kayuhan basikal tua telah berjaya dimuat-turunkan. Saksikanlah aksi perarakan sempena sambutan Maulidul Rasul S.A.W 1434H di Putrajaya. Video yang berlangsung sekita 8 minit lebih ini dimulai dengan kayuhan dari jalan utama kompleks kerajaan hingga ke Masjid Putra. Selamat menonton dan nantikan artikel-artikel menarik tentang kempen berbasikal tua untuk santapan penggemar dan penggiat basikal klasik. :)

Thursday, December 6, 2012

Video Kayuhan Santai Basikal Klasik Bandar Diraja Klang


Ya seperti yang telah dijanjikan. Video kayuhan santai basikal klasik sekitar Bandar DiRaja Klang telah dipaparkan seperti yang tertera pada klip di atas. Setelah beberapa hari laman blogspot menghadapi masalah teknikal dalam memasukkan video, akhirnya berjaya juga untuk dimuat-turunkan. Disebabkan blogspot menghadkan kapasiti bagi video hanya boleh dipaparkan dalam saiz dan dan fail yang kecil, maka video ini juga terpaksa dikurangkan kualitinya. Klip video ini berlangsung sekitar 3 minit lebih dan memaparkan babak-babak aksi berbasikal secara konvoi di sekeliling Bandar DiRaja Klang. Selamat menonton untuk kenangan bersama dan teruskan kegemilangan anda berbasikal klasik. 

Wednesday, October 17, 2012

Video Himpunan Basikal Klasik Terbesar MBoR


 
Diatas memenuhi permintaan sahabat-sahabat pencinta basikal klasik, teman telah memuat-turunkan klip video acara Himpuan Basikal Klasik Terbesar MBoR di Melaka yang telah berlangsung pada 16 September 2012 yang lalu. Akan tetapi kualiti video ini tidak seberapa memuaskan memandangkan penangkapan video dibuat menggunakan telefon bimbit biasa. Oleh itu video ini hanya sesuai ditonton dengan paparan resolusi kecil sahaja. Selamat menonton untuk kenangan bersama dan teruskan semangat berkempen basikal klasik.

Thursday, October 11, 2012

Video Kayuhan Mengeteh ke Ipoh Station


 
Video ini memaparkan babak aksi kayuhan berkonvoi basikal klasik. Klip-klip ini bermula dari Dataran Tasik, Puchong Perdana hinggalah ke destinasi yang dituju iaitu Kafe Ipoh Station di Bukit Puchong. Video kayuhan berkonvoi ini berlangsung selama empat minit lebih. Selamat menonton dan teruskan semarak anda melestarikan basikal klasik.