Monday, October 7, 2013
Koleksi Terbaru - Raleigh Superbe All Chrome "Boss Bike"
Pada bulan Oktober 2013 terciptanya satu sejarah yang istimewa bagi diri teman ini yang mewakili blog Budiman Berbasikal Klasik. Setelah sekian lama diri ini menceburi hobi berbasikal klasik, baru sekarang diberi ruang dan peluang untuk memperolehi sekaligus memiliki sebuah sepeda klasik yang paling lengkap, asli, tulen dan sesempurna yang belum pernah diraih sebelum ini. Alhamdulillah, rezeki hasil simpanan yang dikumpul dari tahun lepas akhirnya mencukupi untuk menampung pembelian sebuah sepeda klasik serta kos pos penghantarannya dari negara England. Baiklah cukup sekadar itu untuk bunga-bunga pendahuluan. Mari kita melangkah ke perenggan kedua dalam membicarakan tentang sinopsis profil basikal tersebut.
Ia merupakan sebuah basikal klasik tahun 1950an yang telah direstorasi oleh pemilik asalnya dari England. Basikal ini berjenama Raleigh versi Superbe, keluaran edisi khas iaitu Chromium "Boss Bike" atau All Chrome "Boss Bike". Untuk pengetahuan lanjut tentang edisi ini boleh dapatkan maklumatnya dicarian google dengan menaip "Raleigh Boss Bike". Bagi merangkumkan specifikasi basikal ini, teman catatkan butirannya secara senarai ringkas agar mudah dibaca seperti di bawah:-
- Saiz kerangka badan 23" lengkap dengan fork kekunci
- Rim Raleigh stainless steel 26 x 1 3/8" westrick
- Sturmey Archer gear 4 kelajuan
- Sturmey Archer dyno rear hub
- Sturmey Archer lampu dan mentol
- Tempat duduk Brooks B83
- Tongkat diri Raleigh
Begitulah sedikit sebanyak tentang butiran yang merangkumi spesifikasinya. Pencarian basikal klasik ini tidak lain dan tidak bukan sudah pasti dilakukan menerusi laman Ebay. Hasil dari sedikit kajian dan tinjauan yang dibuat, akhirnya teman terjumpa dengan satu iklan yang menawarkan basikal ini. Apa yang begitu menambat hati teman adalah kelainan dari segi warnanya yang jauh beza dari kelaziman basikal klasik berwarna hitam, perang atau hijau. Pada awalnya teman merasakan tidak berpeluang untuk memperolehinya kerana basikal tersebut ditawarkan secara belian bida. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada pembida tunggal yang mewakili negara Malaysia ini kerana dapat bidaan yang tertinggi dalam saat-saat terakhir sebelum tamatnya tempoh bidaan. Ramai yang bertanya tentang prosedur dan jenis kemudahan penghantaran yang digunakan. Maka pada perenggan berikut teman nukilkan.
Pertama sekali, kaedah kemudahan yang digunakan adalah melalui kapal terbang. Menerusi kapal terbang pula terdapat beberapa pilihan perkhidmatan yang disediakan seperti priority, first class, standard, international dan sebagainya. Oleh kerana teman tidak pernah memiliki pengalaman dalam urusan pengeposan basikal dari luar negara, penjual basikal tersebut mencadangkan perkhidmatan jenis priority menerusi syarikat Fadex. Ia merupakan diantara pilihan yang agak tinggi kosnya kerana pos jenis ini diberi keutamaan dan dijamin sampai terus ke depan pintu dalam kurang 14 hari. Memang tidak disangkal lagi kerana basikal ini selamat sampai ke pangkuan teman dalam tempoh 9 hari sahaja tanpa ada sebarang kos tambahan seperti cukai, duti kastam dan sebagainya.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Begitulah peribahasa yang membawa maksud jika pengetahuan itu sedikit, jangan berani buat sesuatu yang besar. Peribahasa ini ditujukan khas buat diri teman sendiri yang belum cukup mahir dalam kemahiran memasang basikal. Apatah lagi basikal klasik yang mempunyai gear dan hub. Mujur teman mengenali seorang pakcik yang mengusahakan sebuah kedai basikal yang bercirikan antik di Bukit Naga, Shah Alam. Pakcik ini atau lebih serasi dipanggil Uncle Ng merupakan seorang pengusaha yang cukup luas pengetahuannya tentang serba-serbi basikal klasik. Ini terbukti bilamana pemasangan basikal Raleigh Boss Bike dipasang dengan begitu tertib dan terkendali. Katanya sudah hampir 6 tahun beliau tidak bertemu atau berpeluang untuk mengelolakan sebuah basikal klasik Raleigh yang lengkap. Satu penghargaan bagi teman serta seribu imbalan penghormatan buat Uncle Ng. Thank you uncle.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang boleh dikongsikan mengenai ceritera Raleigh Superbe Boss Bike ini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak menjawab persoalan yang dilontarkan kepada teman oleh sahabat-handai seperjuangan tentang koleksi terbaru ini. Sekadar yang termampu demi minat dan hobi. Alah membeli, menang memakai. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Salam bulan Zulhijjah dan selamat menyambut Aidul Adha. Dengan rasa rendah dirinya, berikut diperkongsikan gambar-gambar koleksi basikal klasik terkini Budiman Berbasikal Klasik - Raleigh Superbe All Chrome Boss Bike. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih besar dan jelas. Selamat menjamu mata. ;)
Labels:
Projek Restorasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment