Tuesday, October 15, 2013
Pengalaman Menyertai Acara KG5
Indah sungguh kenangan dikarang,
Coretan berisi tentang Melaka,
Bersamalah kita kongsi dan karang,
Tanda ingatan pernah ke Melaka.
Apa khabar para pelawat sekalian? Diharap anda senantiasa ceria selalu. Negeri Melaka kaya dan terkenal dengan adat istiadat berpantun. Oleh itu pengisian pada kali ini akan teman olahkan dengan sedikit kelainan. Maka al-kisah berlangsunglah sudah acara Kayuhan Gabungan 5 negeri di Melaka pada hujung minggu yang lepas. Alhamdulillah segalanya selamat dan berjalan dengan lancar. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Kelab Sepeda Tua Melaka (KSTM), Basikal Melaka serta semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti tersebut.
Terima kasih teman ucapkan,
Kerana kalian selalu membantu,
Jasa dan kudrat jadi taruhan,
Akan teman kenang setiap waktu.
Memandangkan kayuhan bermula seawal jam 7.45 pagi, teman mengambil keputusan untuk bermalam di Melaka. KSTM telah berjaya mendapatkan sebuah rumah homestay untuk teman bermalam yang ditemani juga oleh saudara Ajis dari Subang Perdana. Rumah yang disediakan memang menarik dan cantik kerana ia merupakan kawasan perumahan yang baru disiapkan. Hinggakan menambat hati saudara Ajis yang langsung berhajat memilikinya untuk dijadikan rumah nombor dua. Tidak banyak aktiviti yang dilakukan pada malam tersebut. Kami sekadar meluangkan masa bersama-sama dengan para ahli KSTM di tapak pelancaran kayuhan dan selebihnya rehat di rumah.
Detik hari yang penting itu bermula seawal jam 6.30 pagi. Kedatangan para peserta yang dekat dan jauh dengan gaya busana tersendiri menceriakan suasana yang sejuk di awal bening pagi. Masing-masing kegirangan bersua sapa dengan rakan taulan yang sudah lama tidak bertemu. Seramai 262 peserta yang merangkumi lima buah negeri telah hadir mendaftarkan diri. Selesai pendaftaran, para peserta diberikan juadah sarapan pagi yang telah disediakan oleh pihak penganjur diselangi dengan sesi ucapan pembukaan serta taklimat aturcara program. Seterusnya lagu Negaraku dimainkan dan disusuli penyerahan bendera lima negeri kepada setiap wakil sebagai isyarat simbolik tanda kayuhan bermula.
Perjalanan kayuhan telah dijaga dan dikawal rapi oleh pihak polis trafik, kumpulan vespa serta urusetia-urusetia KSTM. Berkayuh di bandaraya Melaka yang masyhur dengan status memori silam bersejarah cukup sinonim dan padan dengan gaya kayuhan kami yang berbasikalkan klasik. Ia membuatkan para pelancong yang berada di sana bagaikan diberi bonus tambahan kerana tampak begitu teruja apabila terserempak dengan konvoi berbasikal klasik. Secara peribadi, ini merupakan pengalaman sulung dalam hidup teman kerana dapat berkayuh di atas basikal berestika klasik menyusuri jalan-jalan yang berunsurkan antik dan lama. Begitu menambat hati sanubari yang berjiwakan klasik ini. Diantara jalan-jalan yang teman ingat namanya ialah Jongker Walk, Little India dan Bunga Raya.
Bandar Hilir tempat bersejarah,
Ramai pelancong datang melawat,
Sungai Melaka bersih dan indah,
Setiap waktu ramai pelawat.
Sepanjang perjalanan kayuhan, kami telah berhenti rehat di dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong iaitu di dataran bangunan merah dan dataran Famosa. Kesempatan ini diambil dengan melakukan sesi menangkap gambar sesama peserta dan tidak ketinggalan para pelancong yang turut ingin bergambar sekali. Keindahan lanskap yang mempesonakan berteraskan ciri-ciri retro cukup layak dan sesuai menghasilkan potret-potret yang sempurna untuk dijadikan kenangan yang kekal abadi. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, jarak kayuhan berkonvoi yang bermula dari Taman Bachang Baru ini adalah sejauh 16 kilometer. Jika hendak dibayangkan jaraknya memang diakui agak sedikit jauh. Tetapi percayalah dengan apa yang teman catatkan dalam bingkisan ini. Dengan suasana kayuhan secara santai seramai 262 pengayuh, dipukau pula oleh keindahan panorama, sedar tak sedar kayuhan kami telah pun kembali ke tapak pelepasan.
Keriangan para peserta tidak terhenti di situ. Kelangsungan keceriaan kami diteruskan dengan pelbagai slot-slot aktiviti yang menarik. Diantaranya adalah jamuan makan tengah hari, gerai-gerai jualan, pameran, cabutan bertuah, pertandingan dan sukaneka. Teman juga tidak terlepas peluang dan dapat juga merasa menaiki pentas untuk menerima hadiah. Syukur Alhamdulillah. Seperkara lagi tertunai juga hasrat di hati ini yang kempunan nak merasa masakan asam pedas Melaka. Rezeki teman juga pada hari itu kerana kebetulan juadah tengah hari yang disediakan oleh pihak penganjur adalah berlaukan ikan asam pedas. Sedap, enak dan lazat tak terkata.
Negeri Melaka jadi sebutan,
Negeri bersejarah jolokan diberi;
Asam pedas jadi rebutan,
Makan bertambah tak ingat diri.
Negeri bersejarah jolokan diberi;
Asam pedas jadi rebutan,
Makan bertambah tak ingat diri.
Rasanya coretan pada kali ini terlebih panjang dari kebiasaan. Begitulah kalau hati dan akal sudah minat. Leka dibuatnya jari-jemari ini menyusun pra kata. Ikutkan hati hendak saja dicoretkan setiap detik-detik istimewa yang telah diperolehi dari Melaka. Harap para pembaca sekalian berpuas hati dengan gubahan ayat-ayat yang mencorakkan kerangka nukilan pada kali ini untuk dikongsikan bersama. Akhir kalam marilah kita berganding bahu mengekalkan jalinan persahabatan yang ditemui melalui hobi berbasikal klasik yang begitu unik ini. Sebagaimana kita menjaga dan mengekalkan kelestarian basikal klasik, begitu jugalah padannya kita menjaga nilai ukhuwah sesama saudara. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sekian.
Letih berkayuh di tengah pekan,
Singgah sebentar menikmati sekeping roti,
Jutaan terima kasih teman ucapan,
Diatas segala sokongan dan bakti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment