Friday, July 14, 2017
Pokok Dengan Pelbagai Gelaran Mistik
Daunnya lebar. Mudah tumbuh dan mempunyai ciri tumbesaran yang boleh dikatakan agak singkat. Penjagaannya mudah dan tidak perlu banyak penyelenggaraan. Harga di pasaran pun dalam kategori murah berbanding tanaman lain. Maka disebabkan beberapa faktor inilah yang mendorongkan saya untuk membeli tanaman ini. Dari hasil kajian yang dilakukan, inilah satu-satunya tanaman yang mempunyai pelbagai gelaran serta jolokan nama. Saya mulakan dengan nama saintifiknya dahulu iaitu Asplenium Nidus. Manakala dalam bahasa Inggeris pula dikenali sebagai bird nest fern. Sekarang tibanya saya kongsikan gelaran namanya dalam bahasa Melayu yang agak bombastik dan mungkin mengejutkan kalian. Dalam masyarakat melayu Nusantara, tanaman ini diberikan dengan beberapa gelaran antaranya ialah pokok paku langsuir, pokok paku pontianak, pokok sakat dan juga pokok tangisan malam. Kepada mereka yang baru pertama kali mengetahui namanya, ternyata bukan anda sorang yang mengerut dahi sambil menggaru kepala. Saya pun kehairanan sambil terpinga-pinga bilamana memperoleh maklumat ini dan rata-rata kesemua sumber yang diselidiki memberikan jolokan nama yang sama.
Alasan yang diberikan adalah kerana pokok atau tanaman ini dikatakan menjadi tarikan kepada makhluk jin untuk bersarang, berteduh, menumpang tinggal dan sewaktu dengannya. Tidak dinafikan makhluk jin itu benar dan wujud seperi termaktub dalam al Quran. Jika betul pokok ini menjadi kegemaran makhluk jin untuk bertempat, pada pandangan saya tak perlulah melabelkannya dengan pelbagai jolokan nama seperti langsuir dan pontianak. Kalau nak lebalkan sangat pun berikan sahaja dengan satu nama sahaja yang umum misalannya pokok tumpangan jinn (paling tidak). Kerana nama-nama seperti langsuir, penanggal, pontianak, toyol, hantu raya, hantu galah semua tu hakikatnya adalah dari golongan sebangsa jinn sahaja. Gelaran-gelaran tersebut hanya merupakan manifestasi makhluk tersebut terhadap apa yang selama ini kita geruni, percaya, dan takjub. Oleh itu tak perlulah kita mewar-warkan sesuatu tanaman itu dengan jolokan yang memberikan impak negetif. Yang ruginya kita. Yang untungnya mahluk tersebut kerana kesan ketakutan kita membuatkan mereka lagi gah dan bangga. Landasannya, alam mereka dengan alam mereka dan fitrah kita dengan fitrah kita. Kepada Allah jua lah kita takut dan bertakwa serta mengharapkan segalanya. Begitulah al kisahnya dan tiadalah saya alim dalam perihal ini melainkan sekadar melontarkan pendapat dua sen sahaja.
Maka kesudahannya, walau apapun gelaran yang diberikan, pokok ini telah selamat ditanam dengan jayanya di sekitar halaman rumah saya. Kesemuanya berjumlah tiga pokok dan mungkin dalam masa terdekat nanti akan ditambah lagi dua pokok. In shaa Allah.
Labels:
Ternakan dan Tanaman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment