Sunday, July 16, 2017

Pokok Kelapa




Pokok kelapa sememangnya sinonim dan berkait rapat dengan komuniti masyarakat melayu khususnya yang menetap di kawasan pedalaman. Kenyataan ini tiada keraguannya memandangkan pokok kelapa itu sendiri dapat mendatangkan seribu satu macam manfaat kepada kita semua. Manfaat tersebut datang dari pelbagai sumber seperti batangnya, daunnya, buahnya, semuanya dapat diambil manfaat kepada pelbagai kegunaan baik dari segi pemakanan, ubatan, kraftangan hinggalah kepada pembuatan bahan binaan. Dengan segudang manfaat yang telah dikurniakan kepada pokok kelapa,  tidak mungkin kita ingin melepaskan peluang untuk menjadikan pokok kelapa ini sebagai salah satu hasil tanaman lanskap kediaman kita. 

Inilah satu-satunya pokok kelapa yang telah saya tanam di halaman rumah sejak tujuh tahun lepas. Ketinggian pokok kelapa ini sewaktu ditanam dahulu hanya separas dada saya sahaja. Amat pantas masa berlalu. Terasa seolah-olah baru bulan lepas sahaja pokok ini ditanam. Sedar tak sedar ketinggiannya sekarang telah menjangkau lebih dari empat meter. Jika dulu pokok ini menumpang teduh di sudut penjuru atap rumah, kini rimbunan pohon dedaunnya pula dapat menaung sesiapa sahaja yang ingin menumpang teduh dari sinaran mentari. Buahnya pun sudah mulai tumbuh dan berkembang mekar. Tidak sabar nak merasa hasilnya yang pertama nanti. 

Friday, July 14, 2017

Pokok Dengan Pelbagai Gelaran Mistik


Daunnya lebar. Mudah tumbuh dan mempunyai ciri tumbesaran yang boleh dikatakan agak singkat. Penjagaannya mudah dan tidak perlu banyak penyelenggaraan. Harga di pasaran pun dalam kategori murah berbanding tanaman lain. Maka disebabkan beberapa faktor inilah yang mendorongkan saya untuk membeli tanaman ini. Dari hasil kajian yang dilakukan, inilah satu-satunya tanaman yang mempunyai pelbagai gelaran serta jolokan nama. Saya mulakan dengan nama saintifiknya dahulu iaitu Asplenium Nidus. Manakala dalam bahasa Inggeris pula dikenali sebagai bird nest fern. Sekarang tibanya saya kongsikan gelaran namanya dalam bahasa Melayu yang agak bombastik dan mungkin mengejutkan kalian. Dalam masyarakat melayu Nusantara, tanaman ini diberikan dengan beberapa gelaran antaranya ialah pokok paku langsuir, pokok paku pontianak, pokok sakat dan juga pokok tangisan malam. Kepada mereka yang baru pertama kali mengetahui namanya, ternyata bukan anda sorang yang mengerut dahi sambil menggaru kepala. Saya pun kehairanan sambil terpinga-pinga bilamana memperoleh maklumat ini dan rata-rata kesemua sumber yang diselidiki  memberikan jolokan nama yang sama. 

Alasan yang diberikan adalah kerana pokok atau tanaman ini dikatakan menjadi tarikan kepada makhluk jin untuk bersarang, berteduh, menumpang tinggal dan sewaktu dengannya. Tidak dinafikan makhluk jin itu benar dan wujud seperi termaktub dalam al Quran. Jika betul pokok ini menjadi kegemaran makhluk jin untuk bertempat, pada pandangan saya tak perlulah melabelkannya dengan pelbagai jolokan nama seperti langsuir dan pontianak. Kalau nak lebalkan sangat pun berikan sahaja dengan satu nama sahaja yang umum misalannya pokok tumpangan jinn (paling tidak). Kerana nama-nama seperti langsuir, penanggal, pontianak, toyol, hantu raya, hantu galah semua tu hakikatnya adalah dari golongan sebangsa jinn sahaja. Gelaran-gelaran tersebut hanya merupakan manifestasi makhluk tersebut terhadap apa yang selama ini kita geruni, percaya, dan takjub. Oleh itu tak perlulah kita mewar-warkan sesuatu tanaman itu dengan jolokan yang memberikan impak negetif. Yang ruginya kita. Yang untungnya mahluk tersebut kerana kesan ketakutan kita membuatkan mereka lagi gah dan bangga. Landasannya, alam mereka dengan alam mereka dan fitrah kita dengan fitrah kita. Kepada Allah jua lah kita takut dan bertakwa serta mengharapkan segalanya. Begitulah al kisahnya dan tiadalah saya alim dalam perihal ini melainkan sekadar melontarkan pendapat dua sen sahaja.


Maka kesudahannya, walau apapun gelaran yang diberikan, pokok ini telah selamat ditanam dengan jayanya di sekitar halaman rumah saya. Kesemuanya berjumlah tiga pokok dan mungkin dalam masa terdekat nanti akan ditambah lagi dua pokok. In shaa Allah.

Monday, July 10, 2017

Nurseri Pilihan


Ini merupakan salah satu kedai yang sering saya kunjungi untuk membeli-belah barangan lanskap. Lokasinya terletak berdekatan dengan kilang Hicom di seksyen 26, Shah Alam. Saya sering ke nurseri ini kerana ia merupakan nurseri yang paling hampir dengan rumah saya. Jadi amat mudah dan menjimatkan kos pengangkutan. Selain itu harga jualannya pun agak berpatutan bahkan boleh ditawarkan lagi sekiranya anda merupakan pelanggan tetap di situ. Pelbagai hasil tanaman disediakan baik dari segi pokok-pokoknya, tanaman bunga, rumput, pasu, baja hinggalah kepada peralatan dan perkakasan yang berkaitan dengan tanaman. Nurseri ini juga menawarkan khidmat penyelenggaraan lanskap yang berkala untuk laman rumah. Kepada mereka yang tinggal berdekatan, bolehlah singgah ke nurseri ini yang senantisa menantikan kunjungan anda setiap hari, tujuh hari seminggu.

Wednesday, July 5, 2017

Plan Pengolahan Lanskap Halaman Rumah


Suatu hari disebelah petang yang agak panas. Sambil duduk beristirehat di ruang halaman luar rumah. Melihatkan hasil tanaman, membuatkan hati ini terdetik untuk melakukan sedikit pengolahan terhadap taman halaman rumah yang sedia ada. Keluasan tanah tidaklah sebesar mana. Cukup sekadar ingin mengusahakan kira-kira separuh saiz keluasan tennis court. Tanaman yang tersedia ada ni pun kebanyakkannya sudah hampir menjangkau enam tahun. Setelah melakukan sedikit lakaran kasar, maka perancangan untuk mengolah lanskap tanaman rumah akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini.

Tuesday, October 25, 2016

Kempen Penyertaan Kayuhan Basikal Klasik Bandar DiRaja Klang 2016

Perkhabaran yang dinantikan sudahpun membuahkan keputusan. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan aku peluang dan kesempatan untuk menyertai acara Kayuhan Santai Basikal Klasik Bandar DiRaja Klang 2016 yang bakal diadakan pada 30 Oktober ini. Terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang sudi membuka ruang dalam intisari program tahunan mereka dengan merancanakan sebuah program seperti ini untuk kami warga berbasikal klasik. Acara ini turut mendapat kerjasama serta diundangsama oleh sebuah entiti yang cukup terkenal dan tidak asing lagi buat seluruh warga penggiat basikal klasik. Entiti atau organisasi tersebut adalah Port Swetthenham Classic Bicycle (PSCB) yang dinaungi oleh saudara Ezafel Rafique atau lebih sinonim dengan panggilan Along.

Oleh itu, anda semua diundang beramai-ramai untuk datang bertandang ke Kompleks Sukan Pandamaran Klang. Tidak kira anda seorang pengayuh basikal klasik mahupun bukan kerana terdapat pelbagai aktiviti sampingan telah direncanakan seperti senamrobik perdana, gerai-gerai jualan barangan, jualan makanan dari foodtruck dan pelbagai lagi. Ini berikutan program berbasikal klasik ini telah disusunatur ke dalam agenda Karnival Mini Mega Sales yang berlangsung dari 28 ke 30 Oktober 2016. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Tidak kira sahabat lama mahupun baru yang belum berkenalan lagi. Bersama kita memeriahkan acara ini dengan berbasikal klasik secara santai menyusuri tempat-tempat bersejarah sekitar bandaraya Klang.