Pengalaman Menyertai Acara Hari Muzium Antarabangsa
Muzium. Kali terakhir teman melawat ke muzium adalah sekitar tujuh tahun lepas. Seingat teman pada ketika itu ada pameran mengenai Khazanah Alam dan Mistik yang diadakan di Muzium Alam Shah, Shah Alam. Rasanya dalam hidup teman setakat blog ini ditulis, baru empat kali sahaja teman pernah menjejakkan kaki ke muzium. Dua kali di Muzium Negara dan dua kali di Muzium Shah Alam. Itu pun rata-ratanya melalui program rombongan sekolah. Tak tahu bilalah teman nak bertandang ke muzium jika tiada anjuran dari rombongan sekolah seperti dulu kala. Baru-baru ni pun teman telah memperolehi satu maklumat baru yang selama ni teman tak pernah tahu menahu pun. Segan juga nak beritahu. Umur dah besar panjang, baru sekarang berpeluang meraih maklumat tersebut. Tetapi itulah hakikatnya. Dalam tempoh hayat teman hingga ke saat ini, belum pernah teman mengetahui rupa-rupanya wujud sambutan Hari Muzium Antarabangsa. Jika tidak dek penyertaan bagi acara kayuhan basikal klasik sempena ulangtahun Hari Muzium Antarabangsa, maka tiadalah teman tahu akan wujudnya keraian tersebut.
Hujan. Dari dulu sampai sekarang rata-rata orang mengatakan cuaca tidak keruan. Yang sepatutnya lumrah musim panas, tiba-tiba bersilih ganti sebaliknya. Sejauh diri ini menyertai mana-mana acara rasmi berbasikal klasik dari yang terawal hingga yang terkini, rasanya baru dua kali sahaja sesuatu program tersebut terpaksa ditunda dek kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Apa lagi jika bukan hujan lebat. Program yang teman maksudkan itu adalah dari acara Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013. Dan yang terbaru menerusi acara yang teman tengah karangkan ini. Begitulah kenyataannya. Kayuhan yang sepatutnya bermula sekitar jam sembilan pagi terpaksa ditangguh akibat hujan lebat. Mujur juga hujan hanya mulai turun sekitar jam sembilan pagi kerana pada ketika itu para peserta telah pun selesai menguruskan proses pendaftaran, sarapan pagi dan susun atur formasi basikal. Jika ditakdirkan hujan turun mulai sekitar jam 8 pagi, alamatnya para peserta terpaksa berperap di dalam kenderaan masing-masing bersama basikal klasik yang dicintai hinggalah hujan reda. Alhamdulillah, yang turun membasahi akhirnya berhenti kering juga. Walaupun kami terpaksa menunggu di bawah khemah hampir selama satu jam setengah. Tapi penungguan bersama rakan taulan di sisi memang berbaloi.
Sebelum berceloteh panjang, izinkan teman mengekspresikan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan acara ini. Turut tidak ketinggalan adalah Kelab Basikal Klasik Jalan Khamis Meru yang telah menjadi dalang pengantara yang menghubungkan kami semua terus kepada acara tersebut. Terima kasih daun keladi, jika boleh kami mahu lagi. Ini merupakan kali pertama Budiman Berbasikal Klasik merasai suasana kayuhan di sekitar bandaraya Shah Alam. Sudah lama teman menyimpan hajat untuk menikmati pengalaman berkayuh basikal klasik terutamanya di sekitar taman tasik Shah Alam. Sebagai maklumat tambahan, lorong laluan khas untuk berbasikal telah pun dibina dan dilaksanakan di sekitar taman tasik ini. Satu berkembangan sihat dan berita baik yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pengayuh basikal tegar. Berbalik kepada kisah kayuhan teman, jalan-jalan yang kami lalui semasa berbasikal adalah menerusi jalan di sepanjang persisiran Masjid Negeri, melewati kawasan seksyen 2 berdekatan UiTM, menyelusuri jalan di taman tema air Wet World serta bangunan PKNS, melintasi jalan berhadapan bangunan MBSA dan kembali semula ke tapak acara Muzium Alam Shah. Jarang sekali teman merasai suasana kayuhan pada waktu betul-betul usai hujan lebat. Iklim sejuk yang membawa angin dingin bagai berada di negara Amsterdam pula.
Banyak masa kami diluangkan dengan aktiviti bebas. Selesai sahaja kayuhan pada sesi pagi itu, kami menyisihkan beberapa bahagian waktu yang ada dengan pelbagai kegiatan santai. Sudah tentu rata-rata dari kami tidak melepaskan peluang berkunjung masuk ke Muzium Alam Shah. Terdapat juga pameran-pameran seperti kraftangan, barangan antik, pertunjukkan kebudayaan silam dan semasa serta pelbagai lagi demontrasi yang berkaitan dengan program Hari Muzium Antarabangsa dipertontonkan. Semua pameran tersebut ditempatkan di sekitar perkarangan Muzium Alam Shah. Teman mengambil kesempatan masa yang ada dengan menyelongkari khazanah-khazanah alam semula jadi di kawasan sekeliling Taman Tasik Shah Alam. Jika ada di antara kalian yang pernah pergi ke negara Ireland pada musim sejuk atau luruh, mungkin dapat bayangkan persamaan metafora yang cuba teman tampilkan. Syahdu saja sanubari hati ini melayan kehijauan flora dan fauna bercampur dengan suasana atmosfera selepas hujan yang sejuk. Kaget dan terpesona dibuatnya.
Acara kemuncak untuk kumpulan basikal klasik adalah pada sebelah tengah hari dimana kumpulan basikal klasik diberi penghormatan untuk berbasikal sambil mengiring ketibaan tetamu-tetamu kehormat ke pentas utama. Walaupun jarak kayuhannya tidak jauh, tapi peluang berarak bersama tetamu kehormat mencetuskan satu lagi perkembangan positif bagi persepsi dan cerapan masyarakat awam terhadap kemartabatan basikal klasik yang masih utuh dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Begitulah inspirasi yang senantiasa ingin diketengahkan oleh blog Budiman Berbasikal Klasik untuk para pengunjung semua. Program pada hari tersebut berlanjutan hingga tamat ke lewat petang dengan aktiviti bebas santai. Secara keseluruhannya ia merupakan satu lagi acara berbasikal klasik seperti acara-acara sebelum ini yang berkesudahan dengan sempurna dan tiada cacat celanya. Cukup manis untuk dijadikan kenangan indah buat diri teman dan sekurang-kurangnya memberikan teman aspirasi agar melawat muzium di masa akan datang.
Tiadalah teman berniat ingin mencuri masa panjang dari para pembaca sekalian. Walaupun keghairahan ingin menaip lagi dan lagi itu terlalu memuncak. Pernah teman selidiki bahawa ada kajian yang merumuskan majoriti pembaca blog hanya selesa dan bertahan sebelum bosan dengan pembacaan artikel yang kurang dari empat ratus patah perkataan. Maka pertontonkanlah pula kepingan-kepinganan gambar yang dimuat-turunkan seperti berikut. Mudah-mudahan ia dapat menggantikan kaedah metode dari pembacaan pra kata kepada penceritaan menerusi ragam pola dari foto-foto tersebut. Semoga kita berjumpa lagi di waktu terdekat nanti. Ayuh teruskan kayuhanmu walau di mana jua. Berbasikal ke hulu hingga ke rumah nyonya, marilah kita lestarikan hobi ini sambil memeriahkannya.
|
Menunggu dengan ghairah dan bersiap sedia sebelum pelepasan kayuhan. |
|
Tiga sekawan yang secucuk, sepadan, seiras, serasi dan sekelas gitu. |
|
Kak Aida, suaminya abang Azizan serta sebahagian dari anak-anak mereka memeriahkan lagi suasana. |
|
Bersama abang Ajis dan segelintir dari keluarganya. Tahniah abang Ajis kerana menjuarai busana terbaik. |
|
Wakil-wakil dari daerah Klang. Northport dan Port Swettenham Classic Bicycle. |
|
Saudara Ikhwan dengan gaya unggulnya di atas motorsikal klasik. |
|
Gaya-gaya yang tersendiri lagi esklusif dari rakan taulan. Merancakkan lagi suasana acara. |
|
Kayuhan santai di pagi hari selepas hujan lebat. Kayuhan yang sejuk, dingin, segar dan nyaman. |
|
Apakah perkataan selfie untuk bahasa melayu? Sekali sekala teringin juga berselfie sambil mengayuh basikal. |
|
Mengenangkannya selalu. Dalam ingatan tercipta kenangan. |
No comments:
Post a Comment